Dalam Sehari Je Dah Boleh Jejak Semua Negeri Di Malaysia! Mini Malaysia & ASEAN Cultural Park Imbau Nostalgia Penempatan Budaya

Share

Destinasi ini merupakan produk pelancongan Melaka yang tidak perlu diperkenalkan lagi lantaran sering menjadi tarikan pengunjung dari dalam dan luar negara untuk mengetahui reka bentuk jenis rumah tradisional Melayu yang terdapat di Malaysia.

Dibina di atas kawasan seluas 12.9 hektar, Mini Malaysia & Asean Cultural Park merupakan lokasi’pengumpulan’ semua rumah tradisional Melayu tunggal di negara ini. Bayangkan, anda boleh jejak semua negeri yang ada di dalam Malaysia dalam masa sehari sahaja. Menarik kan?

Berada di Mini Malaysia & ASEAN Cultural Park, Ayer Keroh Melaka, pasti akan mengembalikan nostalgia silam serta suasana seperti berada di kampung halaman bagi setiap pengunjung. Struktur bangunan, kehalusan seni bina dan keunikan perkakasan antik yang terdapat di setiap 13 rumah tradisional di taman budaya itu pastinya membangkitkan kerinduan terhadap suasana kampung yang semakin sukar dirasai zaman ini. Sebanyak 13 rumah tradisional yang mewakili setiap negeri di negara ini mempunyai ciri dan keunikannya tersendiri berdasarkan reka bentuk asli rumah-rumah tradisional tersebut. Pengunjung dibenarkan untuk masuk ke dalam setiap rumah dari Rumah Perlis hingga ke Rumah Sabah, dengan syarat tidak merosakkan atau mengambil apa jua barang yang terdapat di dalam rumah tersebut.

   

Pelbagai aktiviti sampingan turut disediakan buat pengunjung untuk merasai sendiri pengalaman sebenar tinggal di rumah-rumah tradisional tersebut seperti suasana balik kampung, menikmati makanan tradisional dan merasai adat istiadat majlis perkahwinan, dan permainan tradisional.

Selain itu, pengunjung berpeluang merasai pengalaman membuat kuih-kuih tradisional, mencanting batik dan belajar menganyam ketupat atau tikar mengkuang. Orang ramai turut berpeluang memperoleh pelbagai informasi dengan terdapatnya pelbagai sumber maklumat di setiap rumah tradisional itu bagi memudahkan pengunjung mengetahui sejarah sesebuah rumah serta fungsi dan kegunaan segala perkakasan yang terdapat di dalamnya. Paling menarik anda dapat melihat pelbagai barangan lama yang masih dalam keadaan baik dipamirkan untuk generasi kini. Antaranya televisyen lama, kukur kelapa, buaian bayi, lampu minyak tanah, almari, dapur kayu dan banyak lagi.

Pada hari cuti umum dan cuti sekolah pula, pelbagai pertunjukkan kebudayaan dipersembahkan kepada para pengunjung di sebuah kawasan lapang di tengah taman tersebut yang boleh memuatkan sehingga 500 pengunjung pada satu-satu masa. Jangan malu dan segan untuk bersama-sama melakukan persembahan bersama ahli kebudayaan seperti menari joget lambak dan aktiviti menyumpit.

Foto: Google Image

Oleh
Husna