Cegah COVID-19: Taman Tema Di Jepun Larang Pengunjung ‘Menjerit’ Walaupun Menaiki Roller Coaster

Share

Beberapa buah taman tema besar di Jepun telah membuka kembali operasinya setelah ditutup untuk beberapa bulan akibat COVID-19.

Ramai penduduk di Jepun mengambil peluang untuk keluar rumah dan berhibur di taman tema ini setelah lama hanya ‘berkurung’ di rumah masing-masing. Pengendali beberapa taman hiburan di Jepun telah mengeluarkan panduan bagi memastikan taman itu selamat dikunjungi.

Antara saranan dikeluarkan adalah pengunjung perlu sentiasa memakai pelitup muka dan tidak menjerit terlalu kuat ketika menaiki roller coaster atau mana-mana permainan. Itu sebahagian ‘cara normal baru’ yang perlu dipatuhi pengunjung di taman tema sekitar Jepun dalam era pandemik Covid-19.

Selain itu, kakitangan taman tema termasuk mereka yang mengenakan kostum maskot haiwan atau adiwira tidak boleh bersalam atau memberikan ‘high five’ kepada pengunjung kanak-kanak. Mereka juga perlu memastikan jarak selamat sesama mereka.

Setiap kakitangan yang ditugaskan memainkan watak aksi pula dilarang melakonkan secara keterlaluan bagi mengelakkan mencetuskan situasi yang memerlukan pengunjung menjerit untuk menghalang titisan tersebar di udara.

Panduan itu turut menjelaskan permainan realiti maya tidak boleh dibuka kecuali cermin mata khas yang digunakan disanitasi sepenuhnya. SOP di taman tema itu mungkin tidak boleh menghalang kes jangkitan COVID-19 tidak berlaku sepenuhnya, namun ia dijangka mengurangkan risiko.

 

 

Sumber: CNN.com | Japantimes | HMOnline

Oleh
Husna