Cuti Selepas PKP: 10 Lokasi Ini Sesuai Bawa Keluarga Rehatkan Minda

Share

Anak-anak dan warga emas adalah insan paling terkesan ketika Perintah Kawalan Pergerakan yang lalu ketika penularan COVID-19 di negara. Mana tidaknya, mereka adalah insan yang perlu berkurung dirumah dan tidak dibenarkan untuk keluar sebarangan dek kerana menjadi individu mudah dijangkiti wabak.

Sekarang ini ketika fasa PKPP, mereka sudah diberi ‘sedikit kebebasan’ untuk keluar ke pasaraya atau bercuti merentas negeri. Nah! ini masa yang sesuai untuk bawa keluarga keluar bercuti dan rehatkan sejenak minda.

Ini 10 lokasi yang dicadangkan:

1. Taman Warisan Kuala Lumpur


Memasuki kawasan hijau Taman Warisan Kuala Lumpur yang merangkumi Taman Botani Perdana, pastinya menyalurkan aura tenang semula jadi untuk dinikmati pengunjung sama ada berjalan kaki, menunggang motosikal atau memandu kereta. Taman ini sebelum ini dikenali dengan panggilan Taman Tasik Perdana. Terkenal dengan keindahan landskap semula jadi yang cukup mengagumkan, tasik bekas lombong bijih timah ketika era penjajahan British ini mempunyai keluasan kira-kira 68 hektar.Dibuka setiap hari jam 7 pagi hingga 8 malam, taman awam yang dibina sejak 131 tahun lalu ini tidak pernah lengang menerima kunjung pelawat terutama mereka yang mengamalkan gaya hidup aktif dan menghayati kehijauan alam.

2. Sungai Congkak, Hulu Langat


Merancang percutian merentas negeri setiap minggu pastinya menelan kos tinggi apatah lagi buat mereka sudah berkeluarga. Apa kata kali ini, jimatkan poket anda dengan memilih lokasi lebih ringkas menerusi aktiviti berkelah di Sungai Congkak. Aktiviti riadah sering dilakukan pengunjung termasuk berkelah, berkhemah, dan mandi-manda. Kunjungan ke sini pastinya tidak bosan kerana perjalanan menuju ke destinasi ini menempuh laluan kampung yang kiri dan kanannya terdapat pelbagai jenis jualan makanan mahupun buah-buahan sesuai sebagai bekalan untuk ke Sungai Congkak. Pelbagai kemudahan tersedia seperti tandas, surau dan taman permainan untuk kanak-kanak beriadah sambil menikmati suasana hijau semula jadi.

3. Nafas Cube, MARDI Serdang


Nafas Cube itu menyediakan kemudahan sesuai bagi mereka yang sukakan percutian santai yang singkat terutama pada hujung minggu, malah kedudukannya yang terletak dalam kawasan ladang kajian MARDI menjanjikan pemandangan penuh kehijauan sesuai buat pencinta alam semula jadi. Di sini juga ada platform untuk pengunjung yang ingin memancing di tasik itu untuk meneroka pelbagai spesies ikan yang terdapat di dalamnya. Bagi kaki pancing juga tidak lagi perlu meninggalkan keluarga semata-mata mahu memenuhi hobi mereka kerana kami turut menyediakan kemudahan lain untuk seisi keluarga. Aktiviti lain yang disediakan seperti berbasikal mengelilingi tasik, selain menikmati suasana kehijauan ladang penyelidikan memandangkan suasana yang redup dipenuhi pelbagai jenis pokok selain laluan yang selamat serta mesra kanak-kanak.

4. Dash Box Hotel Cyberjaya


Tetamu yang menginap di sini pasti teruja dengan kemudahan kolam renang yang beberapa jarak dari lokasi bilik penginapan. Terdapat beberapa jenis pilihan penginapan yang menarik tersedia di sini. Secara amnya, reka bentuk di sini tidak menggunakan 100 peratus kabin sebagai daya tarikan utama, tetapi di Dash Box Hotel ini menerapkan unsur-unsur seperti sebuah kabin yang asal. Konsep penginapan di sini yang begitu ceriah dan meriah pasti menggembirakan seisi keluarga.

5. Trem Kereta Api Bukit Melawati

Bawa keluarga anda untuk menikmati pemandangan indah di atas Bukit Melawati, Kuala Selangor. Turut tersedia ruang parkir percuma untuk pengunjung yang datang menaiki kenderaan sendiri. Tiket dikenakan jika anda memilih untuk menaiki trem keretapi untuk ke atas Bukit Malawati, iaitu RM3 dewasa dan RM2 kanak-kanak. Perkhidmatan trem ini hanya berjalan pada hujung minggu dan cuti umum sahaja. Namun jika anda mempunyai stamina yang tinggi dan tidak kisah berjalan kaki naik ke atas, tiada sebarang caj dikenakan. Sementara pada hari bekerja biasa, pengunjung boleh berjalan kaki atau naik dengan kenderaan sendiri sehingga ke puncak bukit. Antara aktiviti menarik yang anda boleh lakukan di atas puncak Bukit Melawati adalah memberi monyet makan atau bersiar-siar melihat kesan tinggalan sejarah.

6. Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, Lanchang Pahang


Bawa keluarga anda untuk melihat dan memberi makan kepada gajah dengan lebih dekat di Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, Pahang. Pengunjung diberi kebenaran untuk memberi gajah makan bahkan berpeluang melihat anak gajah yang comel mandi di sungai. Tiada sebarang tiket masuk dikenakan tetapi pengunjung boleh memberi sedikit dana dalam bentuk wang ringgit dengan membeli makanan gajah berupa buah-buahan dan diberikan kepada gajah. Jadual aktiviti pelawat adalah bermula seawal pukul 8 pagi hingga pukul 4 petang dari hari Isnin hingga Ahad.

7. Bersantai Dengar Alunan Muzik Di The Symphony Walk, IOI City Mall Putrajaya


Aktiviti riadah yang mengujakan ini pastinya dapat dirasai saat berkunjung ke IOI City Mall Putrajaya. Pusat beli-belah ini menyediakan aktiviti santai menyeronokkan bersama keluarga antaranya menyaksikan pertunjukan air pancuran berirama di The Symphony Walk berhampiran pintu masuk utama. Menariknya, di sekitar The Symphony Walk itu, terdapat beberapa tempat khusus untuk pengunjung berehat sambil mendengar alunan muzik mengiringi pancuran air yang cukup mendamaikan.

8. Bersantai Di Dataran Merdeka


Terletak berhadapan Bangunan Sultan Abdul Samad menjadi mercu tanda bandar raya Kuala Lumpur, ibu negara Malaysia. Tidah lengkap jika berada di sini tanpa mengambil gambar kenang-kenangan berlatarkan view rumput hijau atau Bangunan Sultan Abdul Samad yang telah diwartakan sebagai Warisan Kebangsaan dan pernah suatu ketika dijadikan sebagai Mahkamah Agung. Pada malam hari atau hujung minggu, lokasi ini tidak sunyi dengan kehadiran ramai penduduk kota bersiar-siar. Banyak aktiviti menarik boleh dilakukan di sini, antaranya bermain belon sabun, berbasikal, atau bermain kasut roda.

9. Taman Tasik Taiping, Perak


Ingin melihat panoraman tasik ‘cantik’ dan tertua di negara? Bawa keluarga bersiar-siar di Taman Tasik Taiping, Perak. Tasik ini merupakan bekas lombong dan dicatatkan sebagai taman riadah dan rekreasi pertama dibuka. Berada di taman ini, pengunjung dapat menikmati pemandangan landskapnya yang cantik, dihiasi pokok-pokok berusia ratusan tahun selain terdapat 10 kolam besar lengkap dengan kemudahan tandas, laluan berjoging dan pondok berehat.

10. Bermain Dengan Ikan Tengas Di Sungai Chiling, Selangor


Teringin bermain dengan ikan hidup? Ya! anda boleh berbuat demikian di Santuari Ikan Sungai Chiling, Selangor. Aktiviti ini sangat sesuai dilakukan bersama keluarga tersayang! Ikan Tengas banyak hidup di sini maka pengunjung tidak dibenarkan sama sekali memancing atau menangkap ikan untuk di bawa pulang. Hanya aktiviti memberi makan, berenang bersama atau membelai ikan tersebut sahaja dibolehkan. Lokasi ini dibuka kepada pengunjung pada setiap hari Jumaat, Sabtu dan Ahad sahaja bermula jam 8 pagi hingga 6 petang.

Sumber Foto: Google Image | Flickr | Pinterest

Oleh
Husna