Jika anda tinggal di Lembah Klang anda boleh melakukan aktiviti mendaki tanpa perlu keluar jauh ke luar kawasan.
Salah satu kawasan hutan yang masih kekal di tengah-tengah ibu kota untuk aktiviti mendaki ialah Hutan Pendidikan Bukit Gasing. Ia menjadi tumpuan pelbagai peringkat usia melakukan aktiviti sihat serta kecerdasan tubuh.
Kawasan yang agak terkenal untuk beriadah bagi warga kota ini terletak di sempadan Petaling Jaya dan Kuala Lumpur. Kawasan hutan dan bukit di sini masih dalam keadaan baik seluas kira-kira 52 hektar dengan ketinggian kira-kira 164 meter. Ia masih terpelihara dengan keaslian flora dan fauna di sekitarnya.
Menjelang hujung minggu, Bukit Gasing akan mula dimasuki pencinta alam semula jadi seawal jam 4 pagi hingga menjadi sesak. Tidak kira tua, muda, kecil dan besar masing-masing kelihatan bersemangat untuk memulakan pendakian. Biarpun tahap ketinggian bukit ini tidak setinggi mana tetapi trek laluannya yang berliku dan agak curam serta mencabar terutama individu yang ingin berjinak-jinak dalam dunia hiking.
Di Hutan Pendidikan Bukit Gasing ini, terdapat beberapa laluan yang boleh dipilih bergantung tahap keupayaan masing-masing. Ada laluan yang mencabar, ada juga yang mudah dengan setiap satunya menjanjikan cabaran yang berbeza sama ada yang baru pertama kali mencuba atau yang mempunyai stamina yang tinggi.
Apa yang pasti setelah penat berjalan, kepuasan pasti dirasai sebaik sahaja menjejakkan kaki di puncak Hutan Pendidikan Bukit Gasing. Anda berpeluang menjamu mata dengan panorama indah bangunan pencakar langit di sekitar Kuala Lumpur dan Petaling Jaya.
Tip
Bukit Gasing dikelilingi taman perumahan dan tidak pernah sunyi terutama pada awal pagi. Namun perlu diingat pengunjung perlu bekerjasama dan tidak boleh meletakkan kenderaan di bahu-bahu jalan sesuka hati atau di depan rumah penduduk berikutan ruang parkir yang agak terhad. Pada hujung minggu atau cuti umum, anda dicadangkan untuk tiba di kawasan ini lebih awal untuk mengelakkan anda perlu memakir kenderaan di tempat yang jauh.
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI