
Bila memilih lokasi untuk staycation, antara faktor tentulah yang mempunyai pemandangan indah dan juga fasiliti yang terbaik. Satu penginapan yang terletak di Kg. Ruat, Yan Kedah ini antara yang unik dan tersendiri untuk anda dan keluarga datang menginap.
Biru air laut bertemu dengan hijau sawah padi inilah village2stay di Yan Kedah. Berlatar belakangkan keindahan gunung jerai dan lautan yang luas terbentang di depan mata. Yang bestnya dapat menikmati munculnya matahari di sebalik Gunung Jerai dan terbenamnya matahari di lautan .
Bahagian atas penginapan ini disediakan tempat khas untuk dirikan khemah. Dan telah siap sedia 3 port yang memang cun untuk yang sukakan camping. Tak perlu bawa khemah dan keperluan lain kerana ia turut disediakan untuk anda. Jadi kalau nak rasa pengalaman camping dengan view yang terbaik, kat sini lah tempatnya.
Bagi yang nak menginap dalam bilik biasa, di bahagian bawah villagestay ini turut disediakan beberapa unit chalet yang lengkap kemudahannya. Memang sesuai sebenarnya kalau nak berkumpul ramai-ramai atau buat gathering.
Ada yang boleh menginap di dalam khemah dan ada yang menginap di dalam chalet. Kalau dah berkumpul ramai-ramai, kenalah ada aktiviti baru seronok kan? Jangan risau, kat sini juga terdapat kemudahan kolam renang, tempat BBQ dan juga dapur untuk anda gunakan sepanjang berada kat sini.
Sesuai sangat kalau nak pergi bercuti bila musim cuti sekolah atau pun raya nanti. Boleh kumpul ramai-ramai sambil buat pelbagai aktiviti menarik kat VillageStay ini.
Dikelilingi kehijauan sawah padi dalam suasana kampung yang mendamaikan. Pastinya satu percutian yang mendamaikan bersama keluarga di villagestay
VILLAGESTAY INI SESUAI UNTUK FAMILY DAY DAN REUNION…
Alamat: Persisir pantai Kg Ruat, Yan, Kedah, Malaysia
FB: villagestay
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Hatyai Syurga Makanan Sedap, Wanita Ini Kongsi Trip Dari Johor

Isi Kandungan
ToggleOrang kata, Hatyai syurga makanan sedap! Jadi kalau rasa nak helaing dengan cara makan-makan best, boleh lah plan ke sana.
Nak tahu port makan sedap di sana, jom baca pengalaman Puan Erlie Sharina ini dulu.
Hatyai Syurga Makanan Sedap
Kali pertama sampai Hatyai semasa mengandungkan anak 6 tahun lepas. Gigih 6 bulan pregnant naik train sebab nak makan tomyam.
Saya nak kongsikan tip untuk anda yang nak pergi Hatyai terutama orang Johor. Ada banyak pilihan trip dan hampir ke semua kami dah buat, cuma yang perlu duitnya. Maklumlah Johor jauh ke selatan.
1. Boleh naik train.
Biasa kami kalau balik raya ke Perlis memang akan singgah Hatyai. Naik train dari padang besar. Parking kereta dekat KTM padang besar. Sehari dalam RM4 kot parking.
Lepas itu beli tiket train ke Hatyai dalam bangunan KTM tu sebelah atas. Train ke Hatyai hanya dua kali sehari. Lepas dah beli tiket isi white card, turun bawah ke bahagian kastam Malaysia-Thai. Kemudian sudah boleh masuk train.
Semua benda dalam bangunan yang sama. Train ala-ala zaman dulu dulu tingkap terbuka gitu. Tiket dalam RM7 sehala macam tu, 50bath.
Kalau lupa tukar duit boleh beli dekat satu mak cik dekat station train itu. Dia ada duit bath, pengurup berjalan. Boleh beli simkad sekali kalau nak. Kalau tak, pakai roaming.
2. By flight
Kalau dari Johor Bahru ada tiga option.
1. From senai airport-alor setar airport. Dari alor setar airport ambil grab ke KTM Alor Setar. Dari situ naik train sampai KTM padang besar. Kemudian tukar train ke Hatyai.
Tapi dekat sini kena pandai adjust masa sebab train Hatyai hanya dua kali sehari. Kalau tak dapat naik train Hatyai, naik sahaja van ke Hatyai sehala RM30 lebih kurang.
2. From senai airport-Penang airport. Dari Penang ambil grab ke KTM Butterworth. (Leceh sikit sebab nak kena keluar pulau jem kalau tak kena masa). Dari KTM Butterworth to KTM padang besar. Kemudian tukar train ke Hatyai.
3. Ambil flight direct dari KLIA ke hatyai.
3. By car
Nak bawa masuk kereta kena macam-macam procedure. Boleh masuk ikut Bukit Kayu Hitam / Padang Besar. Yang penting kena beli insurance Thailand bawa geran asal. Bawa kereta macam kena ada salam kerok ya. Mula-mula tak percaya tapi tunggulah nanti macam macam cekadak. Secara jujurnya, tidak disarankan bawa kereta takut macam-macam hal.
Atau anda boleh hire private driver. Sehari tour siap semua sekali insurance Thai dalam RM3xx. Boleh jalan sampai lebam untuk satu kereta. Kemudian bila malam, balik lah. Dari hotel di Hatyai pun boleh. Ini contact dia +60 17 423 9341. Ini memang peace of mind. Boleh bincang nak ambil di boarder Malaysia atau boarder Thai atau depan hotel.
4. By tour trip bas dari JB- Hatyai RM499
Trip naik bas, belum pernah naik lagi. Tapi banyak orang buat pakej ni murah. Dari nak drive sendiri sakit pinggang sebab perjalanan boleh cecah 12 jam.
Kalau naik train, lepas sampai Hatyai Junction, boleh jalan kaki untuk ke hotel dan beberapa tempat best. Boleh stay area Lee Garden. Tapi buat masa ini, antara hotel yang murah, besar, selesa dan dekat juga dengan tempat best, suka Red Planet Hotel Hatyai.
Kalau malas nak fikir nak jalan mana dekat lobby hotel tu ada dia buat pakej tour satu hari dekat Hatyai. Murah. Tak perlu ambil grab.
Cuma kalau ambil grab, diaorang tak senang untuk bawa ke Songkhla. Diaorang kata macam rugi dan chances untuk dapatkan grab susah kalau dapat pun masa anda nak balik pun susah. Kalau setakat nak makan, boleh jalan kaki naik grab dekat-dekat.
Tapi kalau nak masuk sampai Songkhla, ambil trip. Lagi zoo, Samila dengan tempat gajah. Memang susah untuk ada grab walaupun ada sahaja, di tambah tolak pergi balik mahal.
Antara tempat best:
1. Khlong Hae Floating Market (buka jumaat sabtu ahad)
2. ASEAN Night Bazaar
3. Chang Puak Elephant Camp Hat Yai
4. Masjid Besar Wilayah Songkhla
5. Samila Beach
6. Dimsum Chabura Hatyai
7. Kai-Tod Decha
8. Lee Gardens Night Market
Jom makan makan angin ke Hatyai berjemaah!
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Selepas 50 Tahun Beroperasi, Berjaya Tioman Resort Ditutup

Berjaya Tioman Resort yang sudah beroperasi selama 50 tahun ditutup sepenuhnya bermula 15 Jun 2020 selepas terkesan dengan penularan COVID-19 dan akan menjalani aktiviti pembangunan semula.
Semua kakitangan di resort itu akan diberhentikan dan akan diberi pampasan sewajarnya membabitkan kos RM8 juta. Selepas selesai kerja pembangunan semula dibuat, pihak pengurusan akan mempertimbangkan untuk menawarkan peluang pekerjaan baharu kepada semua pekerja terjejas.
“Dengan berat hati diumumkan bahawa Berjaya Tioman Resort akan menghentikan operasinya berkuat kuasa 15 Jun 2020, disebabkan oleh pandemik COVID-19 yang belum pernah terjadi sebelum ini, yang memberi kesan buruk kepada industri pelancongan. Sepanjang penutupan ini, pihak pengurusan akan menjalankan pembangunan semula yang amat diperlukan untuk menghidupkan semula resort ini, yang berusia lebih 50 tahun. Kami mengucapkan terima kasih di atas kesungguhan mereka untuk terus bersama dengan kami ketika di waktu susah dan senang,” kata pengurusan Berjaya Tioman Resort.
Berjaya Tioman Resort adalah sebahagian daripada portfolio yang dimiliki oleh Berjaya Land Bhd. Di Malaysia, Berjaya Land turut mempunyai resort lain di Langkawi, Pulau Redang, Bukit Tinggi, serta hotel di beberapa kawasan di Asia dan Eropah. Kumpulan itu memiliki dan mengendalikan 13 hotel dan resort di dalam dan di luar negara.
Sumber: HMOnline
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Bukan Sekadar Bandar Pendidikan, Ini 7 Tempat Menarik Di Tanjung Malim Untuk Dilawati!

Tanjung Malim sebuah pekan yang terletak di selatan negeri Perak Darul Ridzuan. Pekan ini bersempadan dengan negeri Selangor dan bersempadan topografi dengan negeri Pahang. Dikenali sebagai Bandar Pendidikan, di sinilah terletaknya Universiti Sultan Idris (UPSI) yang telah melahirkan ramai cendekiawan dan juga golongan profesional.
Bukan sahaja terkenal sebagai Bandar Pendidikan, Tanjung Malim juga turut dikenali sebagai bandar automotif dan juga bandar belia. Tak hanya itu, tempat ini juga mempunyai banyak tarikan lain untuk dilawati oleh para pelancong.
Kat bawah ini ada tujuh tempat menarik di Tanjung Malim atau turut dikenali sebagai Bumi Muallim untuk anda kunjungi. Kalau berkesempatan bolehlah singgah!
7 TEMPAT MENARIK DI BUMI MUALLIM
Bumi Muallim atau juga dikenali sebagai Tanjung Malim, Perak sinonim dengan gelaran bandar pendidikan oleh kerana kewujudan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang telah melahirkan ramai cendikiawan dan golongan professional. Pada mulanya, Tanjung Malim berasal dari tanjung iaitu kawasan yang wujud hasil daripada hakisan tanah yang luas kemudiannya menjadi penempatan penduduk kerana kedudukannya yang strategik bersempadanan dengan negeri Selangor.
Tanjung Malim kini menjadi tarikan pelancong dari dalam mahupun luar negeri kerana keindahan alam semula jadi. Tempat ini juga disifatkan sebagai syurga makanan terutama buat pelajar kerana harga yang ditawarkan sangat berpatutan. Berikut merupakan tempat yang boleh anda kunjungi di bumi Muallim;
- Cape Cafe
Cape Cafe tidak asing lagi buat warga Tanjung Malim kerana terkenal dengan jualan hidangan berharga RM1.70 dan telah beroperasi di daerah ini sejak 5 tahun yang lalu. Menariknya, terdapat lebih 40 menu sajian makanan yang lengkap dengan minuman, snek dan pencuci mulut. Nasi ayam penyet, nasi lemak, nasi putih rendang ayam, bakso, chicken chop, kek bronis merupakan antara menu yang menjadi tumpuan utama pengunjung. Rata-rata pengunjung amat berpuas hati dengan layanan dan rasa masakan meski harganya sangat murah. Nak makan di kedai tapi poket kosong? Jangan risau, Cape Cafe kan ada!
Lokasi : No 13 Jalan Anggerik Desa, Taman Anggerik, Tanjung Malim Waktu Operasi : Setiap hari (10.30 pagi – 8.00 malam)


2. Restoran Lapako
Restoren Lapako merupakan kedai makan berkonsepkan gerai-gerai dalam satu bangunan yang menawarkan menu sajian ‘street food’. Restoran ini menjadi tumpuan utama pada waktu malam tidak mengira golongan umur. Pelbagai jenis makanan dan minuman yang ditawarkan seperti Shell Out, makanan barat, makanan Thailand dan banyak lagi buat pengunjung. Meskipun dikunjungi oleh ramai pengunjung, penghantaran makanan adalah sangat laju dan tidak perlu menunggu dalam waktu masa yang lama. Lebih menarik lagi, nyanyian secara live didendangkan oleh penyanyi tempatan untuk menghiburkan pengunjung yang datang. Surau dan tandas turut disediakan di sini bagi memudahkan pelanggan untuk solat selepas atau sebelum menjamu selera. Setiap malam jalan hadapan Restoran Lapako dikawal oleh anggota RELA yang bertugas untuk melancarkan urusan keluar masuk kereta di parkir.
Lokasi : Lot 4618, Jalan Slim Baru, 35900 Tanjung Malim, Perak. Waktu Operasi : Setiap hari (8.00 pagi – 12.00 pagi)



3. Muzium Pendidikan Nasional
Bangunan Suluh Budiman merupakan sebuah bangunan yang mempunyai nilai sejarah yang tinggi kerana dibina sejak tahun 1922 yang kini menempatkan Muzium Pendidikan Nasional. Pada asalnya, bangunan ini merupakan sebuah maktab untuk latihan perguruan yang dikenali sebagai Sultan Idris Training College (SITC) dan kini telah menjadi ikon utama buat warga UPSI dan warisan negara apabila Tuanku Bainun berkenan untuk merasmikan Muzium Pendidikan Nasional pada 19 Julai 2011.Muzium pendidikan yang pertama negara ini dipulihara dengan kos yang tinggi iaitu berjumlah RM9.8 juta dan boleh diiktiaf sebagai mercu tanda kegemilangan pendidikan tanah air. Bangunan Suluh Budiman juga digambarkan banyak berjasa kepada pembangunan negara dan bangsa kerana kebangkitan nasionalisme pejuang kemerdekaan bermula di sini. Oleh yang demikian, pembukaan muzium ini merupakan satu penghormatan kepada dunia pendidikan negara melalui pameran khazanah lama serta terbaharu yang melambangkan pencapaian sistem pendidikan di Malaysia dari era sebelum atau selepas kemerdekaan dikecapi.
Lokasi : Muzium Pendidikan Nasional, Universiti Pendidikan Sultan Idris, 35900 Tanjung Malim, Perak Waktu Operasi : Setiap hari (9.00 pagi – 4.00 petang)


4. Go Kart dan Akademi Memanah
Bagi pengunjung yang gemar dengan aktivit lasak, ini lah tempatnya! Litarnya terletak berdekatan dengan stesen komuter memudahkan pengunjung untuk datang ke sini selepas turun dari kereta api. Hujung minggu merupakan waktu kemuncak buat pengunjung kerana kebanyakan mereka meluangkan masa bersama keluarga di sini sambil melakukan aktiviti lasak dan mencabar. Kelengkapan dan keselamatan di tempat ini amat dititikberatkan serta stafnya juga sangat ramah dengan pelanggan. Selain go-kart dan memanah, terdapat juga ruang makan dengan pelbagai jenis hidangan menarik serta tawaran harga yang amat berpatutan. Hanya RM10 sahaja dikenakan untuk 3 lap go-kart. Tunggu apa lagi? Ayuh datanglah sekarang!
Lokasi : Go-Kart & Akademi Memanah Tanjung Malim, Lot 1770, Mukim Ulu Bernam, Tanjung Malim, Perak. Waktu operasi : Isnin hingga Ahad (10.00 pagi – 7.30 petang)

5. Teratak Riverview
Teratak Riverview merupakan kawasan perkelahan yang terkenal di Tanjung Malim yang terletak di sempadan Perak-Selangor. Kawaan ini dibuka sejak tahun 2008 yang telah menempatkan kira-kira 18 chalet, asrama dan tapak perkhemahan yang selesa dan selamat buat pengunjung. Harga chalet disini bermula RM100 hingga RM150 semalaman amat berbaloi kerana pelanggan dapat melihat keindahan air sungai yang jernih dari tingkap sahaja. Bagi yang gemar berkhemah, sewa tapak perkemahan hanya RM8 seorang dan RM20 seunit khemah untuk 2 hari 1 malam. Berbaloi bukan? Flying fox, Abseilling dan Water Tubing merupakan aktiviti pilihan utama pengunjung di sini. Jambatan gantung juga tidak kurang peminatnya kerana ia membolehkan pengunjung menghayati permandangan di Teratak Riverview dengan lebih luas. Air sungai jernih yang mengalir di bawahnya menarik kebanyakan pengunjung. Namun begitu, hanya 10 orang sahaja dibenarkan melintasi jambatan dalam satu masa dan ianya digunakan secara bergilir atas faktor keselamatan. Teratak Riverview bukan sahaja lokasi tumpuan untuk datang bersama keluarga, malahan menjadi pilihan utama institusi swasta mahupun kerajaan untuk melakukan aktiviti coaching, kem motivasi atau gathering di sini.
Berikut merupakan aktiviti yang boleh dilakukan di Teratak Riverview;
1. Paintball
2. Meredah hutan
3. Rentas halangan
4. Mandi-manda
5. Berkelah
Kemudahan yang disediakan;
1. Tapak perkhemahan
2. Hostel
3. Ruang makan
4. Surau
5. Kemudahan BBQ
Lokasi : Teratak Riverview Kampung Simpang Empat Dalam, 35900 Ulu Bernam, Perak Waktu Operasi : 24 jam



6. Art Street
Seperti di Pulau Pinang juga, Art Street di Tanjung Malim menjadi daya tarikan untuk penggemar fotografi dan selfiegrafi. Deretan lukisan mural di sisi bangunan perniagaan ternyata berjaya mengindahkan dan memberi nilai tambah terhadap imej pekan ini. Pembaharuan ini telah mengembalikan keceriaan kedai-kedai yang usang hasil usaha kreatif daripada pelbagai agensi termasuklah Majlis Daerah Tanjung Malim. Sejarah negara, animasi kanak-kanak, ekspresi belia dan haiwan merupakan tema yang dipamerkan pada lukisan mural 3D ini. Selain itu, barisan pemimpin negara juga turut dipaparkan bagi menghargai jasa dan pengorbanan mereka di samping dapat memberikan maklumat kepada masyarakat. Jika datang ke sini, jangan lupa singgah di Art Street ya!
Lokasi : Lot 6, Jalan Douglas, 35900 Tanjung Malim, Perak Waktu operasi : 24 jam


7. Kolam Air Panas Ulu Slim
Kolam Air Panas Ulu Slim yang bersuhu setinggi 104 darjah celcius menunjukkan ianya bukanlah tempat yang sesuai untuk aktiviti mandi-manda. Oleh sebab itu, kebanyakan pengunjung yang datang akan membawa telur untuk direbus di sini kemudian makan bersama kicap. Persekitaran kawasan kolam ini juga bersih dan dibangunkan oleh Majlis Daerah Tanjung Malim yang dilengkapi dengan kemudahan seperti pondok, tempat istirehat, tempat merebus telur dan jambatan laluan berjalan kaki di atas kolam. Selain itu, kolam ini turut menjadi tumpuan bagi peserta-peserta ekspedisi merentasi Banjaran Titiwangsa dari Raub Pahang.
Lokasi : Kolam Air Panas Ulu Slim, 35800 Slim River, Perak Waktu operasi : 24 jam


Sesungguhnya, bumi Muallim mempunyai banyak tempat menarik untuk diteroka dan dilawati. Seperti peribahasa Melayu iaitu hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri. Siapa lagi yang akan memajukan industri pelancongan dalam negara jika bukan kita, rakyat Malaysia.
Artikel ini disumbangkan oleh Fara Atira bt Ibrahim pelajar Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Bahasa Melayu Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)
Sumber: Fara Atira
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI