Ketika ini, ramai penggiat industri pelancongan yang sedikit lega selepas kerajaan kembali memberi sedikit kelonggaran buat orang ramai di dalam Malaysia merentas negeri. Namun ada beberapa syarat yang perlu dipatuhi.
Walaupun tidak menyeluruh, namun sedikit sebanyak merancakkan kembalu pelancongan negara yang lesu kembali ketika PKPB diumumkan Oktober 2020 lalu. Majlis Pelancongan Malaysia menyambut baik langkah kerajaan memberi kelonggaran untuk perjalanan rentas negeri dan menamatkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi beberapa negeri.
Kebenaran untuk aktiviti pelancongan secara gelembung perjalanan (travel bubble) juga dilihat sebagai satu usaha murni dalam membantu menghidupkan semula sektor pelancongan negara yang terjejas teruk akibat pendemik Covid-19.
Industri pelancongan merupakan antara industri yang paling awal terjejas yang melibatkan hampir 4 juta orang di negara ini dan dianggarkan mengalami kerugian sekitar RM45 bilion dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini akibat pandemik ini.
Presiden Majlis Pelancongan Malaysia, Uzaidi Udanis berkata, bantuan kepada sektor pelancongan perlu disalurkan seberapa segera bagi memastikan sektor pelancongan terus berdaya saing. Pihaknya berharap kerajaan dapat menyalurkan bantuan segera khususnya peruntukan menerusi Pelan Pemulihan Pelancongan yang sedia ada untuk tahun ini bagi membantu sektor pelancongan sementara menanti peruntukan sebanyak RM200 juta menerusi belanjawan 2021.
Menurutnya, Majlis Pelancongan Malaysia yakin menerusi pelan ini dapat menggalakkan lagi perbelanjaan domestik dan dengan sendirinya meningkatkan ekonomi setempat. Pelan tersebut merangkumi:
- Baucar penginapan
- Diskaun destinasi pelancongan
- Diskaun percutian keluarga
- Penyemarakan seni budaya
- Kempen ‘Meet in Malaysia’
- Diskaun pakej petugas barisan hadapan
- Potongan diskaun beli-belah
- Diskaun pengangkutan
Bagi menyahut seruan kerajaan dalam melaksanakan pelan pemulihan pelancongan ini, Majlis Pelancongan Malaysia sedia berganding bahu dengan Kementerian Pelancongan, Seni & Budaya dalam memastikan semua penggiat industri pelancongan yang terjejas sama-sama mendapat manfaat daripada pelan tersebut. Malah, agensi-agensi pelancongan juga diseru agar dapat mengambil peluang ini untuk memasarkan pakej-pakej pelancongan domestik secara kreatif dan berupaya menarik minat masyarakat untuk melancong di dalam negara, sekali gus menjayakan kempen Cuti-cuti Malaysia.
Diharap satu mekanisma atau garis panduan aktiviti pelancongan dapat diumumkan pada kadar segera bagi memastikan tidak timbul kekeliruan dalam kalangan masyarakat untuk melakukan aktiviti pelancongan dalam situasi sekarang. Masyarakat juga harus sentiasa diingatkan untuk mempraktikkan SOP ketat bagi memastikan pencegahan penularan jangkitan dan mereka akan berasa selamat apabila berkunjung ke negara ini.
Jom meriahkan kembali pelancongan domestik Malaysia!
image via google & pexels.com | Sumber: MalaysiaGazette
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI