Buaya Miri Crocodile Farm Sangat Aktif. Jarang Nampak Malas & Tidur Sepanjang Masa.

Share

Taman Buaya Miri yang terletak di Sarawak sering menjadi tumpuan pelancong pada hujung minggu kerana mempunyai keunikan pusat penempatan pelbagai buaya tersendiri. Taman seluas 9.6 hektar berkenaan yang mempunyai lebih 2,000 buaya pelbagai spesies turut menjadi tempat pelancong mengenali pelbagai spesies haiwan lain.

Selain menjadi taman buaya pertama dan terbesar di wilayah utara Sarawak, ia juga menempatkan pelbagai spesies hidupan lain seperti ular sawa, spesies burung, landak, anak beruang dan monyet.

Kebanyakan pelancong ke sini adalah dari Brunei, Jepun, Amerika Syarikat dan Korea selain pelancong tempatan dari Semenanjung. Sejak mula dibuka kepada orang ramai pada tahun 90an, pada mulanya hanya menempatkan 100 ekor buaya namun, mula bertambah setiap tahun sehingga mencecah lebih 100 ekor buaya.

Antara spesies buaya yang boleh didapati di taman buaya ini adalah dari jenis buaya bujang senang, buaya katak, buaya jejulong, buaya albino dan pelbagai lagi. Taman ini juga sering menjadi lokasi penyelidikan reptilia malahan hidupan liar lain yang kian pupus juga menjadi bahan penyelidikan oleh penggemar hidupan liar. Selain menjadi destinasi pilihan untuk bersantai bersama keluarga orang ramai juga boleh mengenali spesies buaya dengan lebih dekat dan disifatkan penuh misteri. Tidak seperti di taman buaya lain, di sini buayanya boleh dikatakan lebih aktif dan adakalanya begitu mendebarkan aksi spontan yang dilakukan secara tiba-tiba.

Info Menarik!

  • Untuk melihat dengan lebih dekat kerakusan sang buaya melapah daging, pengunjung boleh saksikan dengan lebih dekat pada waktu makan buaya-buaya ini di platform utama pada setiap hari jam 3.30 petang.
  • Buaya sangat takut akan nyamuk. Menurut pemilik Taman Buaya Miri ini, gigitan nyamuk pada mata sang buaya akan menyebabkan, reptilian ganas ini menjadi buta serta merta.

  • Walaupun ganas, buaya sebenarnya adalah haiwan yang pemalu. Buaya akan menjadi ganas apabila berasa terancam atau habitat mereka diceroboh.
  • Seekor buaya Albino menjadi perhatian pengunjung di sini melihat dengan lebih dekat rupa kulitnya yang putih.

  • Seekor buaya tembaga yang pernah membaham seorang manusia di Sarawak, telah diawet dan dipamirkan kepada pengunjung di Taman Buaya ini.

Sajian Daging Buaya Jadi Tarikan

Taman Buaya Miri bukan sahaja memberi peluang kepada orang ramai melihat lebih dekat haiwan tersebut malah sebuah kafe di sini turut menghidangkan daging buaya untuk dinikmati pengunjung seisi keluarga. Daging buaya dihidangkan melalui tiga cara iaitu sup herba, sate dan masak kicap dengan harga berpatutan. Kebanyakan pengunjung yang gemar memesan daging buaya adalah dari kaum Cina dan Iban. Khasiat memakan daging buaya dikatakan mampu menjadi penawar kepada penyakit-penyakit tertentu seperti Astma. Memiliki lesen sah untuk beroperasi, Taman Buaya Miri juga merupakan satu-satunya premis di Sarawak yang mempunyai kebenaran daripada pihak berkuasa untuk memasak daging buaya.

Untuk info lanjut layari Miri Crocodile Farm

Oleh
Husna