Berita

CUKAI PELANCONGAN: RAKYAT MALAYSIA TAK PERLU BAYAR

Share

Oleh: MOHAMAD NAUFAL MOHAMAD IDRIS via Sinar Harian

Rakyat Malaysia tidak akan dikenakan cukai pelancongan apabila cukai tersebut dilaksanakan kelak.

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, keputusan tersebut dibuat oleh kerajaan setelah mengambil kira maklum balas daripada pelbagai pihak. “Kerajaan telah memutuskan supaya cukai pelancongan tidak dikenakan ke atas rakyat Malaysia yang menginap di semua jenis premis penginapan, iaitu dari lima bintang ke tiada bintang.

“Ini menujukan kerajaan peka terhadap kebimbangan rakyat, terutamanya mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana.

Ini juga adalah salah usaha kerajaan untuk merancakkan promosi pelancongan domestik,” katanya ketika menjawab soalan Anthony Loke (DAP-Seremban). Kadar cukai pelancongan adalah RM10 bagi setiap bilik semalam di semua jenis premis penginapan, dengan cukai tersebut hanya dikenakan terhadap pelancong luar negara yang melancong di negara ini. Namun Nazri berkata, premis yang memiliki lima bilik ke bawah tidak perlu mengutip cukai berkenaan.

“Perlaksanaan cukai pelancongan akan diumumkan sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam masa terdekat. “Pihak Jabatan Kastam Diraja Malaysia telah menyediakan draf peraturan cukai pelancongan dan draf ini dalam semakan akhir oleh Jabatan Peguam Negara,” jelasnya.

Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan mensasarkan kutipan cukai pelancongan sebanyak RM210,956,787 dalam tempoh setahun dengan setiap RM1 cukai yang dikutip akan dikembalikan semula kepada kerajaan negeri untuk tujuan promosi pelancongan.

Oleh
Mohd Zulfadli Ahmad Mazaki