
Isi Kandungan
ToggleJika anda merupakan penghuni bandar besar, pasti tidak menyedari berapa banyak pencemaran bunyi terpaksa ‘diterima’ telinga setiap hari selagi tidak meneroka kawasan kampung dan alam semula jadi.
Jom masuk kampung, jenguk hamparan sawah padi. Pemandangan nan menghijau, bunyi unggas bernyanyi dan panorama indah bakal ‘mengecas’ semula semua pancaindera sekaligus menimbulkan kedamaian jiwa.
Ini antara port sawah padi yang ada di Malaysia untuk anda terokai melangkapkan percutian indah anda.
Ban Pecah, Parit Buntar Perak


Ban Pecah terletak di Tanjung Piandang, Parit Buntar, Perak memiliki kawasan sawah padi yang begitu unik. Pemandangan dari udara memaparkan sawah padi terbentang dan dari satu sudut yang lain kelihatan pemandangan laut dengan sedikit ruang landai menjadi pusat aktiviti penduduk mahupun orang luar berkunjung untuk beriadah.
Malah di sepanjang laluan pesisiran laut itu boleh kelihatan bongkah batu yang berfungsi menghalang air laut melimpah ke kawasan sawah. Pada hujung minggu, lokasi ini sangat meriah dengan aktiviti memancing dan juga bersantai melihat pemandangan indah terutama tatkala senja di kawasan itu.
Sekinchan, Selangor


Sekinchan pekan yang terletak dalam daerah Sabak Bernam, Selangor ini memiliki pemandangan padi menghijau mengundang pengunjung kota yang rindukan suasana desa.
Sekinchan sangat istimewa kerana pekan ini juga merupakan sebagai salah satu penyumbang utama pengeluaran padi di Malaysia apatah lagi ia kediaman Kilang Pemprosesan Padi sehinggakan ada muzium boleh dikunjungi. Selain menikmati pemandangan sawah padi, pengunjung berpeluang membeli beras yang berkualiti tinggi dari pengeluar padi di sini.
Kampung Agong, Penaga Pulau Pinang

Kampung Agong lokasi ekopelancongan, membangkit nostalgia kehidupan kampung Melayu tradisi dikelilingi sawah padi dan ladang kelapa. Banyak aktiviti yang boleh dilakukan di sini, tidak terhad untuk yang datang secara individu tetapi juga menerima kunjungan berkumpulan atau untuk melakukan sebarang bentuk aktiviti hari keluarga dan sebagainya.
Jika anda berkesempatan boleh ke Kampung Agong Bakar Kapor, Penaga Pulau Pinang. Pastikan anda mengambil kesempatan untuk merakam gambar menarik di setiap sudut di sini terutama sekali buaian yang diikat pada pokok kelapa berlatar belakangkan sawah padi menghijau.
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Tasik Lagenda Naga, Tasik Chini Pahang Bakal ‘Berwajah Baru’

Nama Tasik Chini yang terkenal dengan mitos kewujudan naga kembali disebut-sebut sejak kebelakangan ini, selepas sekian lama tenggelam disebabkan tidak lagi menjadi destinasi pelancongan terkenal negeri Pahang sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Tasik semula jadi kedua terbesar di Malaysia yang terletak kira-kira 70 kilometer dari Pekan, Pahang, dahulunya sinonim dengan bunga teratai memenuhi permukaannya, namun keindahannya dikatakan mula terhakis akibat aktiviti penerokaan tanah secara haram dan perlombongan.
Menyedari akan potensi dan kepentingan Tasik Chini sama ada dalam aspek pelancongan atau sebagai khazanah negara, kerajaan negeri Pahang telah merancang pelbagai inisiatif untuk mengembalikan kegemilangan tasik itu. Pada 13 Mac 2019 telah bersetuju mewartakan kawasan seluas 4,498 hektar di tasik itu sebagai Hutan Simpanan Kekal (HSK). Jumlah 4,498 hektar itu bukanlah satu keluasan yang kecil, kerana jika dihitung secara mudah, ia bersamaan dengan hampir 6,000 saiz padang bola sepak yang berkeluasan 110 meter x 70 meter, menunjukkan keseriusan kerajaan negeri dalam memulih dan memulihara persekitaran Tasik Chini untuk generasi masa depan.
Penanaman 5,000 batang pokok balak terdiri daripada Balau, Meranti dan Merawan di hutan tasik itu sekitar Oktober 2018. Program itu dijalankan dengan kerjasama Jabatan Perhutanan Pahang, pelajar institusi pengajian tinggi di Pekan dan penduduk Felda Chini dan turut disertai penaung SASET, Tengku Arif Temenggong Pahang, Tengku Fahd Muad’zam Shah Sultan Ahmad Shah. Pokok itu akan mengambil masa sekitar 15 tahun untuk menjadi pokok dewasa dan sepanjang tempoh itu, pemantauan akan dilakukan oleh Jabatan Perhutanan bagi memastikan tiada yang dapat menceroboh ke kawasan itu.
Program ini diharapkan dapat memulihkan alam semula jadi di Tasik Chini kerana masih ada yang bergantung kepada aspek ekopelancongan di situ termasuk masyarakat Orang Asli yang mengambil upah membawa bot pelancong.
Namun, walaupun pelbagai rancangan pemulihan sudah dirancang, sudah pasti kejayaannya memerlukan masa. Orang ramai dijangka dapat kembali menikmati keindahan Tasik Chini dalam tempoh 10 hingga 20 tahun. Dasar khas sudah dibuat tahun lalu dan kini kita memasuki peringkat pelaksanaan dengan keutamaan untuk mengekalkan status tapak rizab biosfera oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) selain menjadikannya destinasi pilihan untuk ekopelancongan.
Foto: Tourism Pahang & FB Lake Chini Resort | Sumber: Bernama
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Ini 15 Tempat Menarik Sekitar KLCC Boleh Layan, Kalau Korang Staycation Di KL

Belum ada perancangan untuk ke mana-mana cuti hujung tahun ini? Apa kata anda berjalan-jalan sekitar Kuala Lumpur City Centre (KLCC)
Sebenarnya banyak tempat menarik sekitar KLCC yan boleh kita kunjungi dan bersesuaian dengan bajet yang ada.
Perkongsian @anissurayaaa di laman sosial twitter memberitahu beberapa destinasi menarik yang berdekatan boleh cuba.
Kalau korang pegi KLCC, banyak je tempat best area situ sebenarnya. Kalau macam anis pegi KLCC bukan pegi shopping semata pun, pegi sebab banyak tempat best je area situ.
Jom anis share, TEMPAT MENARIK AREA KLCC. Pilih je yang mana sesuai dengan bajet & masa korang
1. Tengok ikan Jaws dekat Aquaria KLCC
Korang tahu tak kat situ siap boleh masuk sangkar tengok gigi ikan jaws, nama program dia Dive With The Sharks dengan Cage Rage. Pastu wajib tengok ikan Arapaima makan. Korang tengok la ganas tak ganas ikan lombong air tawar tu makan.
2. Main kat Petrosains
Sini bukan setakat budak suka pegi, aku pun seronok hahaha kat sini boleh tengok batu yang keluar minyak, pegang kereta Formula 1, masuk dalam pelantar minyak & nak rasa naik helikopter pun boleh. Besar weh tempat ni! 2 jam pun tak tentu habis pusing.
3. Tengok KL dari jambatan KLCC
Kalau korang nak try naik jambatan tu, get ready la beratur awal pagi. Sebab ada yang pukul 6.30 pagi dah ready nak berebut sebab pass masuk limited!. Tapi boleh layan dalam 10 minit je kat jambatan tu, lepastu pegi melawat area lain pulak.
4. Ronda KL dari KLCC naik Bas GoKL (FREE)
Kalau rasa nak tengok suasana KL, banyak je pilihan. Tapi ni anis share yang free!. Bas ni banyak laluan, so kalau korang setakat nak pusing jalan kat Bukit Bintang, tengok KL Tower, area Chinatown or Central Market, boleh la naik.
5. Tengok suasana Food Truck kat KL
Nak jalan kaki ke sini pun boleh dari KLCC tu! Tempat paling hip kat situ, macam macam truck makanan ada.
6. Masuk Godiva, rasa coklat premium dia
Siapa suka coklat, wajib singgah butik coklat tu. Truffle dark choc dia peh sedap gila! Kalau tak suka coklat, try aiskrim dia. Coklat kat situ dorang jual ikut gram.
7. Bergerak habis kat Superpark
Bawak budak best kat sini! Boleh lompat kat trampolin, panjat dinding, terbang lompat masuk dalam span besar. Pastu siap boleh main scooters, skate board ataupun try main luncur air. Kat sini ada lebih kurang 26 aktiviti boleh main.
8. Try keluar daripada Breakout
Kalau korang suka perah otak ataupun suka main escape room, boleh try pegi situ. Korang kena kunci dalam bilik, pastu guna la clue yang ada dalam bilik tu. Kalau korang boleh keluar ikut time, korang menang! Pegi ramai ramai lagi syok!
9. Rasa makanan dari satu dunia dekat Food Court
Kat situ, tak kesah la korang cerewet ke tak, aku gerenti memang ada makanan yang kena dengan tekak korang! Nak teppanyaki Jepun ada, tomyam Siam ada, nasi kandar Mamak ada, kebab Arab pun ada.
10. Hauntu
Best weh tempat ni! Yela zaman sekolah dulu je last masuk rumah hantu. Sekarang mana nak ada rumah hantu selain Sunway Lagoon tu (tu je aku tahu). Ramai kata sini best tapi wajib pegi ramai ramai sebab seram. So boleh la ajak geng ramai ramai ye
11. Pasar Seni
Okay ni untuk korang yang suka ootd sambil cafe hunting bolehlah pergi area pasar seni tu. Sumpah aku cakap best gila sebab cafe kat sana lawa lawa & sesuai untuk korang yang suka bergambar macam aku ni. Cafe kat situ aesthetic gila!
12. Beam
Okay untuk aktiviti malam pulak, anis suggest pi lah naik beam boleh ronda ronda KL tanpa menggunakan kereta. Takdalah sesak jalan tu cuma nak cari beam tu la susah sikit kalau korang jenis beramai-ramai. Kalau setakat 2 3 orang easy je.
13. KL Hop On Bus
Kalau korang jenis tak reti naik scooter macam aku, tak payah la naik beam hahaha jalan jalan KL naik bas je senang, korang duduk & nikmati pemandangan je. Harga pun tak mahal sangat dalam RM25 sorang macam tu. Yang ni korang boleh beli tiket dekat Klook.
14. Saloma Bridge
Ha for those yang suka ambik gambar boleh try singgah dekat Saloma Bridge. Korang buat la tiktok ke ambik gambar kat situ pun takpe sebab ni memang spot untuk orang ambik gambar. So takyah ler malu malu, semua pi sana memang untuk ambik gambar.
15. Dinner in the Sky
Korang yang datang honeymoon tu ke kan sesuai sangat la bawak partner korang dinner kat langit. Romantik gitu, cuma takda lah lama sangat duk kat atas tu. Tapi okay la untuk merasa dinner atas langit sambil enjoy pemandangan KL haa gituu.
Anis juga turut mencadangkan sesiapa yang datang ke KL, boleh menginap di InterContinental Hotel. Bukan saja murah dan berbaloi, tetapi senang untuk bergerak disebabkan lokasinya hotel dalam banda dan berdekatan kawasan dicadangkan.
Artikel Berkaitan:
Ini 8 Muzium Boleh Dilawati. Selain Kumpul Fakta Menarik, Berbaloi Insta-Worthy Untuk Kaki OOTD!
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Sekali Seumur Hidup Anda Patut Singgah 11 Destinasi Percutian Ini

Isi Kandungan
ToggleUntuk perancangan cuti hujung tahun nanti, mungkin kebanyakan daripada kita sudah pun merancang tarikh percutian untuk sepanjang tahun ini lebih awal selalunya 6 bulan sebelum. Ada yang sudah menempah tiket percutian atau sekadar mencari-cari lokasi terbaru untuk diterokai bersama keluarga, sahabat handai mahupun insan tersayang.
Jika masih tertanya-tanya apakah lokasi terbaik untuk dikunjungi ke luar negara pada hujung tahun ini, Libur cadangkan destinasi percutian sepanjang hayat terbaik buat anda untuk dikunjungi sekurang-kurangnya sekali seumur hidup sebelum menutup mata.
1. Fenomena Aurora Tasik Myvatn, Iceland
Bagi yang suka kepada alam sekitar, apa kata anda cuba kelainan percutian pada kali ini dengan berkunjung ke Tasik Myvatn, Iceland. Aurora merupakan fenomena alam yang terjadi di ruang atmosfera bumi di bahagian Kutub Utara. Ia terhasil daripada interaksi di antara medan magnetik bumi dengan partikel-partikel daripada pancaran matahari.
Cahaya yang biasa terhasil adalah bewarna hijau, merah, biru dan ungu. Jadikan kenangan melihat fenomena aurora sebagai yang terindah dalam hidup anda.
2. Penginapan Terapung, Maldives
Berkunjunglah ke Maldives yang terletak di Lautan Hindi, sekurang-kurangnya sekali seumur hidup anda dan ianya pasti meninggalkan kenangan yang sukar dilupakan. Maldives bukan hanya sebuah pulau tetapi terdiri daripada gugusan 1,192 kepulauan yang terbentuk hasil pergerakan muka bumi dan letusan gunung berapi sejak berjuta tahun lalu. Pulau-pulaunya mendatar, sama ada ditumbuhi pepohon pantai atau pulau pasir sahaja.
Terletak 700 kilometer di barat daya Sri Lanka dan 400 kilometer India, Maldives adalah republik berteras agama Islam sebagai agama rasmi. Ini bermakna mencari makanan halal tidak sukar. Dari lapangan terbang, semua penumpang dihubungkan dengan pengangkutan seperti feri, bot, kapal terbang kecil yang mendarat di atas air untuk membawa tetamu ke pulau dan resort pilihan. Di sebelah pulau ini ada pulau lain iaitu perkampungan nelayan, biarpun dekat, mereka tidak dibenarkan masuk ke pulau ini. Antara aktiviti yang boleh dilakukan adalah snorkling tengah lautan, berenang di pantai, berkelah ke sebuah pulau lain atau memancing ikan.
3. Menaiki Belon Panas di Cappadocia, Turki
Turki merupakan sebuah negara yang terletak di dua benua. Sebahagian besar negara yang didiami 80 juta penduduk iaitu 97 peratus keluasannya terletak di benua Asia, selebihnya terletak di benua Eropah. Aktiviti mesti cuba ketika di Turki adalah menaiki belon panas. Seawal jam 6 pagi, anda dicadangkan ke tempat dikhaskan untuk aktiviti menerbangkan belon panas yang sangat popular di Cappadocia. Belon panas ini akan berlepas tepat jam 7 pagi. Mengikut pengusahanya, masa antara pukul 7 hingga 8 pagi paling sesuai untuk menerbangkan belon panas kerana angin tenang. Jika tiupan angin melebihi 17 kilometer sejam, belon panas tidak dibenarkan terbang oleh pihak berkuasa.
Belon panas yang digunakan datang dalam pelbagai saiz dan boleh menampung 8 hingga 28 penumpang dalam gondola atau bakul mengikut saiz tertentu. Pengalaman menaiki belon panas dan berdiri dalam gondola setinggi paras dada pasti amat mengujakan. Belon panas ini akan berlegar di langit Cappadocia sehingga paras maksimum 610 meter, kemudian turun di beberapa tempat hingga paras terendah 10 meter dari bumi bagi melihat bentuk muka bumi Cappadocia. Satu saranan untuk anda, cari pengendali belon panas yang berlesan untuk mengelakkan berlakunya beberapa perkara yang tidak diingini.
4. Berbasikal di New Zealand
Jika gemar aktiviti sukan berbasikal, apa kata cuba lakukan kayuhan berbasikal, sekurang-kurangnya untuk sekali seumur hidup ke luar negara seperti di New Zealand pada tahun ini. Laluan sepanjang 2500 kilometer Nga Haerenga Cycle Trail di New Zealand baru siap untuk digunakan pada akhir Januari lalu yang mempamerkan landskap, budaya dan warisan terbaik negara tersebut.
Rangkaian laluan itu terdiri daripada 23 laluan mencabar untuk mereka yang lasak serta gemar aktiviti berbasikal. Dalam pada itu, kerajaan New Zealand turut menyalurkan dana untuk menyiapkan binaan tersebut yang turut dilengkapi dengan kereta kabel bagi memudahkan pengunjung bergerak dari satu lokasi ke satu lokasi berlainan.
5. Teroka Piramid Giza, Mesir
Keindahan kota tinggalan sejarah dan binaan agung menjadikan Mesir antara destinasi yang mesti dikunjungi pelancong. Kehebatan kota ini berjaya menarik berjuta pelancong setiap tahun. Selain itu, Mesir kerap menjadi pilihan pelancong ke sini kerana negara ini sangat kaya dengan tinggalan tamadun silam berharga dan artifak unik. Lebih menarik, negara berkenaan menyajikan lebih daripada apa yang dijangka.
Anda berpeluang menyelongkar khazanah misteri Mesir purba dengan mengunjungi piramid di Giza, Colossi of Memnon, Kuil Karnak, Kuil Kom Ombo, KUil Edfu dan Lembah Raja-Raja. Selain itu, jangan lupa untuk melawat beberapa tarikan menarik lain di sini termasuk ke Kubu Pertahanan Saladin, Istana Gawhara, Masjid Mohamed Ali Pasha, Saidina Hussein dan Imam Shafie.
6. Bersantai di Pantai Playas de Nosara, Costa Rica
Pada yang sukakan aktiviti pantai, boleh singgah ke pantai Playas de Nosara, Semenanjung Nicoya yang terletak di Costa Rica. Pantai ini sangat terkenal lebih-lebih lagi selepas pantai itu menerima anugerah Blue Flag. Ia merupakan sebuah anugerah khas pensijilan antarabangsa yang telah diberikan kepada pantai itu kerana menawarkan perkhidmatan pelancongan kualiti tinggi dan pengalaman mesra alam.
Pantai Playas de Nosara ini amat bersih dan kini merupakan salah satu daripada pantai terbaik di Amerika Latin.
7. Binaan Unik Taj Mahal, India
Semestinya kunjungan ke India tidak akan lengkap tanpa kunjungan ke ikon pelancongan India iaitu Taj Mahal. Tiada ungkapan yang dapat menggambarkan perasaan kecuali mereka yang pernah merasai sendiri pengalaman berdiri di depan binaan paling ajaib di dunia itu. Selain mahligai hadiah Shah Jehan kepada isterinya iaitu Mumtaz, pelancong ke India juga boleh melawat kehebatan Kota Pertahanan yang terletak di Agra di samping memerhatikan keunikan budaya masyarakatnya
8. Keajaiban Tembok Besar China
Memamng tidak lengkap percutian ke China jika tidak menjejakkan kaki ke Tembok Besar. Binaan yang telah diisytihar sebagai salah satu daripada tujuh keajaiban dunia merupakan tarikan utama pelancong ke negara itu sejak dulu lagi. Tembok ini mengunjur dari Shanhaiguan di bahagian timur hingga ke Lop Nur di barat. Kajian arkeologi telah mencatatkan bahawa panjang Tembok Besar China bersama cabang-cabangnya adalah 8,851.8 kilometer.
Keunikannya adalah bahagian dalam temboknya berisi tanah yang bercampur dengan batu-batan. Jika anda seorang kaki berjalan, Tembok Besar China merupakan destinasi yang perlu anda jejak dalam hayat ini. Sebagai tanda sudah sampai di sini, pengunjung yang melawat ke Tembok Besar China boleh mendapatkan sijil pendakian beserta gambar peribadi berlatarkan Tembok Besar itu dengan bayaran beberapa yuan sahaja. Pengunjung boleh mendapatkan sijil serta gambar kenangan sebaik sahaja pendakian selesai.
9. Selami Khazanah The Great Barrier Reef, Australia
Apa kata rancang percutian sepanjang hayat ke Australia, pulau negara benua terbesar yang terletak di hemisfera selatan. Australia menjanjikan tempat dan tarikan pelancongan menarik dengan pelbagai keistimewaan yang mungkin tidak dapat dirasai di tempat lain. Selain terkenal sebagai destinasi yang menjanjikan percutian dekat dengan hidupan liar, melancong ke Australia juga bererti merasai keindahan alam sekitar. Bagi yang sukakan aktiviti menyelam skuba atau snorkel boleh melihat keindahan batu karang dan ikan pelbagai warna di The Great Barrier Reef.
The Great Barrier Reef adalah salah satu destinasi yang wajib dikunjungi ketika melancong di Australia. Sepanjang 2300 kilometer dari Cairns ke Bundaberg, The Great Barrier Reff mengandungi 900 pulau menakjubkan dan terumbu karang. Di sini juga anda boleh melihat pemandangan indah pantai di Pulau Lady Elliot dengan terumbu karang yang berwarna warni. Pulau itu dianggap sebagai salah satu destinasi menyelam terbaik di dunia.
10. Menyusuri Terusan Venice, Itali
Sebut sahaja Itali, terbayang kehebatan bangunan bersejarah peninggalan tamadun Empayar Roman di mana ibu kota Itali, Rom telah berkurun dijadikan pusat peradaban politik dan agama. Begitu juga tempat menarik lain seperti Pisa dengan menara condong, Florence dengan Santa Maria del Fiore, Venice dengan terusannya dan Milan, kota fesyen terkenal dunia. Jangan lupa ambil peluang bersiar di lokasi menarik seperti Venice yang terletak di utara pantai timur Itali.
Anda akan tiba di Venice dengan melalui jambatan Ponte della Liberta yang menghubungkan tanah besar dengan bahagian utara Pulau Venice. Dari situ anda boleh berjalan ke Tronchetto Pier untuk menaiki teksi air (Venezia) ke Bandar Venice untuk tiba di jeti Piazza San Marco. Aktiviti yang mesti dilakukan adalah menaiki gondola menyusuri terusan bandar Venice. Alangkah indah dan romantik berada di atas gondola menyaksikan deretan bangunan lama di kiri kanan. Di antara terusan paling sibuk dan terkenal adalah Grand Canal.
11. Kejaiban Air Terjun Niagara, Amerika Syarikat & Kanada
Air Terjun Niagara terletak di kawasan sempadan antarabangsa di antara Amerika Syarikat (AS) dan Kanada. Kawasan air terjun di bahagian AS mempunyai ketinggian 55 meter dan 318 meter lebar. Sementara air terjun di Kanada atau dikenali sebagai Air Terjun Horseshoe pula mempunyai ketinggian 53 meter dan selebar 660 meter. Walaupun bukan air terjun tertinggi atau paling lebar di dunia, ia mampu menghasilkan aliran air untuk janakuasa elektrik.
Perjalanan untuk ke kawasan air terjun itu boleh dimulakan dari mana-mana bahagian iaitu sama ada dari pangkalan di Ontario atau New York. Di Ontario, terdapat tiga buah kapal besar dengan kapasiti 600 orang penumpang disediakan kepada para pengunjung sementara dua buah kapal yang boleh memuatkan 300 orang, setia menanti pengunjung di pangkalan New York.
Sepanjang pengembaraan itu, pengunjung pasti terpesona dengan pemandangan dua buah pulau besar iaitu Grand Island dan Goat Island yang terletak di AS. Lebih menarik lagi, terdapat empat buah jambatan yang merentasi kawasan air terjun tersebut seperti Jambatan Peace, Jambatan Rainbow dan Jambatan Whirpool. Jika melancong ke sini, jangan lepaskan peluang merasai pengalaman menarik ini di Air Terjun Niagara.
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI