Ketika ini, semua umat Islam di dunia sedang menjalani ibadah berpuasa. Walaupun sedang berpuasa rutin harian perlu berjalan seperti biasa. Ada yang perlu ‘travel’ menaiki kapal terbang ke luar negara atau daerah lain atas tujuan tuntutan kerja, pulang ke kampung halaman, menghadiri majlis tertentu dan ada juga yang suka melancong ketika berpuasa.
Perjalanan penerbangan ke destinasi yang ditujui kemungkinan ketika waktu bersahur atau waktu berbuka puasa. Adakah anda tahu bagaimana cara yang betul untuk menentukan waktu imsak dan waktu berbuka dengan betul? Jika tidak, ini adalah panduan yang boleh anda ambil tahu.
Waktu Imsak
Kaedah menentukan waktu Imsak yang tepat dalam penerbangan adalah dengan merujuk secara terus kepada tanda-tanda cahaya fajar di ufuk timur. Rujukan kepada alat-alat kiraan hanyalah tepat sebagai jangkaan dan perancangan awal. Waktu Imsak, iaitu waktu berhenti dari makan dan minum serta permulaan bagi ibadah puasa adalah apabila timbulnya cahaya pagi di ufuk Timur yang jelas lagi nyata kelihatan. Ini adalah waktu yang sama bagi permulaan solat Subuh.
Waktu Berbuka Puasa
Dalam menentukan waktu berbuka puasa, ramai orang menganggap bahawa waktu berbuka puasa bagi mereka pada hari tersebut adalah berpandukan waktu ketika di ruang udara tempat tersebut. Contohnya, jika pesawat tersebut berada di ruang udara indonesia, maka waktu berbuka puasa perlu mengikuti waktu berbuka puasa di Indonesia.
Lihat Matahari Terbenam
- Berdasarkan kenyataan Ketua Persatuan Ulamak Sedunia, waktu berbuka puasa bagi mereka yang sedang bermusafir dengan menaiki kapal terbang adalah selepas terbenamnya matahari atau hilangnya matahari dari penglihatan mereka dan bukannya mengikut waktu di mana kapal terbang berada.
- Setiap orang yang bermusafir dengan menaiki kapal terbang tidak boleh berbuka puasa mengikut waktu dari kawasan kapal terbang itu berlepas atau mengikut waktu di mana kapal terbang itu mendarat dan juga tidak mengikut waktu di mana kedudukan kapal terbang itu berada sekarang.
- Jika krew kabin telah mengumumkan telah masuk waktu berbuka puasa, seeloknya perhatikan di tingkap di mana kedudukan matahari. Jika matahari sudah tidak kelihatan, maka anda boleh berbuka puasa. Namun, jika masih ternampak matahari, maksudnya belum masuk waktu berbuka.
Ingat ya, antara definisi puasa adalah menahan diri dari makan dan minum serta perkara yang membatalkan puasa dari terbit fajar sehingga terbenam matahari. Waktu berbuka puasa bagi mereka yang berada di dalam kapal terbang di ketinggian yang tinggi pastinya akan sedikit lewat berbanding mereka di darat walaupun berada di negara atau kawasan yang sama. Kelewatan ini boleh mencecah sehingga lewat 20 minit. Jika penumpang tidak yakin, berbukalah ketika sudah sampai di destinasi.
Sumber: Sumberpendidikan.com | Hafizfirdaus.com
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI