Burung Hud-Hud, Spesis Rare Kali Pertama Singgah Bersarang Di Taman Tasik Taiping

Share

Tanya sama hud hud antara lagu yang pernah di popularkan oleh Datuk M Nasir. Antara sebahagian liriknya,

Tanya sama itu hud-hud
Lang mensilang
Kui mengsikui
Kerana dia yang terbangkan aku ke mari
Ooh… Sang Algojo
Ooh… nanti dulu

Ternyata burung hud hud ini spesis agak unik dan amat jarang bertelur di negara kita. Bagaimana pun Taman Tasik Taiping dikira bertuah apabila disedari burung hud hud ini membuat telur ini di kawasan pelancongan ini dan ia menarik perhatian banyak pihak.




Burung hud-hud, spesis binatang perikatan Nabi Sulaiman A.S, menjadi utusan pemberitahuan mengenai Puteri Balqis, ratu kaum Saba, dikenal pasti singgah membuat sarang di Taman Tasik Taiping sejak dua minggu lalu.

Yang Dipertua Majlis Pembandaran Taiping, Khairul Amir Mohamad Zubir berkata spesis burung yang jarang didapati di negara ini disedari oleh sekumpulan penggemar burung sewaktu mereka melakukan aktiviti di sekitar kawasan Taman Tasek Taiping.

“Burung Hud-Hud atau Hoopoe termasuk dalam spesis burung hijrah di antara bulan September hingga April setiap tahun apabila musim sejuk melanda di utara Asia. Kebiasaannya, burung-burung hijrah ini akan terbang pulang semula ke negara asal dalam bulan April.

“Spesis burung Hud-Hud ini berasal dari kawasan Afro-Eurosia iaitu di sekitar Eropah, Afrika dan Asia. Spesis yang dilihat di Taman Tasik Taiping ini dipercayai dari spesis Asia, khususnya dari kawasan Asia Utara.

“Pihak MPT akan memantau dan memastikan keselamatan pasangan burung ini yang sedang bersarang dalam lubang pokok Jemerlang ataupun Yellow Flame. Setakat ini, belum ada rekod penemuan pembiakan burung ini di Malaysia. Penemuan ini adalah sesuatu yang amat istimewa," katanya menerusi kenyataan media.




Zoo Taiping & Night Safari akan berkolaborasi dengan Jabatan Perlindungan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Malaysia dan Pertubuhan Kelestarian Ekosistem Alam, Nature Educational Society (NEST) bagi menjalankan kerja-kerja pemantauan berkala di kawasan pembiakan burung Hud-Hud serta menentukan kaedah kawalan keselamatan dan penguatkuasaan.

Menurut Khairul Amir, MPT berharap kerjasama pihak PERHILITAN dan NEST dapat melaksanakan tanggungjawab ini dengan baik seterusnya dapat mengumpulkan pelbagai maklumat melalui kajian yang dijalankan.

“MPT juga berharap orang ramai perlulah memberi kerjasama bagi memastikan pasangan burung Hud-Hud ini tidak diganggu. Sekiranya pasangan burung ini tertekan dengan faktor sekeliling pastinya akan meninggalkan sarang dan tidak kembali lagi.

"Tindakan penguatkuasaan akan diambil sekiranya didapati berlaku sebarang pelanggaran undang-undang terhadap keselamatan pasangan burung ini," jelasnya. Sumber : Peraktastic Exploration & Discovery

Oleh
almaswa Haji Che Ros