Semalam tular di media sosial gambar beserta visual peragaan separuh bogel dalam salah satu acara yang dianjurkan pada Tatto Malaysia Expo 2019.
Lebih menghairankan warganet, bagaimana logo Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya ada terpampang di poster ekspo tersebut sebagai kementerian yang menyokong acara tersebut berlangsung. Ramai yang berpendapat, acara tersebut tidak patut diadakan secara terbuka untuk tontonan awam dan sangat memalukan Malaysia sebagai negara yang majoritinya beragama Islam.
Dalam siaran media yang diterima, Kementerian Pelancongan Seni Dan Budaya berkata akan mengambil tindakan sewajarnya ke atas penganjur Tattoo Malaysia Expo 2019, susulan peragaan separuh bogel diadakan pada acara tersebut. Menterinya Datuk Mohamaddin Ketapi berkata beliau telah mengarahkan agensi di bawah MOTAC iaitu Malaysia Convention and Exhibition Bureau (MyCeB) untuk menyiasat perkara tesebut. Sebarang kelulusan untuk peragaan separuh bogel tidak pernah dikeluarkan pihaknya.
"Expo ini bukanlah kali pertama diadakan di Malaysia dan semenjak ia mula diadakan pada 2015 seperti di Kota Kinabalu, Sabah, tiada kejadian seumpama berlaku dan dipamer ke khalayak ramai. Saya difahamkan ia diadakan secara tertutup tetapi ia telah melanggar ketatasusilaan. Saya telah mengarahkan agensi MOTAC, MyCeB untuk menyiasat perkara ini.
Tambah beliau lagi penganjuran acara bertaraf antarabangsa adalah baik untuk industri pelancongan negara tetapi bukan dengan cara penganjuran sebegini. Ia tidak mempamerkan wajah sebenar Malaysia yang penuh kesopanan dan kesusilaan.
"Adalah satu yang mustahil bagi kementerian untuk meluluskan sebarang permohonan penganjuran yang ada elemen-elemen lucah seperti itu sebab itu bukan budaya Malaysia, lebih-lebih lagi apabila majoriti rakyat Malaysia adalah beragama Islam. Kita akan menanti laporan penuh siasatan dari MyCeB dan kita tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang sekiranya mereka didapati melanggar syarat yang telah ditetapkan." katanya.
Tatto Malaysia Expo 2019 berlangsung pada 29 November sehingga 1 Disember 2019. Penganjuran tersebut telah berjaya menghimpunkan peserta dari 35 buah negara berbanding penganjuran pada tahun 2015, 2016 dan 2017 yang diadakan di Sabah sebelum ini. MyCeB dalam kenyataan awal menyebut sebarang kelulusan untuk acara diadakan di mana-mana negeri perlu mendapatkan kelulusan dari Pihak Berkuasa Negeri dan Tempatan.