Satu masa dulu, kalau kita sebut saja Pantai Cherating, mesti semua orang especially yang tinggal di semenanjung tahu tentang kecantikan dan keindahan yang disajikan pantai tersebut kepada pengunjung yang bercuti di sana.
Membuatkan nama Pantai Cherating lebih popular apabila pernah menjadi lokasi pengambaran filem tersohor Malaysia satu masa dulu iaitu Senario Lagi arahan Aziz M. Osman pada tahun 2000. Kalau saya sebutkan, pasti adegan yang tak dapat dilupakan adalah babak di mana Saiful, Lan Pet Pet, Azlee dan Yassin terpedaya untuk pergi ke ‘Taman Skodeng’, hahaha.
Kita throwback sekejap babak filem tu di bawah,
Tapi sejak kebelakangan ini, perasan tak nama Pantai Cherating makin kurang meniti di bibir para pelancong atau wisata yang mencari tempat persinggahan pantai bagi mengisi masa lapang dan meluangkan masa bersama kawan serta keluarga.
Ads
Mungkin orang ramai sekarang mempunyai banyak pilihan pantai-pantai lain di seluruh negara, membuatkan nama Pantai Cherating sedikit ‘tenggelam’? Ditambah faktor kepelbagaian aktiviti dan tarikan pantai di tempat-tempat lain pun antara penyumbang kepada kekurangan pengunjung ke Pantai Cherating.
Cherating Tenggara Wind Challange 2019
Melihat kepada keadaan itu, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Negeri Pahang (MOTAC Negeri Pahang) tampil dengan inisiatif untuk mengembalikan semula kegemilangan Pantai Cherating dengan menganjurkan Cherating Tenggara Wind Challange 2019 (CTWC2019) baru-baru ini.
Ads
CTWC2019 yang julung-julung kali dianjurkan itu mempertandingkan kehebatan dan kecekapan peluncur-peluncur air dalam beberapa kategori pertandingan seperti wind surfing, kite surfing, kite buggy dan stand up paddle surfing.
Saya sempat menemubual Pengarah MOTAC Negeri Pahang, Datuk Idrus Yahya, dan beliau katakan CTWC2019 ini adalah untuk mengetengahkan aktiviti-aktiviti berasaskan pantai dan laut supaya menarik minat lebih ramai pelancong datang dan menggunakan segala kemudahan sukan air yang ditawarkan penduduk setempat sekitar Pantai Cherating.
Malah tak kurang dari itu ujar Datuk Idrus, CTWC2019 akan disenaraikan sebagai acara utama Pantai Cherating bagi meraikan Tahun Melawat Malaysia 2020 dengan sasaran 30 juta pelancong dan berbelanja RM100 billion di negara kita. Itu satu berita yang sangat positif kepada semua rakyat Malaysia dan orang Pahang terutamanya peminat-peminat tegar sukan air sebab ada acara mega yang boleh kita datang dan raikan bersama.
Ads
Kalau anda pernah sampai ke Pantai Cherating, anda pasti ingat kawasan pantainya yang berteluk dan tiupan angin di sekitarnya cukup sesuai untuk acara luncur air. Faktor-faktor geografi ini membuatkan penyertaan bukan sahaja dari Malaysia, malah peserta dari luar negara turut sama menyertai dan memeriahkan CTWC2019.
Ada sembilan negara yang menyertai acara CTWC2019 antaranya adalah Malaysia dengan 30 peserta, Perancis empat peserta, Filipina tiga peserta, Australia, Itali dan Singapura dua peserta dan Amerika Syarikat, Ukraine dan Finland masing-masing satu peserta.
Cuba anda fikirkan sejenak, kalau pelancong dari luar negara sendiri datang untuk meluncur air di negara kita, tidak kah itu menunjukkan bahawa ada tarikan tersendiri yang menjadi magnet yang menarik pelancong-pelancong luar itu datang ke Pantai Cherating? Jawapan saya, sudah tentu ya!
Jadi kalau anda minat nak cuba aktiviti sukan air yang lain daripada yang lain seperti wind surfing, kite surfing, kite buggy dan stand up paddle surfing, jom kita ke Pantai Cherating!
Sentiasa up to date tentang tempat healing dan relax dengan LIBUR. Berlibur dan download seeNI sekarang!
Kalau singgah Pantai Tanjung Buluh Johor yang terletak di Sedili Kechil, Daerah Kota Tinggi, anda pasti tenang apabila melihat pemadangan indah air menghempas pasir. Cukup puas untuk release tension setelah lelah mencari rezeki.
Pantai Tanjung Buluh Johor
Apa yang menarik, suasana mahal di sini terutama ketika matahari terbit dan terbenam menjadikan pantai ini antara pantai awam yang kerap dikunjungi orang ramai yang ingin beriadah bersama keluarga tersayang. Tempat terjaga dan tiada sebarang bayaran kemasukan dikenakan.
Nak Berkhemah Pun Boleh
Sesuai untuk dijadikan spot bercuti bersama keluarga dan rakan-rakan, di Pantai Tanjung Buluh terdapat kemudahan seperti taman permainan, buaian, banyak tempat menarik untuk bergambar, tapak perkhemahan, bilik air dan tempat bilasan, dan sesuai untuk berkelah di petang hari.
Ramai pengunjung suka singgah sini untuk ‘berootd’ dan layan teduhkan emosi yang penat dengan melihat sekitar lokasi yang tak serabut untuk dipandang.
Lokasi:
Pantai Tanjung Buluh, Sedili Kechil
Sentiasa up to date tentang tempat healing dan relax dengan LIBUR. Berlibur dan download seeNI sekarang!
Hutan Lipur Kuala Woh terletak 13 kilometer dari Pekan Tapah di daerah Tapah, Perak bukanlah lokasi pelancongan yang baharu. Namun masih ramai yang belum tahu mengenai keindahan alamnya.
Terletak di jalan lama dari Tapah-Cameron Highlands, keunikan lokasi ini adalah pengunjung boleh mandi-mandi di kawasan jeram sungai yang begitu mendamaikan.
Hutan Rekreasi Kuala Woh yang juga terletak di dalam Hutan Simpan Bukit Tapah ini menyediakan denai penerokaan hutan yang lengkap sekali gus menawarkan perjalanan dan pengembaraan menarik. Di kawasan jeram air terjun, pengunjung dapat melihat kehijauan pokok-pokok di sekelilingnya. Pokok yang ada dianggarkan lebih puluhan tahun dan berfungsi sebagai teduhan untuk mengelakkan cuaca panas terutama kepada orang ramai.
Uniknya jeram di sini bercampur dengan air panas semula jadi. Bagi yang ingin merasai kehangatan airnya boleh berendam di kawasan kolam air panas. Anda boleh merasai kepanasan pasir di dasarnya. Bagi yang mahu merasai kesejukan air, boleh memilih untuk berendam di kawasan bersebelahan kolam air panas sama ada di kira atau kanan sepanjang jeram.
Bukan saja lokasi berkelahnya cukup mengujakan tetapi juga destinasi percutian alam ini kaya dengan keindahan flora dan fauna mempesona. Kehadiran rama-rama Rajah Brooke’s yang hidup bebas di dalam habitat semula jadinya dan gabungan air sungai Batang Padang serta air panas semula jadi di Lubuk Merbau melengkapkan percutian alam di Hutan Rekreasi Kuala Woh ini.
Selain itu, jambatan gantung sepanjang 30 meter yang merentasi Sungai Batang Padang membolehkan pengunjung menikmati pemandangan yang menarik daripada bahagian atas jambatan satu daya penarik yang unik bagi hutan rekreasi ini.
Kemudahan asas seperti dewan terbuka, kafe, chalet, pondok rehat, tandas, tapak perkhemahan dan tapak caravan turut disediakan bagi menjamin keselesaan pengunjung. Dibuka dari jam 7 pagi hingga 6 petang, bayaran sebanyak RM2 dan RM1 untuk kanak-kanak dikenakan. Bagi perkhemahan dan bermalam pula, anda perlu berhubung dengan Pejabat Hutan Daerah.
Sentiasa up to date tentang tempat healing dan relax dengan LIBUR. Berlibur dan download seeNI sekarang!
‘More to Discover’ boleh dikatakan di Kuching, Sarawak ada segala-galanyanya untuk diterokai. Ibu negeri Bumi Kenyalang ini sering menjadi destinasi pilihan pengunjung dalam negara dan juga pelancong luar kerana mempunyai keunikan tersendiri, merangkumi kebudayaan, alam semula jadi, sajian dan kesenian.
Kalau datang ke Kuching kitak tau sik (anda tahu tak) tempat mana yang menarik untuk pergi? Kalau tidak tahu atau kurang pasti, nah.. ini cadangan Libur untuk kalian.
Kuching Waterfront
Kuching Waterfront menjadi kawasan tumpuan dan ‘bintang’ di Kuching dek keindahan ‘view’ samada pada siang atau malam hari. Pengunjung berpeluang melihat pelbagai sisi panorama dari kawasan ini seperti bangunan Dewan Undangan Negeri, Masjid India Terapung dan Jambatan Darul Hana. Ramai penduduk tempatan dan pengunjung luar bersantai dan mengambil angin di kawasan Kuching Waterfront menjelang matahari terbenam. Anda juga boleh cuba untuk berlibur menyusuri sungai atau ke kampung seberang membeli kek lapis Sarawak menaiki Sarawak River Cruise atau Perauk Tambang.
The Brooke Gallery
Jika anda minat akan sejarah, jangan lupa untuk melawat The Brooke Gallery yang terletak di Kubu Margherita. Anda pasti terpesona dengan bangunan warisan bersejarah yang masih kukuh dipulihara dengan baik. Binaan di Kubu Margherita ini dibina pada 1879 dan kini dikenali sebagai The Brooke Gallery yang menempatkan banyak dokumen dan artifak bersejarah negeri Sarawak.
Di sini terdapat sebuah bilik yang menempatkan tengkorak musuh yang telah dipenggal pada suatu ketika dahulu.
Tugu Kuching
Tidak sah sekiranya datang ke Kuching tidak singgah bergambar dengan tugu kucing yang comel terletak dibulatan berhampiran dengan Plaza Sarawak. Tugu ini merupakan tugu kebanggan rakyat negeri Sarawak. Boleh dikatakan banyak cenderamata menggunakan imej tugu kucing ini sebagai simbolik negeri Sarawak untuk dijadikan kenang-kenangan.
Pada malam hari tugu kucing ini akan dilimpahi dengan sorotan lampu berwarna-warni yang begitu indah. Menurut lagenda, Kuching mendapat nama kerana kewujudan banyak kucing hutan yang kelihatan di sekitar sungai berhampiran suatu ketika dahulu.
Semenggoh Wildlife Center
Semua sedia maklum Sarawak kaya dengan destinasi flora faunanya tersendiri dan mempunyai hutan hujan antara tertua di dunia. Ia adalah aset penting dan berharga Bumi Kenyalang, sekali gus habitat kepada ribuan spesies tumbuhan dan haiwan. Seperti di Sabah, Sarawak juga terkenal dengan habitat orang utan liar di kawasan Semenggoh Wildlife Centre.
Masa yang sesuai untuk anda melawat pusat ini adalah pada jam 9 pagi dan 3 petang kerana ini adalah waktu makan untuk orang utan. Bilangan orang utan yang akan keluar pada waktu makan tidak menentu. Kalau anda bernasib baik, anda dapat menyaksikan beberapa ekor orang utan datang mengambil makanan. Kadangkala pengujung akan pulang dengan perasaan hiba kerana orang utan langsung tidak kelihatan terutama pada musim buah.
Sarawak Culture Village
Selain alam semula jadi, Sarawak juga gah di mata dunia kerana dibina dan dibangunkan dengan penuh harmoni oleh masyarakat pribuminya. Biarpun terdapat 30 etnik berlainan termasuklah suku kaum Iban, Melayu, Melanau, Bidayuh, Orang Ulu dan Penan mereka hidup dalam kelompok yang aman dan damai.
Semua kumpulan etnik ini memiliki bahasa, kebudayaan serta corak hidup tersendiri sejak zaman lampau, era pemerintahan James Brooke hingga merdeka. Antara keistimewaan dapat dilihat seperti pakaian, kraf tangan, makanan, gaya hidup, tarian dan kediaman tradisi pelbagai etnik berbeza.
Hendak merantau satu negeri Sarawak melihat setiap suku kaum mungkin mengambil sedikit masa. Untuk memudahkan anda mengetahui lebih lagi mengenai suku kaum ini, anda boleh berkunjung ke Sarawak Cultural Village. Di sini menempatkan replika pelbagai rumah kaum etnik Sarawak bersaiz sebenar. Selain melawat rumah-rumah tradisi ini, anda boleh merasai sendiri kepelbagaian budaya Sarawak seperti pemakaian kostum, juadah tradisi, mencuba alat sumpit, atau menari bersama kumpulan kebudayaan yang membuat persembahan setiap hari.
Sarawak Cultural Village adalah destinasi wajib dikunjungi sekiranya anda berada di Kuching.
Rumah Panjang Bidayuh Annah Rais
Anda juga boleh melihat sendiri dan berkunjung ke rumah panjang sebenar di Rumah Panjang Annah Rais Bidayuh yang berusia lebih 200 tahun. Terletak 85km dari bandar Kuching dan berada di kaki bukit Borneo Highland, suasana sekitar ini begitu tenang walaupun kampung tradisi ini semakin moden.
Rumah panjang ini sentiasa mengalukan kunjungan orang luar. Anda boleh memilih untuk meneroka kawasan sekitar ini seharian atau memilih untuk tinggal bersama penghuninya. Ucapan selamat datang dan hidangan tuak disediakan kepada pengunjung tatkala menjejakkan kaki di perkampungan ini sebagai simbolik kunjungan anda sangat dialu-alukan.
Terdapat pelbagai tarikan di sini antaranya Head House yang berusia 150 tahun, Kolam Air Panas,dan Air Terjun Tiga Tingkat. Nak lebih meriah, anda perlu berkunjung ke sini ketika Hari Gawai. Seluruh penduduk kampung akan berkumpul untuk merayakan perayaan ini dengan begitu meriah.
Ole-Ole Sarawak
Membeli-belah di Sarawak juga merupakan aktiviti utama yang mesti dilakukan, selain menjanjikan pengalaman yang berbeza di mana pengunjung akan disajikan dengan pelbagai produk tempatan seperti cenderamata hasil kraftangan, produk kering juga bahan makanan basah untuk di bawa pulang.
Dengan rangkaian produk yang pelbagai, sesiapa sahaja yang berkunjung ke Sarawak pasti rambang mata untuk membawa pulang signature produk utama Sarawak seperti Kek Lapis Sarawak, Ikan Terubuk Masin, Sayur Midin, Lada Hitam dan juga hasil kraf. Bahkan ada yang mengatakan, jika produk-produk tersebut tidak dibeli, tidak lengkap rasanya kunjungan ke Sarawak.
Medan Niaga Satok
Medan Niaga Satok merupakan pasar yang menghimpunkan pelbagai barangan keperluan harian di bawah satu bumbung. Menariknya di sini terdapat banyak gerai yang menjual ikan terubuk masin.
Ikan terubuk masin menjadi satu kemestian kepada mereka yang berkunjung ke Sarawak untuk membeli dan membawa pulang ke tempat masing-masing. Maka, tidak hairan jika seseorang itu melancong ke Bumi Kenyalang tidak akan lupa singgah membeli ikan terubuk masin yang banyak dijual di Medan Niaga Satok sebagai buah tangan untuk sanak-saudara serta sahabat handai.
Mungkin berasa segan untuk menghadiahkan ikan masin sebagai buah tangan atau ole-ole dari Sarawak tetapi jangan risau, kerana keenakan rasa ikan itu pasti akan menambat hati mereka untuk terus mendapatkan ikan-ikan terubuk masin ini. Kelebihan ikan terubuk masin Sarawak terletak pada jenis ikan dan teknik ketika memprosesnya. Ikan terubuk tempatan ternyata lebih berkualiti dengan isinya yang lebih cantik dan lebih segar berbanding ikan terubuk import yang sedikit tawar. Jangan risau jika ingin membawa pulang ke Semenanjung dan menaiki pesawat kerana kebanyakan pengusaha ikan terubuk masin di pasar ini mempunyai teknik tersendiri untuk melakukan pembungkusan ikan agar ia boleh dibawa masuk ke dalam pesawat tanpa mengeluarkan bau, basah dan ikan ini mampu bertahan dalam tempoh empat hingga lima hari di dalam kotak berkenaan.
Sajian Sarawak
Di Kuching, Sarawak ada menyajikan pelbagai juadah lazat seperti Nasi Beras Bario, Manok Pansuh, Laksa Sarawak, Mi Kolok, dan Midin Belacan. Semuanya ada disajikan di restoran serta medan selera di bandar-bandar utama. Pilih sahaja destinasi menjamu selera yang anda inginkan antaranya seperti di Restoran Lepau, Restoran Budaya Sarawak, dan Bukit Mata Seafood Restaurant Rooftop.
Bercerita mengenai Kuching, Sarawak memang tidak cukup ruang dan masa. Jom terokai Sarawak Bumi Kenyalang bersama keluarga, sahabat handai dan yang tersayang.
Sentiasa up to date tentang tempat healing dan relax dengan LIBUR. Berlibur dan download seeNI sekarang!