Pulau Komodo terletak dalam Taman Negara Komodo adalah habitat kepada biawak komodo yang digelar sebagai naga. Biawak komodo (Varanus Komodoensis) atau kerap disebut komodo adalah biawak terbesar di dunia. Panjangnya mencapai tiga meter dengan berat antara 70 hingga 150 kilogram.
Pulau Komodo merupakan kawasan yang memberi peluang kepada pelawat melihat biawak komodo di habitat asalnya. Kunjungan ke pulau tersebut cukup istimewa kerana pengunjung dapat melihat haiwan yang jarang ditemui dan terancam itu.
Walau bagaimanapun laporan dari laman Bloomberg menyatakan Indonesia bakal menutup pulau ini yang menjadi habitat spesies terancam biawak komodo selepas ada pihak tidak bertanggungjawab menyeludup keluar haiwan tersebut. Pulau Komodo di Manggarai Barat di wilayah Nusa Tenggara Timur akan ditutup kepada pelancong bermula Januari 2020.
Menurut jurucakap pentadbiran wilayah, Marius Jelamu, keputusan itu dibuat selepas berunding dengan Kementerian Alam Sekitar dan Perhutanan. Penutupan itu adalah sebagai respons terhadap penyeludupan 41 biawak komodo dari pulau itu dan dijual di luar negara dengan harga kira-kira 500 juta rupiah (RM143, 347) seekor.
Namun, difahamkan hanya Pulau Komodo yang menjadi tarikan pelancong itu akan ditutup, namun kawasan sekitar pusat pemuliharaan itu masih beroperasi seperti biasa. Penutupan sementara itu membolehkan pemuliharaan alam semula jadi lebih baik selain meningkatkan populasi haiwan terbabit.
Sumber: Sinar Harian