Perasaan tak beberapa minggu ini, cuaca disekeliling kita agak panas daripada hari-hari biasa? Kalau awal pagi, matahari sudah naik mencanak dengan suhu tinggi terasa bahang dipermukaan kulit. Jika masuk waktu tengah hari, tak perlu cakaplah macam mana panasnya suhunya menyapa jika berada di luar bangunan. Begitu juga malam hari, hembusan angin tidak terasa damai.
Cuaca panas yang melanda negara kebelakangan ini merupakan cuaca biasa yang berlaku dalam musim Monsun Barat Daya. Sumber Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), situasi itu berlaku berikutan angin Monsun Barat Daya kembali normal seperti tahun-tahun sebelumnya.
Ketika ini negara masih dalam Monsun Barat Daya, jadi kebiasaan pada musim ini secara relatifnya memang akan berlaku cuaca panas berikutan kurangnya taburan hujan. Tetapi dua bulan kebelakangan ini iaitu pada Jun dan Julai kita berdepan dengan situasi Monsun Barat Daya lemah sehingga mewujudkan keadaan lembap yang luar biasa. Namun bermula minggu ini, Monsun Barat Daya sudah kembali normal dan angin bertiup dari Barat Daya sudah bermula menyebabkan negara mengalami hujan yang kurang dan rasa panas daripada biasa.
Jangan lupa menjaga kesihatan diri anda dengan minum banyak air dan kurangkan berada di luar rumah jika tidak perlu.