Satu masa dulu, kalau kita sebut saja Pantai Cherating, mesti semua orang especially yang tinggal di semenanjung tahu tentang kecantikan dan keindahan yang disajikan pantai tersebut kepada pengunjung yang bercuti di sana.
Membuatkan nama Pantai Cherating lebih popular apabila pernah menjadi lokasi pengambaran filem tersohor Malaysia satu masa dulu iaitu Senario Lagi arahan Aziz M. Osman pada tahun 2000. Kalau saya sebutkan, pasti adegan yang tak dapat dilupakan adalah babak di mana Saiful, Lan Pet Pet, Azlee dan Yassin terpedaya untuk pergi ke ‘Taman Skodeng’, hahaha.
Kita throwback sekejap babak filem tu di bawah,
Tapi sejak kebelakangan ini, perasan tak nama Pantai Cherating makin kurang meniti di bibir para pelancong atau wisata yang mencari tempat persinggahan pantai bagi mengisi masa lapang dan meluangkan masa bersama kawan serta keluarga.
Mungkin orang ramai sekarang mempunyai banyak pilihan pantai-pantai lain di seluruh negara, membuatkan nama Pantai Cherating sedikit ‘tenggelam’? Ditambah faktor kepelbagaian aktiviti dan tarikan pantai di tempat-tempat lain pun antara penyumbang kepada kekurangan pengunjung ke Pantai Cherating.
Melihat kepada keadaan itu, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Negeri Pahang (MOTAC Negeri Pahang) tampil dengan inisiatif untuk mengembalikan semula kegemilangan Pantai Cherating dengan menganjurkan Cherating Tenggara Wind Challange 2019 (CTWC2019) baru-baru ini.
CTWC2019 yang julung-julung kali dianjurkan itu mempertandingkan kehebatan dan kecekapan peluncur-peluncur air dalam beberapa kategori pertandingan seperti wind surfing, kite surfing, kite buggy dan stand up paddle surfing.
Saya sempat menemubual Pengarah MOTAC Negeri Pahang, Datuk Idrus Yahya, dan beliau katakan CTWC2019 ini adalah untuk mengetengahkan aktiviti-aktiviti berasaskan pantai dan laut supaya menarik minat lebih ramai pelancong datang dan menggunakan segala kemudahan sukan air yang ditawarkan penduduk setempat sekitar Pantai Cherating.
Malah tak kurang dari itu ujar Datuk Idrus, CTWC2019 akan disenaraikan sebagai acara utama Pantai Cherating bagi meraikan Tahun Melawat Malaysia 2020 dengan sasaran 30 juta pelancong dan berbelanja RM100 billion di negara kita. Itu satu berita yang sangat positif kepada semua rakyat Malaysia dan orang Pahang terutamanya peminat-peminat tegar sukan air sebab ada acara mega yang boleh kita datang dan raikan bersama.
Kalau anda pernah sampai ke Pantai Cherating, anda pasti ingat kawasan pantainya yang berteluk dan tiupan angin di sekitarnya cukup sesuai untuk acara luncur air. Faktor-faktor geografi ini membuatkan penyertaan bukan sahaja dari Malaysia, malah peserta dari luar negara turut sama menyertai dan memeriahkan CTWC2019.
Ada sembilan negara yang menyertai acara CTWC2019 antaranya adalah Malaysia dengan 30 peserta, Perancis empat peserta, Filipina tiga peserta, Australia, Itali dan Singapura dua peserta dan Amerika Syarikat, Ukraine dan Finland masing-masing satu peserta.
Cuba anda fikirkan sejenak, kalau pelancong dari luar negara sendiri datang untuk meluncur air di negara kita, tidak kah itu menunjukkan bahawa ada tarikan tersendiri yang menjadi magnet yang menarik pelancong-pelancong luar itu datang ke Pantai Cherating? Jawapan saya, sudah tentu ya!
Jadi kalau anda minat nak cuba aktiviti sukan air yang lain daripada yang lain seperti wind surfing, kite surfing, kite buggy dan stand up paddle surfing, jom kita ke Pantai Cherating!