Budapest Berduka Bot Persiaran Karam. Ramai Pelancong Korea Maut

Share

Budapest adalah antara Kota Eropah yang tercantik. Budapest merupakan gabungan dua nama kota iaitu Buda dan Pest yang dipisahkan oleh Sungai Danube. Dua kota ini disambungkan oleh jambatan yang dikenali sebagai Chain Bridge. Bandar Pest lebih mendatar berbanding Kota Buda yang sedikit berbukit-bukau. Ternyata Pest lebih sibuk dan padat berbanding Buda.

Budapest masih memelihara reka bentuk warisan bangunan lamanya. Tarikan utama Budapest semestinya bangunan Parlimen Hungary yang merupakan Parlimen ketiga terbesar di dunia. Seni bina arkiteknya begitu mempesonakan seperti sebuah istana. Disebabkan itu Budapest sentiasa menjadi pilihan pelancong untuk datang.

Namun ada berita duka dari Budapest yang diterima. Untuk tarikh hari ini, sekurang-kurangnya tujuh warga Korea Selatan disahkan maut. Menurut pihak berkuasa Hungary dan Korea Selatan, selain pelancong yang maut, tujuh mangsa yang cedera telah dibawa ke hospital dalam keadaan stabil.

Manakala masih ada baki 19 yang lain dilaporkan hilang apabila sebuah bot persiaran yang sangat terkenal dalam kalangan pelancong karam di Sungai Danube, Budapest. Seramai 33 warga Korea berada dalam bot persiaran terbabit yang turut membawa dua anak kapal warga Hungary.

Bot yang dinaiki mangsa berlanggar dengan sebuah bot lain pada kira-kira jam 10 malam waktu tempatan semalam. Insiden berlaku berhampiran bangunan Parlimen yang terletak di tengah ibu kota Hungary.

Operasi mencari mangsa yang hilang dilakukan sepanjang malam dengan bantuan penyelam. Namun hujan lebat sejak permulaan Mei lalu menyebabkan paras air naik sekali gus menyukarkan operasi menyelamat.

Bot karam tersebut kemudian ditemui beberapa jam selepas pencarian di sepanjang Jambatan Marguerite yang menghubungkan bandar lama Buda dengan daerah Pest. Ekoran insiden terbabit pihak berkuasa kini menutup laluan ke lokasi nahas.

Presiden Moon Jae-in dilaporkan mengerah segala sumber yang diperlukan bagi membantu melancarkan operasi menyelamat, petugas kedutaan Korea Selatan turut bekerjasama dengan pasukan kecemasan. Sementara itu, Menteri Kesihatan Hungary, Ildiko Horvath yang melawat lokasi insiden menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa.

Syarikat pelancongan Korea yang diupah untuk membawa kesemua mangsa dari Korea itu ke Budapest turut memohon maaf kepada keluarga mangsa yang terlibat atas kejadian kemalangan maut itu.

Sumber: Dailymail | Sinar Harian

Oleh
Husna