Sebelum ini, ramai pendaki keliru sama ada aktiviti mendaki dibenarkan atau tidak di bawah kategori rekreasi dan riadah.
Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengesahkan bahawa mendaki adalah antara aktiviti sukan dan rekreasi yang dibenarkan oleh kerajaan bermula 15 Jun 2020, dengan pendaki perlu mematuhi amalan jarakan sosial serta prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Namun kegiatan pendakian, perkhemahan dan 'jungle trekking' dalam hutan yang dibenarkan hanya untuk lawatan balik hari sahaja dan dilakukan dalam kumpulan tidak melebihi daripada 20 orang.
Pengarah Forest Eco-Park dan Hutan Taman Negeri Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, Mohd Yussainy Md Yusop, berkata pihaknya perlu mengambil langkah berjaga-jaga memandangkan virus COVID-19 masih ada. Individu yang memasuki hutan boleh membawa bersama virus itu dan jika jatuh sakit atau menunjukkan gejala seperti demam ketika dalam hutan, ia membahayakan pasukan penyelamat.
"Penyelamat mungkin terpaksa buat persiapan rapi termasuk menyediakan set lengkap pakaian pelindung diri (PPE) semata-mata mahu menyelamatkan orang dalam hutan yang kita tidak tahu apa simptom sebenar pesakit itu," katanya.
Sumber: Bernama