Kedatangan musim bunga di Belanda kalau tak pergi tengok bunga tulip tidak akan lengkap!
Namun kerana wabak COVID-19 yang melanda satu dunia ketika ini, destinasi wajib lihat bunga di Keukenhof ditutup kepada umum. Pertama kali dalam tempoh 71 tahun lokasi ini sunyi sepi tanpa kelibat pengunjung kecuali pekerja taman.
Keukenhof adalah taman bunga tulip berhampiran bandar Lisse dan setiap tahun, dari pertengahan Mac hingga pertengahan Mei, ia adalah pasar bunga terbesar Eropah. Bila sebut pasar terbesar, ia memang menggemparkan baik dari segi kualiti mahupun kuantiti. Ia medan pertemuan pembekal dan pengedar seluruh Eropah membabitkan jual beli bunga berkoyan-koyan.
Begitupun, dengan bayaran tertentu orang ramai boleh masuk ke Keukenhof dan melihat pameran, menikmati pemandangan dan menggunakan semua kemudahan di dalamnya. Paling mengujakan, bergambar sepuas-puasnya di dalam taman indah seluas 32 hektar ini.
Ratusan spesies dan varian pohon bunga ditanam tersusun dengan menarik di beberapa lot kecil dengan seni landskap indah. Ketika ini adalah tempoh terbaik kerana kuntum tulip sedang mekar dengan cantik.
Setiap tahun ketika musim bunga, Keukenhof sesak dengan pengunjung. Ada yang datang berkeluarga, rombongan pelajar sekolah dan pasangan bercinta. Yang datang berkeluarga terus ke beberapa lokasi berkelah, yang berpasangan menuju beberapa bangku di tepi tasik dan terusan, kanak-kanak pula berkejaran ke taman permainan dan ‘petting zoo’.
Tidak kurang juga yang lebih gemar berjalan-jalan menghirup udara pagi yang segar kerana sungguhpun suasana dingin, matahari sudah naik dan bersinar terang. Ada juga pengunjung serius, terutama golongan pencinta bunga. Ada juga yang datang bersama kamera canggih masing-masing. Sebaik masuk mereka terus mencari subjek kegemaran di merata-rata.
Seorang jurugambar Belanda sempat kongsikan foto-foto indah di Keukenhof tanpa kelibat pengunjung seperti kebiasaannya di Instagram miliknya: albertdrosphotography
“Sebagai orang Belanda yang sebenar, saya peminat bunga kami. Dan sebagai jurugambar landskap, saya menikmati musim bunga yang indah setiap tahun di mana saya selalu mempunyai masa untuk memotret bunga dan dipertontonkan kepada seluruh masyarakat dunia. Sebilangan besar daripada anda mungkin mengetahui Keukenhof sangat terkenal di dunia, taman tulip yang paling indah di dunia. Setiap tahun berjuta-juta pelancong mengunjungi kebun ini.
Tahun ini sangat ‘istimewa’. Keukenhof ditutup, untuk pertama kalinya dalam tempoh 71 tahun. Tetapi itu tidak bermaksud tidak ada bunga. Sebaliknya; bunga kelihatan luar biasa dan mendapat perhatian dan penjagaan seperti biasa. Semua tukang kebun yang bersemangat melakukan kerja mereka seperti biasa.
Bertahun lamanya saya mengambil gambar bunga dan sangat impikan taman di Keukenhof tanpa kelibat manusia lain. Ia mungkin sesuatu yang mustahil sehingga datang virus COVID-19. Ini satu-satunya peluang saya. Saya menghubungi pihak pengurusan di Keukenhof dan menerangkan apa yang ada dalam fikiran saya. Pihak pengurusan sangat bertimbang rasa lalu membenarkan saya mengambil gambar bunga di sini selama sehari. Ini pengalaman yang begitu ajaib. Tidak ada orang di taman ini membolehkan saya memotret jalan dan sudut dengan cara tertentu yang biasanya anda tidak dapat lihat kerana orang ramai.”
Foto: albertdros.com | Sumber: Boredpanda