Mulai 1 Julai 2020, kesemua 54 taman tema yang ada di seluruh negara termasuk taman tema air dibenarkan beroperasi semula dan menerima kedatangan pengunjung.
Khabar ini pasti menggembirakan ramai individu terutama buat ibu bapa yang dah lama nak bawa anak-anak bersuka-ria di taman tema! Paling istimewa, taman tema yang ada di negara kini sedang berlumba-lumba membuat promosi jualan tiket pada harga yang begitu menarik untuk menarik pengunjung. Ini lah masa terbaik untuk anda, cuti-cuti pusing satu Malaysia.
Selaras dengan keputusan tersebut, bagi taman tema, had pengunjung adalah berdasarkan kapasiti ruang serta saiz kawasan taman tema. Pengunjung juga perlu menjalani proses pendaftaran melalui aplikasi MySejahtera, serta pemeriksaan suhu badan dan penyediaan pensanitasi tangan.
Bagi pengusaha taman tema air khususnya, mereka perlu mengikut Garis Panduan Pengurusan dan Penyenggaraan Kolam Renang Awam oleh Pihak Berkuasa Tempatan, serta Garis Panduan Pemantauan Kualiti Kolam Air. Garis panduan serta SOP boleh diperolehi dari laman sesawang Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan juga Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) untuk maklumat lanjut.
Sumber: Bernama