Pernah dengan nama destinasi Bung Bratak?
Bagi yang tidak tahu, Bung Bratak yang terletak di daerah Bau merupakan destinasi ideal untuk pencinta alam semula jadi untuk melakukan aktiviti riadah seperti berkelah, berkhemah atau mendaki. Dengan suasana hutannya yang asli, pemandangan dari puncak Bung Bratak amat indah. Untuk sampai ke puncak Bung Bratak ia mengambil masa setengah jam berjalan kaki dari Pusat Warisan Bung Bratak.
Selain bersantai sambil menikmati keindahan pemandangan alam semula jadi pengunjung berpeluang untuk menginap di dua buah rumah panjang dan sebuah Baruk dilengkapi dengan kemudahan asas yang selesa. Pakej termasuk sarapan, makan tengah hari dan makan malam. Puncak Bung Bratak adalah tempat khas di mana upacara tradisional diadakan oleh masyarakat Bidayuh. Penduduk tempatan turut menganggap bahawa puncak Bung Bratak yang seluas sebuah padang bola sepak adalah tempat keramat.
Ingin tahu lebih lanjut mengenai lokasi ini, baca perkongsian daripada Echa Cha
Bung Bratak Heritage Centre ini terletak di Kg. Tembawang, Bau (60 minit perjalanan dari Kuching menghala ke Lundu melalui Batu Kawa/Pekan Bau). Merupakan salah satu tapak warisan yang penuh bersejarah di Sarawak.
Secara ringkas sejarahnya, Bung Bratak merupakan antara penempatan masyarakat Jagoi Bidayuh sejak 750 tahun dahulu. Pada tahun 1838 ianya telah diserang oleh orang luar dimana rumah-rumah dibakar, dirompak manakala orang-orang dewasa telah dibunuh dan kanak-kanak diculik dan dilarikan. Semasa kejadian, Panglima Kulow bersama yang lain sedang menguruskan tanaman padi di kaki bukit. Rentetan kejadian itu, Panglima Kulow telah mendapatkan pertolongan Rajah James Brooke dan berjaya membawa kembali kanak-kanak yang diculik. Setelah itu Bung Bratak telah dibina semula dan kembali sejahtera dan harmoni. Namun dari masa ke semasa penduduk Bung Bratak telah berpindah ke tempat lain. Kini Bung Bratak merupakan salah satu pusat pelancongan di Sarawak dan Festival Bung Bratak diadakan pada 1 Mei setiap tahun bagi memperingati peristiwa ini.