Pulau Kapas yang terletak kira-kira enam kilometer dari jeti Marang mempunyai keindahan tersendiri yang merupakan destinasi pelancongan bertaraf antarabangsa. Di sebalik semua keindahan semula jadi Pulau Kapas, ada ‘permata’ tersembunyi berhampirannya iaitu Bukit Singa.
Selalunya, pengunjung yang ke sini bukanlah mendaki Bukit Singa. Sebaliknya mendaki bukit berhadapan dengan Bukit Singa. Dari sinilah baru anda dapat melihat pemandangan dari paras lebih tinggi dan lebih jelas Bukit Singa.
Selain itu, kalau tidak mengejar masa, anda boleh cuba menjejak beberapa port menarik untuk mandi manda di sebalik batuan unik di Bukit Singa ini.
Jangan tidak tahu, anda boleh bercuti ke Pulau Kapas hanya untuk satu hari, ini kerana jarak pulau ini sangat dekat dengan jeti berhampiran. Paling penting rancang perjalanan keluar dan masuk anda dari pulau ini ke tanah besar.
Perkongsian oleh: Amirah Wafa Syuhadah
Untuk ke Pulau Kapas, naik di Jeti Marang, perjalanan mengambil masa lebih kurang 15 minit untuk sampai. Selain aktiviti snorkeling dan berkayak di Pulau Kapas, hiking di Bukit Singa adalah antara tarikan utama di sini.
Sepanjang laluan untuk ke Bukit Singa, hendaklah melalui batu yang keras dan laluan yang curam. Ada kalanya kena melalui laluan pantai. Jadi, disarankan untuk pakai kasut dan pakaian yang sesuai untuk mengelakkan kecederaan. Bentuk singa akan dapat dilihat jelas bila kita berada di atas puncak. Rasa penat hilang bila tengok pemandangan dari atas sana. Subhanallah. Jadi jangan lepaskan peluang bergambar sepuasnya.