Berita

Buka Puasa Sambil Menyelusuri Sungai Terengganu, Hidangan Nasi Tenong Dalam Water Taxi Jadi Tarikan. Macam Best Je!

Share

Bila ke Terengganu tak lengkap kalau tidak singgah di Jambatan Angkat yang ada di sana. Salah satu cara nak melihat sendiri jambatan tersebut adalah dengan menaiki Payang water Taxi.

Menariknya dalam bulan Ramadan ini, Penumpang bot Payang Water Taxi di sini ditawarkan dengan tarikan baharu iaitu penyediaan pakej ‘Nasi Tenong’ untuk mereka yang menggunakan perkhidmatan itu sepanjang Ramadan ini.

Kredit gambar: BERNAMA

Cas Ligas Sdn Bhd (CLSB), anak syarikat kerajaan Terengganu yang mengendalikan perkhidmatan itu, yakin inisiatif berkenaan mampu memartabatkan tradisi lama ‘tenong’ atau mangkuk tingkat dalam kalangan orang ramai yang menelusuri Sungai Terengganu menggunakan ‘teksi air’ itu.

“Mangkuk tingkat sinonim dengan masyarakat Melayu lama… kami mahu menyemarakkan kembali penggunaan tenong yang menjadi tradisi orang dulu-dulu,” kata Pengerusi CLSB Zakaria Dagang ketika ditemui pada majlis berbuka puasa dan memperkenalkan pakej Nasi Tenong, Kelmarin.

Kredit gambar: BERNAMA

Zakaria berkata pakej itu mengandungi hidangan istimewa seperti ikan baung masak tempoyak dan nasi Arab, namun setakat ini perkhidmatan itu dihadkan untuk 32 penumpang sehari dan mereka yang berminat perlu membuat tempahan terlebih dahulu.

Beliau berkata selain pakej Nasi Tenong, orang ramai juga boleh menikmati pengalaman berbuka puasa di atas bot dengan membawa makanan sendiri sambil melihat keindahan jambatan angkat dan beberapa mercu tanda lain negeri ketika menelusuri sungai.

Kredit gambar: BERNAMA

“Perkhidmatan ini sebenarnya pakej river cruise biasa yang kita tawarkan pada hari biasa tetapi pada Ramadan kita benarkan pelanggan bawa makanan dan hanya kenakan caj RM15 untuk dewasa dan RM10 untuk kanak-kanak,” katanya.

Sumber: Bernama

 

 

 

 

Oleh
SAHR