Setiap orang pasti ada percutian impian yang diinginkan. Walaupun hanya memasang impian, tidak mustahil untuk direalisasikan. “Dia boleh la, duit banyak, anak orang kaya, kerja gaji besar” No..no! Big NO! Sebenarnya dalam hidup, kalau sesiapa sahaja berusaha, pasti boleh dapat.
Kadang kala hanya dengan melihat rakan-rakan yang sering kali melancong ke sana ke mari juga pasti memberi motivasi kepada anda untuk ‘menggerakkan’ impian menjadi realiti. Pertama apa yang boleh anda buat, cuba untuk kumpul sebanyak mana yang boleh ‘duit poket’ untuk melancong dan kedua sambil itu cari maklumat lokasi yang anda impikan. Macam wanita ini, beliau berkongsi percutian ke Kanada yang menjadi dream vacation penulis sejak sekian lama. Jom baca perkongsiannya.
Sesuatu yang membuatkan #Canada mendahului senarai dunia (selain sukan hoki), adalah taman negaranya. Menjadi negara perintis dalam pengurusan ekologi sejak abad ke-19, negara ini memiliki lebih 40 taman negara. Semestinya destinasi pilihan buat pencinta alam. Saya memilih kembara merentasi wilayah British Columbia dan Alberta. Kawasan banjaran gunung-ganang ‘The Canadian Rockies’. Melalui Icefields Parkway (Hwy 93), antara lebuhraya dengan pemandangan tercantik di dunia.
Saya kongsikan itinerarinya buat panduan bagi yang berminat dan merancang ke sana. (Gambar dikongsikan pada akhir sekali)
.
Hari 1 : Kuala Lumpur – Vancouver
Penerbangan dari Kuala Lumpur ke Vancouver. Transit di Manila melalui Philippine Airlines. Ambil kereta sewa dan bermalam di Vancouver.
.
Hari 2 : Vancouver – Whistler
Perjalanan ke Whistler sejauh 135 km sambil menikmati panorama sepanjang Sea to Sky Highway (Hwy 99). Singgah di Murrin Provincial Park dan Shannon Falls Provincial Park.
Bermalam di Whistler. Whistler terkenal dengan aktiviti ski pada musim salji, dan pernah menjadi lokasi acara sukan Olimpik 2010.
.
Hari 3 : Whistler – Kamloops
Perjalanan diteruskan ke Kamloops, lebih kurang 300 km. Sempat singgah di Nairns Falls Provincial Park dan Joffre Lakes Provincial Park.
Kamloops merupakan hentian utama bagi kebanyakan pengunjung sebelum memasuki kawasan Taman Negara. Pernah menjadi lokasi penggambaran filem ’Power Rangers’ pada tahun 2017.
.
Hari 4 : Kamloops – Hinton
Dari Kamloops, kami bergerak meneroka ‘hidden gem’ Wells Gray Provincial Park. Terpesona dengan kecantikan set air terjun yang ada, antaranya Helmcken Falls, Dawson Falls dan Spahats Falls.
Seterusnya memasuki wilayah Alberta melalui Jasper ke Hinton, untuk bermalam di sana. Jumlah perjalanan 530 km.
.
Hari 5 : Jasper National Park
Jasper berkeluasan 11,000 km persegi dan merupakan taman negara terbesar di Canadian Rockies.
Kami meluangkan masa seharian di Maligne Lake, Medicine Lake dan Maligne Canyon. Sebelum kembali ke Jasper dan bermalam semula di Hinton.
.
Hari 6 : Hinton – Banff – Canmore
Dari Hinton, perjalanan diteruskan ke Banff National Park. Melalui Icefields Parkway (Hwy 93) yang menghubungkan Jasper dan Lake Louise. Sangat banyak tarikan yang memukau dan mempesonakan di sini.
Athabasca Falls, Sunwapta Falls, Columbia Icefield, Peyto Lake dan Bow Lake. Bermalam di Canmore.
.
Hari 7 : Banff National Park
Banff merupakan taman negara tertua di Canada sejak tahun 1885. Memiliki bilangan pelancong yang lebih ramai berbanding taman negara lain.
Kami menghabiskan masa di Lake Louise dan melakukan aktiviti berkayak. Sebelah petangnya, berjalan-jalan di bandar Banff.
.
Hari 8 : Banff National Park
Awal pagi, kami bergerak ke Lake Moraine. Tasik ini turut menjadi lokasi tumpuan kerana kecantikannya yang tiada tandingan. Bersaiz lebih kecil berbanding Lake Louise, namun landskapnya lebih spectacular!
Dari Lake Louise, kami ke Lake Minnewanka. Berehat-rehat sambil menghirup kopi.
.
Hari 9 : Canmore – Golden
Dari Canmore, perjalanan diteruskan ke Golden sejauh 165 km. Ia merupakan bandar lokasi strategik di antara Taman-taman Negara Yoho, Glacier dan Mt Revelstoke. Memasuki semula wilayah British Columbia.
.
Hari 10 : Yoho National Park
Meneroka tarikan Yoho National Park, bermula di Takkakaw Falls iaitu air terjun kedua tertinggi di Canada. Seterusnya ke Natural Bridge, Emerald Lake dan Bear Creek Falls.
Kami singgah di Rogers Pass viewpoint. Mendalami sejarah pembinaan sistem pengangkutan dan lebuhraya Canada di puncak tertinggi Trans-Canada Highway (Hwy 1).
.
Hari 11 : Golden – Revelstoke
Setelah 2 malam di Golden, perjalanan diteruskan ke Glacier National Park dan Mt Revelstoke National Park. Dalam cuaca yang tidak menentu dan sekejap-sekejap hujan, sempat juga hiking dan trekking di beberapa trail yang disediakan. Bermalam di Revelstoke.
Apa yang dapat diperhatikan, perubahan struktur geografi mempengaruhi cuaca dan keadaan muka bumi. Dari hutan alpine di Alberta, menjadi seperti hutan hujan subalpine di British Columbia.
.
Hari 12 : Revelstoke – Kelowna
Perjalanan diteruskan ke Kelowna, lebih kurang 200 km. Kawasan bandar penempatan di lereng bukit, serta terdapat banyak ladang ternakan dan buah-buahan. Ia terletak tidak jauh dari Okanagan Valley, yang menjadi hub tanaman anggur.
.
Hari 13 : Kelowna – Vancouver
Dari Kelowna, perjalanan pulang ke bandar Vancouver sejauh 400 km. Bermalam di Vancouver.
.
Hari 14 : Vancouver
Berjalan-jalan dan souvenir shopping di sekitar Vancouver CBD. Meluangkan masa melawat Masjid Ar-Rahman di North Vancouver dan bertemu komuniti muslim di sana.
.
Hari 15 : Vancouver – Kuala Lumpur
Penerbangan dari Vancouver ke Kuala Lumpur. Transit di Manila.
Moga ada manfaat.
Sumber: FB Hawa Mayati – Nature roadtripper