Pasti ada yang sudah merancang untuk mendaki Gunung Kinabalu pada tahun 2020 ini tetapi terpaksa melupakan hasrat tersebut seketika kerana wabak COVID-19 yang melanda.
Dek kerana pandemik tersebut juga, negara kita telah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada 18 Mac 2020 lepas untuk membendung penularan. Hampir semua kawasan tumpuan pelancong dan aktiviti reakreasi turut ditutup dan dihentikan seketika operasinya.
Ada berita baik untuk anda yang ingin menawan Gunung Kinabalu. Laluan pendakian Gunung Kinabalu akan dibuka semula pada 16 Mei 2020 ini selepas ditutup hampir dua bulan.
- Walau bagaimanapun hanya 100 pendaki dibenarkan mendaki pada satu-satu masa dan perlu mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
- Aktiviti pendakian yang akan dibuka semula ini bermaksud malim gunung juga akan mula bekerja.
- Bayaran permit pendakian tetap sama iaitu warganegara Malaysia dikenakan RM50 untuk dewasa dan RM30 bagi yang berumur 18 tahun ke bawah, manakala pelancong asing perlu membayar RM200 untuk dewasa dan RM80 bagi kanak-kanak. Bayaran tambahan sebanyak RM400 akan dikenakan untuk kemudahan penginapan dan makan, bayaran malim gunung RM230 dan insurans RM7.
Bagi menggalakkan lebih ramai pelancong khususnya pelancong tempatan, yuran masuk ke Taman-taman Sabah diberikan diskaun 50 peratus selama enam bulan bermula 16 Mei hingga 16 November depan. Mereka yang berminat untuk mendaki boleh membuat tempahan melalui Taman-taman Sabah dan menerusi dalam talian apabila sistem itu akan dilancarkan tidak lama lagi.
Sumber: Bernama
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
10 Aktiviti Best Yang Korang Boleh Buat Kalau Berkunjung Ke Royal Belum!
Untuk anda yang gemarkan kawasan pelancongan yang tenang, damai serta jauh daripada kesibukan bandar, hutan Royal Belum yang terletak di Gerik, Perak ini pasti menjanjikan satu percutian yang terbaik untuk anda.
Hutan Royal Belum ini merupakan satu kawasan pelancongan yang terbaik untuk percutian skala besar seperti family gathering atau reunion. Sebab apa? Nanti akan Libur jelaskan di bawah.
Ada dua cara yang akan anda gunakan untuk sampai ke Royal Belum. Yang pertama, melalui jalan darat dan yang keduanya, melalui jalan air. Kedua-dua cara ini akan memberikan satu pengalaman yang berbeza kepada anda kerana cara yang pertama, anda akan memandu melalui Lebuhraya Utara-Selatan dan keluar di Kuala Kangsar sebelum tiba ke Jeti Temenggor. Dari jeti ini anda akan menaiki bot untuk ke kawasan Royal Belum.
Di kawasan Jeti Temenggor ini, anda akan dapat lihat pelbagai jenis house boat. Ada yang kecil dan ada yang besar. Kesemua jenis house boat ini dapat memenuhi kriteria dan skala percutian yang anda mahukan, bersesuaian dengan pakej yang ditawarkan.
Sekiranya anda mahukan house boat yang mewah untuk percutian anda, jangan segan silu untuk mengeluarkan bajet sehingga RM9,000 selama 3 hari 2 malam. Kosnya agak tinggi kan? Tapi jangan risau, house boat itu akan memberikan satu kepuasan terjamin kepada anda dan rombongan.
Cadangan kepada anda yang baru pertama kali ingin merancang trip ke Royal Belum, cukup sekadar anda ambil house boat berharga RM3,000 ke RM4,500 sahaja. Pakej yang ditawarkan dalam julat harga ini sudah cukup untuk memenuhi kesemua kehendak anda sepanjang masa berada di sana.
Setibanya di sana nanti, apa yang anda boleh lakukan? Okay, di sini Libur senaraikan serba sedikit aktiviti-aktiviti yang best untuk anda lakukan apabila sampai di Royal Belum nanti:
Menjejak bunga refflesia
Dikenali sebagai bunga paling besar di dunia, ia juga boleh didapati di Royal Belum. Bunga Rafflesia yang ada di Royal Belum terdiri daripada tiga spesis iaitu R. Kerrii, R. Cantleyii dan R. Azlanii. Jika anda bertuah, anda boleh nampak bunga ini kembang mekar. Jangka hayat bunga Rafflesia sekejap sahaja. Bunga ini boleh kembang dan mati dalam masa dua minggu.
Melawat perkampungan orang asli
Selain kaya dengan khazanah flora dan fauna, Royal Belum juga didiami oleh masyarakat Orang Asli. Terdapat beberapa penempatan Orang Asli yang boleh anda lawati antaranya Kampung Orang Asli Aman Damai, Kampung Orang Asli Sungai Kejar, Kampung Orang Asli Sungai Tiang dan Kampung Orang Asli Belum Lama. Kebanyakkan Orang Asli ini terdiri dari suku kaum Jahai dan suku kaum Negrito. Mereka menerima lawatan anda dengan hati dan tangan terbuka. Kelibat anak-anak Orang Asli yang comel dan malu-malu ini begitu menceriakan. Jika berkesempatan ke sini, bawalah beberapa saguhati seperti makanan dan permainan untuk diberikan pada kanak-kanak Orang Asli. Sumbangan juga boleh diberikan pada tabung sumbangan mereka. Mereka sangat menghargainya sumbangan yang diberi.
Menjejak kawasan salt lick
Tahukah anda apa itu salt lick? Salt lick adalah kawasan dimana terdapatnya garam mineral terkumpul dan pelbagai haiwan akan datang ke kawasan tersebut dan menjilat garam mineral sebagai salah satu sumber nutrisi. Di Royal Belum, terdapat 12 lokasi salt lick untuk haiwan-haiwan ini berkumpul. Jika anda ke sini, anda boleh melihat pelbagai jenis tapak kaki haiwan yang datang menjilat garam mineral.
Berenang di santuari ikan di Sungai Ruok
Tiada apa yang lebih menenangkan di Royal Belum ini apabila melihat ikan-ikan bebas berenang menikmati makanan yang diberikan. Jarak dari jeti bot ke Air Terjun Ruok lebih kurang 10 minit, dimana anda perlu melalui trek yang agak mudah sebelum sampai ke air terjun ini. Apabila tiba, anda boleh menikmati keindahan air terjun, mandi-manda serta memberi ikan makan.
Trekking ke air terjun Sungai Kooi
Bagi penggemar aktiviti mendaki, Air Terjun Sungai Kooi akan mengujakan anda. Daripada jeti, anda perlu mendaki trek yang mudah untuk sampai ke air terjun ini. Setengah jam mendaki naik, anda akan bertemu dengan sebuah air terjun tinggi yang sangat cantik. Segala penat Lelah anda mendaki akan hilang sekelip mata setelah melihat keindahan ciptaan Tuhan ini.
‘Memburu’ burung enggang
Tidak hanya boleh didapati di negeri Sarawak dan Pahang, burung Enggang juga boleh dijumpai di Royal Belum. Ada 10 jenis burung Enggang yang boleh didapati di Malaysia dan kesemua 10 jenis itu ada di Royal Belum. Jika anda bernasib baik, anda boleh nampak burung ini hinggap di pokok.
Bermalam di kem Royal Belum
Terdapat empat kem di Royal Belum untuk kemudahan anda menginap. Anda boleh memilih untuk menginap di Kem Sungai Papan, Kem Sungai Kenarong, Kem Sungai Tiang dan Kem Sungai Kejar. Setiap kem ini mempunyai tarikan dan aktiviti tersendiri antaranya memancing, berkayak, berakit dan sebagainya.
Menginap di Rainforest Resort
Selain terkenal dengan keindahan flora dan faunanya, antara yang menarik perhatian orang untuk datang ke Royal Belum adalah Belum Rainforest Resort. Resort mewah di tengah hutan ini cukup menarik dan suasana dalamnya sangat menenangkan jiwa. Belum Rainforest Resort boleh diakses menggunakan Lebuhraya Timur Barat iaitu dari Grik dan Kelantan. Anda akan kagum dengan binaannya yang mengadap Tasik Temenggor dan dikelilingi gunung-ganang membuatkan saujana mata memandang. Sambil berehat menikmati ketenangan alam, anda juga boleh mengambil pakej-pakej aktiviti hutan Royal Belum yang tersedia.
BBQ atas houseboat
Penginapan istimewa di Royal Belum adalah houseboat. Anda boleh memilih tinggal di rumah bot yang berlegar-legar di sekitar sungai. Rumah bot akan memberikan anda satu pengalaman baru dimana anda tidur, makan dan menikmati keindahan sungai belum dari dalam bot yang besar.
Berkayak atau berakit sambil memancing
Salah satu perkara yang anda wajib cuba apabila menginap di houseboat Royal Belum. Boleh dikatakan semua houseboat Royal Belum akan menunda rakit buluh bersama-sama houseboat mereka untuk kegunaan dan keseronokkan anda!
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
‘Orang Melayu Dulu Genius!’ Rumah Tradisional Melayu Diiktiraf Dunia.
Rumah tradisional melayu masih menjadi ‘trend’ dan pilihan ramai untuk mendiaminya meskipun kelihatan ‘kekampungan’. Ada yang sanggup melabur ratusan ribu ringgit semata-mata untuk memiliki bahagian rumah ala rumah ‘lama’. Ketika cuaca panas, percayalah individu yang menetap di dalam rumah tradisional ini akan berasa sejuk dan redup sahaja. Itu adalah kelebihan yang dimiliki rumah jenis tradisional ini.
Rumah tradisional melayu merupakan antara senibina terawal yang didirikan di Gugusan Kepulauan Nusantara. Sehingga kini jejak rumah-rumah tradisional ini masih dapat dilihat secara fizikal ataupun yang telah menjadi sebahagian artifak sejarah. Kesenian rumah-rumah tradisional ini adalah sangat unik kerana ia mewakili setiap pecahan etnik melayu yang terdapat di gugusan kepulauan ini.
Bangga atau tidak jika dikatakan rumah tradisional melayu telah dinobatkan antara rumah yang mempunyai seni bina terbaik di dunia? Seorang pengguna Facebook telah kongsikan entrinya mengenai betapa genius orang melayu dahulu membina rumah!
Saya rasa orang Melayu dulu cukup genius. Bahkan, pensyarah saya pun cakap Rumah Melayu dinobatkan antara architecture terbaik di dunia. Wow kan? Jadi, disebabkan saya sangat suka dengan Rumah Melayu, izikan saya berkongsi sedikit ilmu. Kalau ada yang kurang, mohon tambah ya.
LALUAN ANGIN
Perasan tak, bila kita balik ke kampung, rumah kayu ni sejuk saja. Nak-nak lagi pada waktu tengah malam, pehhh kalah rumah berhawa dingin. Merekot kesejukan kalau tak ada selimut.
Sebabnya, rumah kayu ada banyak laluan angin. Papan lantai rumah ada sedikit ruang. Atas tingkap ada lubang angin. Bumbung pula kebiasaannya berlapis. Kalau tidak pun, mesti ada lubang angin.
Kenapa?
Sebab haba (angin panas) bergerak dari bawah ke atas. Bila ada banyak lubang angin, haba ada laluan untuk keluar. Sebab itu, kalau rumah ada siling tinggi rasa kurang panas berbanding dengan rumah bersiling rendah.
PINTU MASUK LELAKI LAIN, PEREMPUAN LAIN
Ni pandangan dari sisi rumah. Laluan masuk bagi orang perempuan. Rumah dah kembali sepi selepas raya.
Masa saya kecil-kecil dulu, bila ikut Mak pergi kenduri di kampung, orang perempuan mesti masuk ikut pintu tengah atau pintu dapur. Saya jadi pelik. Macam tak adillah, sebab ayah masuk ikut pintu depan.
Rupanya, pengaruh Islam bukan setakat pada agama saja, bahkan dalam kehidupan seharian orang Melayu itu sendiri.
Sebab itu ada 2 pintu. Biasanya ruang anjung atau serambi, ruang untuk orang lelaki berbual-bual. Orang perempuan pula bersosial sebelah dalam rumah; bahagian dapur atau rumah ibu. Rumah ibu ni biasanya bahagian tengah rumah dan sedikit luas. Kalau tengok cerita drama, biasanya mak-mak terlantar sakit di ruang rumah ibu inilah.
Ini contoh Rumah Limas, rumah pusaka Mak saya di Melaka. Kalau nampak ada tanduk di bumbung, itu namanya tunjuk langit. Laluan masuk ke anjung bagi kaum lelaki ketika kenduri. Kalau tetamu datang, masuk ikut sini.
Dari bahagian tepi rumah.
RUMAH TINGGI
Pernah terfikir tak kenapa rumah kampung ni tinggi? Ada banyak faktor sebenarnya.
Rumah kampung dulu tak ada pagar. Masa dulu, orang lalu celah-celah rumah kalau nak ke kedai atau surau. Cuba bayangkan kalau kita tak dapat kawal mata, mau kita skodeng rumah orang lain. Atas sebab itu jugalah, kenapa rumah kampung biasanya tinggi-tinggi.
Selain itu, nak elak binatang buas atau liar masuk ke dalam rumah dan juga faktor iklim kita iaitu musim hujan yang kadang-kalanya menyebabkan banjir. Lagipun, ruang bawah rumah boleh dijadikan tempat simpanan barang. Macam stor.
Dua tingkap sebelah kanan, itu laluan ke rumah ibu (biasanya kawasan famili lepak, santai-santai). Kalau bising-bising, tak adalah ganggu tetamu di anjung.
Laluan antara anjung ke rumah ibu, sebelah kanan adalah bilik (tak masuk gambar).
Anjung rumah nenek saya ni memanjang.
Anjung rumah nenek saya ni memanjang.
Nampak tangga sebelah kanan? Itu laluan dari anjung tadi. Inilah ruang rumah ibu. Nampak tiang tu? Itu namanya tiang seri.
Cara selak pintu rumah lama. Dulu tak ada grill.
KIBLAT LURUS
Nampak? Kiblatnya lurus.
Bila saya balik kampung Mak atau Ayah, nak cari kiblat cukup mudah. Bentang saja sejadah, tegak dan lurus.
Biasanya bahagian depan dan belakang rumah menghadap arah Utara Selatan. Manakala bahagian kiri kanan rumah menghadap Timur Barat. Secara tak langsung, rumah menghadap kiblat dan laluan angin (cross ventilation). Sebab itu kalau duduk di serambi, sedap ditiup angin sepoi-sepoi.
Orang dahulu, bukan setakat bahasanya indah. Semuanya berseni. Bahkan susun atur rumah pun bermaksud.
Ini sajalah yang saya boleh share. Jenuh jugalah nak ingat kembali apa yang saya study dulu. Dengan harapan, dah tua nanti merasa duduk kampung ada kebun. Manalah tahu kan.
Sumber: FB Nazia Suhaimi
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
7 Lokasi Hotpost Tawarkan ‘Raja Buah’ Durian Pelbagai Jenis Di Selangor
Musim yang dinantikan sudah tiba dan kita semua menantikannya. Walaupun pergerakan masih dihadkan, tiada apa yang patut menghentikan kita dari mendapatkan Raja Buah; durian.
Di bawah ini disertakan beberapa lokasi jualan di Negeri Selangor untuk anda mendapatkan pelbagai jenis durian dengan harga yang berpatutan. Ataupun, sebagai langkah yang selamat, perkhidmatan penghantaran juga ditawarkan untuk melindungi anda dan yang tersayang!
- Say Heng Durian Stall, Subang Jaya
Telah berada dalam perniagaan durian selama 20 tahun, syarikat ini menawarkan pelbagai jenis durian termasuk XO, Udang Merah, Tracka, Golden Phoenix dan sebagainya. Jika anda lebih berminat membeli melalui servis penghantaran, mereka juga ada menawarkan penghantaran sekitar Lembah Klang.
Cuma pastikan anda membuat pesanan sebelum jam 3 petang dan penghantaran durian anda akan dilakukan pada hari yang sama. Jika anda berasa ragu-ragu untuk mendapatkan durian jenis apa, anda boleh layari laman sesawang mereka dan lihat di bahagian Galeri.
Untuk maklumat lanjut, sila layari: https://www.sayhengdurian.com.my/ atau hubungi +6012-9992333
- Durian Bear, Petaling Jaya
Syarikat yang terkenal yang menawarkan pelbagai jenis durian dengan perkhidmatan pelanggan yang amat memuaskan, Durian Bear bukan sahaja menawarkan durian, namun juga produk berasaskan durian seperti krepe durian, kek durian, cendol durian dan tempoyak. Laman sesawang mereka yang mudah digunakan lengkap dengan maklumat yang anda perlukan untuk membeli durian.
Syarikat ini juga menawarkan perkhidmatan penghantaran ke kawasan Lembah Klang. Durian yang bakal dihantar juga akan melalui semakan kualiti terlebih dahulu sebelum dihantar ke rumah anda.
Untuk maklumat lanjut, sila layari: https://durianbear.my/ atau hubungi +6016-8947992
- Ezy Durian, Batu Caves
Ezy Durian adalah sebuah syarikat yang menjual pelbagai jenis durian yang terletak di Batu Caves, Selangor. Syarikat ini menjual pelbagai rangkaian durian termasuk jenis durian yang masih belum tiba musimnya seperti Durian Lipan Merah, Durian Balik Pulau, Durian D144 dan banyak lagi.
Selain daripada mempunyai kedai yang tersendiri, syarikat ini juga menawarkan perkhidmatan penghantaran. Penempahan yang dibuat setiap hari daripada pelanggan akan dihantar pada hari yang sama 2 jam selepas penempahan dibuat. Kawasan penghantaran termasuk seluruh kawasan Lembah Klang.
Jika anda peroleh durian yang sudah rosak, jangan risau syarikat ini menawarkan polisi untuk membantu anda mendapatkan pembayaran balik (refund).
Untuk maklumat lanjut, sila layari: https://www.ezydurian.com.my/ atau hubungi +6011-2081 9711
- Pasar Tani Kekal Selayang
Bukan sahaja durian, malah anda juga boleh mendapatkan pelbagai jenis buah tempatan yang lain yang sudah tiba musimnya di Pasar Tani Kekal Selayang. Dibuka setiap hari dari jam 8 pagi sehingga 4 petang, buah-buahan yang boleh didapatkan disini termasuk manggis, langsat dan pelbagai jenis durian juga boleh dibeli secara borong.
Semua buah-buahan yang dijual disini datang segar dari kebun tempatan yang terdaftar di bawah FAMA yang mana juga bertanggungjawab atas pengeksportan durian. Oleh itu, anda tidak perlu khuatir akan kualiti buah-buahan yang dijual disini.
Untuk maklumat lanjut, sila hubungi +6019-6630733
- Berkeley Durian, Klang
Syarikat yang telah berada dalam industri jualan durian selama lebih dari 50 tahun sejak tahun 1975 ini juga menawarkan pelbagai jenis durian untuk warga Klang. Jenis durian yang dijual termasuk Udang Merah, D24, Butter King, Black Thorn dan banyak lagi. Baru-baru ini, syarikat ini mula menjual lebih banyak jenis buah termasuk avokado, strawberi, buah naga dan juga produk lain seperti telur organik.
Jika anda memerlukan perkhidmatan penghantaran, kedai mereka juga boleh didapati di aplikasi Grab dan anda boleh menikmati promosi diskaun di situ. Anda juga boleh membuat pengambilan sendiri (pickup) di kedai mereka yang terletak di Taman Berkeley, Klang yang dibuka setiap hari dari jam 8.30 am sehingga 10malam.
Untuk maklumat lanjut, sila hubungi +6016-6491511
- Durianity, Puchong
Terletak di IOI Boulevard, Puchong, syarikat ini mempunyai restoran yang anda boleh nikmati bukan sahaja durian segar tetapi termasuk juga juadah-juadah unik yang lain yang berasaskan durian. Juadah-juadah itu termasuk Piza Durian, Nasi Goreng Bersama Musang King, dan juga Kopi Musang King. Restoran yang berinsipirasikan durian ini juga menjual Musang King Raub yang popular, sepanjang tahun. Selain daripada menikmati makan mereka di restoran, produk-produk mereka juga boleh dibeli melalui aplikasi GrabFood. Anda boleh membuat pesanan anda berdasarkan menu mereka yang serba lengkap di aplikasi tersebut.
Untuk maklumat lanjut, sila hubungi +6012-5228611
- Durian Man, Petaling Jaya.
Durian Man dahulu adalah sebuah gerai yang kecil sejak tahun 1998 dan setelah beberapa tahun berlalu, syarikat ini telah membesar menjadi lokasi yang terkenal dalam kalangan peminat durian di Lembah Klang. Syarikat ini mempunyai premis yang selesa dan sesuai untuk keluarga dan kumpulan rakan-rakan untuk menikmati durian yang segar dari ladang secara hidang atau jamuan buffet. Durian Man juga giat menjalankan promosi di laman Facebook mereka melalui sesi siaran langsung untuk mengumumkan harga runtuh buat bagi produk durian seperti dari jenis Musang King.
Untuk maklumat lanjut, sila layari: https://www.durianmanss2.com/ atau hubungi +6012-2345619
Terliur? Sudah tentu anda tidak perlu khuatir di mana anda perlu mendapatkan durian jika anda berada di Negeri Selangor kerana Negeri ini mempunyai banyak tempat yang menjual Raja Buah ini tidak kira bangunan kedai mahupun gerai-gerai khemah kecil yang banyak di tepi jalan. Anda juga tidak perlu risau kerana perkhidmatan penghantaran untuk buah durian juga turut ditawarkan untuk warga Lembah Klang. Cuma pastikan anda memeriksa durian dan tawar-menawar dengan peniaga untuk mendapatkan durian dengan harga yang terbaik.
Kredit: Selangor.Travel
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI