Ketika musim durian sekarang ini, memang ramai yang tercari-cari kualiti dan jenis durian yang terbaik untuk disantap. Ada yang tidak kisah tentang harga dan sanggup membayar 'lebih', asalkan perut mereka puas dapat menjamah beraneka jenis raja durian ini.
Jika di Perak, setiap kali musim durian, pastinya terbayang durian Batu Kurau yang sentiasa menjadi buruan peminat durian kampung. Ini kerana ramai menganggap rasa durian jenis ini sangat 'mengiurkan' meskipun hanya berstatus 'durian kampung'. Sebenarnya di negeri Perak ada lagi sejenis durian yang sedap dan istimewa. Durian ini pernah mencapai zaman kegemilangan yang hebat dan ramai yang tercari-cari durian jenis ini untuk disantap. Terletak di Mukim Pulau Tiga, Kampung Gajah, terdapat sejenis durian yang pernah dinobatkan sebagai durian terbaik di Perak pada 1985, dikenali sebagai durian paduka yang ditanam Allahyarham Abdul Malek Kulub Aji di dusun miliknya seluas lapan hektar.
Menurut seorang waris Allahyarham Abdul Malek Kulub Aji, Nordin yang merupakan Pengerusi Eksekutif Institut Agro Usahawan (iGROW) durian itu dikumpul oleh arwah ayahnya sekitar 70-an hingga 80-an, daripada pemilik dusun tradisional di Kampung Tok Paduka Raja, Pulau Tiga. Durian paduka mendapat namanya sempena Kampung Tok Paduka Raja dan diberikan oleh Tan Sri Ramli Ngah Talib, ketika menyampaikan hadiah kemenangan pada pertandingan durian peringkat negeri di Kampung Gajah pada 1985.
Saiz buah ini tidak besar, tapi setiap pangsa sentiasa penuh dengan warnanya yang kuning keemasan, rasanya lemak, manis, ada 'gas' serta biji kecil dan sedap dimakan begitu sahaja, tanpa perlu bersama pulut atau dibuat pengat. Kegemilangan durian paduka perlu dikembalikan semula, kerana ia merupakan antara jenama durian terbaik di Perak, malah dalam negara. Sehingga hari ini durian ini pokoknya ditanam seluruh negara oleh pembeli bakanya sekitar tahun 1980-an. Jika Pahang ada musang king, Pulau Pinang ada udang merah, maka durian paduka ini sepatutnya dijadikan antara jenama atau identiti Perak.
Ketika ini dusun di iGROW mempunyai kira-kira 120 batang pokok pelbagai variasi durian kampung dan daripada jumlah itu dianggarkan hanya terdapat 10 batang pokok durian paduka, yang dilabel sebagai D148 oleh Jabatan Pertanian yang mampu mengeluarkan antara 200 hingga 300 biji buah setiap pokok.Sejak 10 tahun lalu, di dusun iGROW tidak menjual durian baka tersebut sebaliknya raja buah itu dijadikan buah pengikat atau pengerat kasih sayang, dengan hanya dihidangkan kepada keluarga, rakan, dan kenalan, atau pelanggan iGROW, yang turut menawarkan pakej agro pelancongan. Malah, beberapa pemimpin dan pengunjung luar negara antaranya dari Thailand dan Indonesia, turut datang ke iGROW ini untuk menikmati durian paduka. Sejak banjir besar pada 2014, mereka berhadapan dengan masalah banyak pokok mati dan terpaksa menanam semula, untuk memastikan orang ramai dapat terus merasai durian paduka dan mendapatkan benihnya yang mereka semai semula dan jual.
Menariknya! Harap semua rakyat Malaysia khususnya penduduk Perak berpeluang merasai durian terbaik Perak suatu ketika dahulu ini.
Sumber: Bernama
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI