Ramai yang bercadang berkumpul bersama keluarga selepas sekian lama tidak bertemu. Banyak yang mahu diceritakan sambil mengingati kembali nostalgia lama terutama zaman kecil.
Tapi kadangkala agak terbatas dalam ruang bilik yang agak sempit selain suasananya yang agak bising dengan kehadiran tetamu lain. Jadi sesiapa yang bercadang nak buat family day khususnya di Negeri Sembilan, bolehlah jadikan D’Fahmy Eco Garden Pilah sebagai port family day.
Di D’Fahmy Eco Garden Pilah ini bukan saja boleh muat lebih 30 orang ke atas tapi suasananya juga sangat kekampungan dengan suasana hutan di sekitarnya sekaligus cuaca tidak terlalu panas. Dan lebih menarik, di kolam renangnya yang besar itu, airnya datang dari air bukit yang pastinya sangat sejuk.
Jom kita tengok apa yang best di lokasi ini yang dikongsi dari fb Negeri Sembilan Best.
This Is Kuala Pilah
Jangan ingat ini kat Jando baik atau Ulu Yam yor. Ini dokek Kolo Pilah yor. Osah banyak tempat menarik dokek Kuala Pilah ini. So jom terjah untuk cuti – cuti family. Admin bawa satu port baru yang best.
D' Fahmy Eco Garden Pilah.
7359 A, Jalan Kampung Kelubi, Kampung Ulu Pilah, (63.28 km) 72000 Kuala Pilah, Negeri Sembilan.
Tempahan juga boleh di buat di booking.com dan airbnb.com (siapa biasa booking hotel,taulah). Berikut serba – sedikit tempat perkenaan. Keluasan homestay kami lebih kurang 1 ekar, Alhamdulillah.. Rumah utama 2 tingkat. Kami sewakan sama ada tingkat bawah sahaja atau kedua-dua tingkat.
Tingkat bawah :-
3 bilik with queen beds, airconditioned
2 bathrooms with heaters
Tv, astro
Fully furnished kitchen – stove, rice cooker, microwave, fridge, blender, batu tumbuk dan water dispenser
Tingkat atas :-
2 bilik with 2 sofabeds dan 1 bilik with 1 sofabed
Baby fans, no aircond
1 ruang surau di atas untuk tidur lambak
1 bathroom
Tempat wudhu'
Max kapasiti 1 rumah (atas bawah) : 20-23 pax
Pool house juga 2 tingkat, studio style
Both floors ada 1 queen bed dan 1 sofabed
Tv & astro
Minibar dan kettle
Wall mounted fan/Stand fan
Kapasiti 1 tingkat 2 adult/2 kids
Kedua-dua rumah InsyaAllah boleh memuatkan dalam 30 pax..
Sharing facilities are :
1 modern swimming pool
1 fish pond – no fishing is allowed at the moment
1 natural swimming pool
Sources of water for all the above – air bukit
BBQ area
Ping Ping
Carrom
Dron pictures – ikhlas from our guest from Port Dickson, Mr Ikhwan Hazeq.
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
6 Lokasi ‘Street Art’ & Port Korang Bergambar Kreatif Di Selangor
Terdapat banyak seni jalanan yang boleh dilawati di Selangor. Seni jalanan seringkali menjadi lokasi untuk orang ramai bergambar.
Karya seni jalanan atau Street Art ini bukan sahaja menarik dan cantik, malah pengunjung dapat mengisi kenangan untuk bergambar dengan lukisan-lukisan luar biasa seperti lukisan 3D, campuran lukisan dengan perabot, lukisan dengan tema yang berlainan dan lain-lain lagi. Seni jalanan ini memberi peluang kepada para pelukis yang berbakat untuk mempamerkan idea-idea lukisan di dinding-dinding bangunan kepada pengunjung yang hadir dan menjadikan ia satu kawasan tarikan pelancong.
Antara lokasi seni jalanan kreatif yang menarik boleh anda singgah seperti di:
- LAMAN SENI 7, SEKSYEN 7 SHAH ALAM
Laman Seni 7 merupakan sambungan daripada Laman Seni 2 di Seksyen 7, Shah Alam, berdekatan dengan i-City di mana ia merupakan tempat atau zon yang kreatif dan cantik yang diwujudkan bertujuan untuk penghayatan bidang seni lukis dan kreatif. Kawasan ini adalah hasil daripada inisiatif Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) untuk mengubah lorong belakang kawasan komersial dan perindustrian menjadi selamat, bersih dan tenang. Pelbagai hasil seni yang dilukis seperti Lukisan 3D, Pemasangan 3D, Perabot Jalan dan lain lain lagi. Laman Seni 7 ini berkonsepkan ciri-ciri 'Komuniti Shah Alam', 'Tarikan Pelancong' dan juga 'Konsep Hijau'.
- LAMAN SENI 2, SEKSYEN 2 SHAH ALAM
Laman Seni Seksyen 2 ini merupakan titik permulaan terjadinya kawasan mural di Shah Alam yang kemudiannya ditukarkan ke Laman Seni 7. Tema untuk karya seni di tempat ini adalah 'kembali ke sekolah'. Bersedia untuk mengimbau suasana nostalgia di mana anda akan melihat bilik gantung, bas sekolah, lukisan haiwan dan lain-lain lagi. Bukan hanya itu, terdapat juga medan selera di mana anda boleh berehat setelah bergambar di lokasi lukisan mural.
- SAFARI JEJAK WARISAN, KLANG
Jika ke Bandar Diraja Klang, adalah wajib untuk singgah ke bandar lama Klang yang mana terdapat kedai yang menjual pelbagai barangan untuk masyarakat India malah anda juga boleh singgah untuk mengambil gambar lukisan mural yang menarik dan bertemakan 'Safari' sepanjang lorong-lorong belakang kedai di bandar lama Klang. Kawasan mural ini telah dirasmikan oleh Datuk Zainal Abidin Abu Hassan pada 5 Jun 2020 dimana anda akan terpesona dengan hasil lukisan bertemakan haiwan ibarat berada dalam safari sebenar.
- SASARAN ART, KUALA SELANGOR
Sejak tahun 2008, Organisasi Sasaran Art telah menganjurkan festival seni berskala besar setiap 3 tahun bagi memberi pendedahan tentang lukisan jalanan. Selain itu, dengan sokongan Kerajaan Negeri Selangor, pembinaan bangunan 2 tingkat telah dijadikan sebagai sebuah pusat galeri seni yang dinamakan 'Balai Seni Sasaran Kuala Selangor'. Ianya berfungsi sebagai pusat seni, festival ataupun pameran tempatan dan antarabangsa dalam mempromosikan aktiviti kesenian dan kebudayaan.
- MURAL JALAN KENARI, PUCHONG
Kawasan mural ini terletak di Jalan Kenari 5, Puchong ini dihiasi dengan pelbagai lukisan mural di sepanjang jalan keluar. Karya seni lukisan mural ini telah dilukis hasil oleh 103 orang pelajar tahun akhir dari The One Academy, Subang Jaya dan juga dari Universiti Teknologi dan Inovasi Asia Pasifik yang mengambil masa selama 6 hari. Hasil lukisan mereka menggambarkan kecantikan dan elemen budaya Malaysia berdasarkan tema Negeri Selangor dan keunikan Negara.
- KUALA KUBU BHARU MURAL (KKB), HULU SELANGOR
Kuala Kubu Bharu (KKB) terlelak lebih kurang 70km dari bandar Kuala Lumpur, Bandar Kuala Kubu Bharu terkenal dengan tarikan aktiviti semula jadi seperti water tubing dan white water rafting. Tetapi bukan itu sahaja, terdapat juga kawasan seni jalanan di mana karya seni dilukis di dinding bangunan lama kawasan KKB. 8 lukisan mural di KKB ini juga telah dilukis oleh 40 orang pelajar dan staf dari ALFA College pada tahun 2014 yang menggambarkan kehidupan bandar di KKB.
Jom pusing-pusing Selangor. Jangan lupa menjaga penjarakan fizikal dan sosial sepanjang masa serta mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh pihak Kerajaan bagi mengelakkan sebarang jangkitan virus COVID-19 yang melanda dunia kini.
Sumber & Foto: Tourism Selangor
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Enam Pantai Paling Menarik, Indah & Kaya Dengan Tarikan Semula Jadi Di Selangor
Seperti mana yang kita sedia maklum, negeri Selangor kini telah memasuki Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara. Malah bermula hari ini rentas negeri juga sudah dibenarkan!
Sudah pasti ramai dalam kalangan kita yang sedang mencari destinasi percutian untuk dikunjungi bersama rakan-rakan atau ahli keluarga, khususnya bagi melepaskan rindu terhadap keindahan pemandangan matahari terbenam.
Individu yang telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin COVID-19 dibenarkan menjalankan aktiviti pelancongan di Negeri Selangor dalam Fasa ini. Kunjungi pantai-pantai yang tersenarai di bawah untuk anda merancang percutian hujung minggu nanti!
1) Pantai Remis, Kuala Selangor
Pantai Remis terletak 20km di bahagian selatan Daerah Kuala Selangor iaitu, iaitu di mukim Jeram. Baru-baru ini, ianya dikatakan ‘kembali bernyawa’ ekoran pengumuman kemasukan Negeri Selangor dalam Fasa 3. Pantai Remis merupakan salah satu lokasi eko-pelancongan yang semakin digemari oleh orang ramai.
Pantai Remis sentiasa dibanjiri dengan pengunjung yang ingin menjamu keenakan makanan laut segar seperti ikan bakar, kerang rebus dan kerang bakar sambil bersantai bersama ahli keluarga dan rakan-rakan.
2) Pantai Kelanang, Banting
Jom terokai apa yang istimewa di Pantai Kelanang, terletak tidak jauh daripada Pantai Morib! Pantai Kelanang menyajikan kepada anda pemandangan indah laut Selat Melaka yang dikelilingi oleh pohon-pohon kayu bakau dan pokok ru.
Pantai ini juga memberikan kepada anda pemandangan matahari terbenam yang indah diiringi deruan angin yang nyaman sesuai untuk menerbangkan layang-layang tinggi di udara. Sekiranya anda membawa anak kecil, usah risau kerana fasiliti seperti taman permainan disediakan di sini untuk keseronokan anak anda!
3) Pantai Cunang, Kuala Langat
Mungkin tidak ramai yang menyedari kewujudan Pantai Cunang, tempat yang agak tersembunyi namun amat menakjubkan ini terletak di Tanjung Sepat. Pantai Cunang adalah pantai dengan pasir yang memutih sepanjang kawasan hutan bakau.
Pantai Cunang adalah kawasan rehat tradisional yang diusahakan oleh masyarakat peribumi Mah Meri. Pantai Cunang kini telah berubah menjadi salah satu destinasi pelancongan Negeri Selangor, dimana ianya dihiasi dengan rumah-rumah tradisional, hiasan berwarna-warni dan juga kedai kraftangan. Selain itu, anda juga boleh melakukan pelbagai aktiviti seperti memancing dan berbasikal di pantai ini.
4) Pantai Bagan Lalang, Sepang
Terletak kira-kira satu jam perjalanan dari Kuala Lumpur, Pantai Bagan Lalang yang terletak di Daerah Sepang seperti yang diketahui ramai, adalah tempat percutian pandai kegemaran seisi keluarga.
Jangan lepaskan peluang untuk memanfaatkan waktu air surut pada siang hari di mana anda boleh berjalan ke tengah laut sehingga 400 meter jauhnya. Waktu ini adalah waktu yang sesuai untuk anak kecil anda melihat anak-anak ketam berkeliaran di atas pasir. Pantai ini juga sangat popular dengan aktiviti bola tampar, bola sepak pantai dan barbeku. Ia tentunya pantai yang harus dilawati kepada yang gemar menikmati ketenangan air laut!
5) Pantai Redang, Sekinchan
Sekiranya anda berada di Daerah Sabak Bernam serta inginkan kelainan dari pemandangan sawah padi yang terkenal di sini, apa kata rasai sendiri pengalaman melihat kehidupan masyarakat nelayan di kawasan ini pula?
Apa yang lebih menyeronokkan, Pantai Redang sangat dekat dengan beberapa restoran makanan laut, di mana anda boleh menikmati pelbagai jenis makanan laut yang pastinya segar! Kemudahan rekreasi juga tersedia kepada para pengunjung seperti bangku dan gazebo untuk anda berehat.
6) Pantai Morib, Banting
Tahukah anda Pantai Morib memiliki garis pantai sepanjang kira-kira 3 kilometer? Pantai Morib ini terletak di Daerah Kuala Langat dengan pemanduan tidak lebih daripada 1 jam dari Daerah Klang.
Pantai ini amat popular dengan aktiviti pantai seperti bola sepak pantai, bola tampar dan layang-layang. Selain itu, anda juga boleh mengutip cengkerang atau anak ketam yang berkeliaran sementara menunggu air pantai surut. Ianya sememangnya sebuah lokasi yang amat sesuai dikunjungi bersama insan tersayang!
Siapa kata Negeri Selangor tidak mempunyai pantai-pantai yang menakjubkan? Luangkan masa hujung minggu anda dengan mengunjungi pantai-pantai yang telah disenaraikan di atas. Bukan sahaja anda boleh menikmati pemandangan laut yang luas, malah anda juga boleh menggunakan kemudahan yang tersedia di pantai tersebut.
Jadi sekiranya anda tidak tahu ke mana destinasi pelancongan anda selepas ini, kunjungi pantai-pantai yang terdapat di Negeri Selangor pada cuti hujung minggu anda!
Namun, adalah diingatkan kepada kita semua untuk sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh pihak Majlis Keselamatan Negara dalam memastikan penjarakan sosial, memakai pelitup muka setiap masa, serta menggunakan cecair pembasmi kuman secara kerap, terutamanya ketika memasuki premis-premis di Negeri Selangor.
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Chiba Prefecture! Destinasi Menarik Buat ‘First Timer’ ke Jepun
Sebenarnya susah juga nak memulakan artikel ini kerana semuanya menarik di Chiba. Sapaan angin sejuk di muka, sewaktu berjalan sekitar bandarnya adalah sebuah pengalaman ringkas namun menakjubkan, selain cosplay gaya Jepun membawa kita ke kehidupan lakon sebenar masyarakat di sini, amat menyeronokkan.
Itu ringkasan pengalaman melawat Chiba. Ternyata Jepun ada banyak tempat menarik lain dan bukan hanya di bandar Tokyo. Wilayah Chiba atau Chiba Prefecture salah satunya. Tinggalan sejarah dan destinasi singgahan zaman edo Jepun, menjadikan Chiba destinasi unik, malah tempat ini juga mesra muslim sesuai untuk percutian keluarga atau eksplorasi solo.
Dimana sebenarnya Chiba?
Jepun mempunyai 47 prefecture atau pun wilayah. Chiba prefecture adalah salah satunya dalam kawasan Kanto. Ia terletak bersebelahan bandar Tokyo. Jika nak dibandingkan dengan Malaysia, Chiba seperti negeri Melaka, manakala Tokyo adalah seperti bandar Kuala Lumpur.
Suhu
Waktu kunjungan Libur ke tempat ini, suhu adalah sekitar 3 – 6 darjah celcius. Ini pada Februari lalu. Sentiasa perhatikan musim dan suhu tempatan sebelum berkunjung ke luar negara. Bolehlah mempersiapkan diri dengan apa yang diperlukan.
Bagi mereka yang tidak tahan sejuk, bawalah jaket winter, sarung tangan, penutup mulut dan hidung (mask) jika cuaca menjadi terlalu sejuk dan berangin, baju panas heattech atau long john serta pad pemanas untuk diletakkan di dalam poket (Baca Persediaan Bercuti Luar Negara di Musim Sejuk)
Sesejuk manakah sejuk? Jika pernah berkunjung ke Cameron Highlands di Malaysia pada musim hujan, cuaca disini adalah dua atau tiga kali ganda lebih sejuk. Malah pernah turun pada suhu negatif celcius. Tangan dan muka menjadi cepat kering akibat sejuk dan terasa kebas jika terdedah dengan udara sejuk terlalu lama. Tapi walau sesejuk mana, cuaca berbeza inilah yang kita cari.
Tempat menarik di Chiba
DAY 1
Naratisan Shinshoji Temple
Setibanya di Narita Airport, kami bergerak menuju ke Naratisan Omotesando Street di mana terdapatkan kuil Naritasan Shinshoji. Memasuki tempat ini seperti berada di sebuah perkampungan kecil, penuh dengan upacara keagamaan dan ritual kepercayaan mengikut fahaman Buddha.
Kuil, binaan, batuan dan aspek arkitektur yang terdapat di sini terbina sejak beratus tahun lalu dan dipelihara sehingga ke hari ini.
Kemudian kami berjalan pula di luar. Cuaca dingin membuatkan penat berjalan tidak terasa meskipun kami sedikit mendaki bukit, sambil leka memerhati kehidupan harian masyarakat di sini yang menjual dan berniaga pelbagai jenis barangan daripada cenderamata, makanan dan barangan unik Jepun.
Yoneya Tourist Centre
Selepas puas berjalan, makan tengahari di Yoneya Tourist Centre juga di jalan Naritasan Omotesando. Restoran di sini menghidangkan makan halal. Pertama kali menikmati set hidangan Jepun rasa teruja.
Ia dihidangkan lengkap satu set daripada pemula, menu utama hingga ke manisan. Konsep makan di Jepun mengutamakan kesegaran. Jika makanan panas, ia hendaklah dihidang panas-panas dan dinikmati pada waktu itu juga. Jangan terkejut jika anda perlu menyiapkan sup sendiri di atas meja.
Sammu Narutou Area
Mungkin ada yang merasakan petik strawberi dekat Malaysia pun boleh buat. Tetapi percayalah, strawberi yang dipetik segar disini manis dan enak. Mengubah persepsi selama ini yang tidak percaya ada strawberi rasa manis.
Kami berkunjung ke Aiban Strawbery Farm, di mana sekeliling ini juga terdapat banyak ladang buah dan sayuran lain. Bayaran sekitar 1000 yen untuk membolehkan kita menikmati sebanyak mungkin strawberi dalam masa 30 minit. Teringat-ingat sampai balik ke Malaysia.
Choshi Railway Station
Kereta api merupakan pengangkutan utama di Chiba. Jika hendak melihat sejarah dan stesyen kereta api terawalnya, berkunjunglah ke Choshi Railway Station.
Inubosaki Hotel
Sekitar jam 6 keadaan sudah gelap disini. Perbezaan waktu antara Malaysia dan Chiba, lebih kurang satu jam lebih awal di Chiba. Kami dibawa menginap di Inubosaki hotel. Ia bersebelahan laut dan terdapat kolam air panas dibina untuk pengunjung hotel. Tapi perlu diingatkan, untuk memasuki kolam air panas disini anda perlu menanggallkan semua pakaian. Lebih baik rendam sahaja kaki di kolam air panas berasingan dan nikmati pemandangan lautan pasifik yang cantik. Disini juga ada beberapa penguin yang menjadi residen tetap. Beritahu kami kalau mereka masih ada sewaktu anda berkunjung ke Inubosaki Hotel.
DAY 2
Inubosaki lighthouse
Tidak jauh daripada hotel Inubosaki terdapatnya rumah api Inubosaki yang dibina oleh arkitek British pada 1874. Rumah api ini merupakan salah satu daripada 100 rumah api bersejarah terbaik di dunia.
Memanjat 99 anak tangga sedikit memenatkan. Tetapi apabila tiba di atas, anda akan terpesona dengan pemandangan lautan pasifik yang sangat cantik. Air dan langit putih biru, seperti sebuah poster, buat anda terlupa seketika perkara lain. Pada musim sejuk dan berangin perlu berhati-hati kerana angin kuat boleh menyebabkan telefon tercampak. Jadi jika nak berselfie, pastikan anda pegang baik-baik telefon itu.
Sunrise Kujukuri
Puas bergambar di Inubosaki, kami menikmati makan tengahari di Sunrise Kujukuri. Ada pelbagai menu daripada mahal (3000 yen iaitu kira-kira RM112 satu hidangan) kepada yang murah. Sambil makan boleh lihat pemandangan laut, dan restoran ini juga ada menjual barangan yang boleh dibuat cenderamata.
Mother Farm
Jangan tidur sewaktu perjalanan ke Mother Farm. Ladang yang terletak di gunung Kanosan ini mempunyai pemandangan yang cantik. Anda akan nampak Teluk Tokyo dan juga Gunung Fuji. Dikatakan pada musim bunga, ia semakin cantik lagi.
Mother Farm bermula sebagai sebuah ladang kecil pemberian dari seorang anak kepada ibunya, kerana itu ia dinamakan ‘Mother Farm’. Namum kini ia menjadi tempat hiburan menarik dan terkenal di Chiba. Jujurnya tempat ini sangat sesuai untuk bawa keluarga terutama dengan anak kecil.
Beri makan biri-biri, bermain dengan haiwan di kandang yang bersih dan terjaga. Juga paling utama saksikan persembahan lakon teater haiwan dimana karektor utama adalah haiwan-haiwan itu sendiri, lucu. Pada sebelah malamnya, Mother Farm akan dipenuhi lampu-lampu dan taman tema kecil akan dibuka untuk bermain Roda Ferris dan banyak lagi.
Umihotaru Parking Area
Sewaktu perjalanan turun dari Mother Farm, Gunung Fuji boleh dilihat dengan lebih jelas. Pada masa sama juga matahari terbenam, pemandangan adalah menakjubkan. Umihotaru merupakan sebuah tempat yang berada di atas lautan dan menghubungkan orang ramai ke bandar Tokyo. Apabila naik ke tingkat lima, ada kawasan terbuka untuk melihat pemandangan Gunung Fuji dan aktiviti sekitar Teluk Tokyo ini. Pada waktu angin kuat, cuaca akan sangat sejuk, pastikan anda pakai pakaian berlapis.
Untuk makan malam, boleh juga hanya makan disini. Umihotaru mempunyai banyak kedai dan restoran. Jika makan di food court, terdapat sistem pesan dan bayar guna ‘vending machine’. Serahkan kupon ke kaunter makanan yang anda mahukan dan anda akan diberi alat keloi yang berbunyi apabila makanan siap. Bagi muslim, perhatikan label menu halal sewaktu membeli, mudah.
Washington Hotel Kisarazu
Malam menjelma, kami menginap di hotel Washington Kisarazu. Sekeliling terdapat kedai-kedai yang masih beroperasi hingga lewat malam. Bolehlah berjalan ke Family Mart atau 7eleven untuk membeli snek. Hotel Kisarazu seperti kebanyakkan hotel lain di Jepun menyediakan kemudahan tv dan program On Demand. Jika terasa nak menonton filem pada waktu malam, dipersilakan.
DAY 3
Kisarazu Station – Yoshikawa Kouen Station
Hari ketiga ini kami lebih banyak berjalan kaki dan menaiki tren. Merasai sendiri pengalaman pengangkutan masyarakat disini, kami dibawa sekitar bandarnya dan diminta untuk perhatikan Chiba City Manhole. Ia merupakan penutup lubang atas jalanraya dengan perincian identiti Chiba. Bukan semua tempat ada, jadi kena cari jika anda hendak mengambil gambarnya.
TAKO Takoyaki
Sambil berjalan kami singgah ke kedai tepi jalan yang kecil sahaja, menjual Takoyaki. Apa boleh dikatakan, Takoyaki di kedai ini sangat lembut dengan sos yang enak, sesuai dengan selera orang Malaysia. Menurut pemiliknya, untuk menghasilkan dan membentuk Takoyaki yang lembut adalah lebih sukar. Ia Halal dan pastinya satu set tidak mencukupi.
Chiba Kun Bussankan – Junnu Shopping Mall
Jika nak merasa gabungan masakan Itali dengan sayuran segar Chiba pula, boleh berkunjung ke Est Bambino dalam Junnu shopping mall. Sayuran disini diambil segar dari ladang Takanashi. Bagi orang disini, kesegaran sayuran adalah penting dan ia nampak indah di atas pinggan dengan warna-warna terang dan menarik.
Nishi Chiba Mosque
Selepas makan, kami dibawa ke Masjid Nishi terletak di Pusat Budaya Islam Chiba. Pada mulanya kami membayangkan ia seperti masjid di Malaysia dengan kubah dan kawasan lapang. Tetapi masjid di sini adalah seperti sebuah surau namun besarnya masih boleh menempatkan jemaah untuk Solat Jumaat. Disini juga menjual barangan dan makanan halal yang diimport dari malaysia, Indonesia, Thailand juga barangan halal Jepun yang lainnya.
Makuhari Hongo Station – Sushi Ichizyu
Usai solat kami bergerak ke restoran Sushi Ichi menaiki tren. Tren disini tepat mengikut masa dan tidak terkurang 1 saat sekalipun tanpa sebab. Jika ingin sampai pada waktuya, pastikan sudah berdiri di stesyen sebelum tren sampai.
Di restoran Sushi Ichizyu kami belajar cara membuat sushi. Buat sushi tak semudah yang disangkakan. Ada teknik perletakkan jari dan cara yang betul untuk menggenggam dan mengalihnya. Semuanya adalah seni dalam penghasilan makanan ruji Jepun ini. Bagi yang tak biasa, mahu tergeliat juga tangan membuatnya.
Hotel Port Plaza Chiba
Malam ini kami menginap di Hotel Port Plaza Chiba. Setibanya dalam bilik kelihatan sejadah, set kiblat dan tasbih. Mereka cuba menjadikan bilik disini mesra Muslim untuk menarik pengunjung Malaysia dan juga Muslim dari negara lain. Satu yang saya suka sepanjang berada di hotel di Chiba adalah kelengkapan bilik airnya. Tandas dengan fungsi automatik, saya sanggup bayar jika ada di Malaysia. Sejurus duduk, permukaan tandas akan menjadi panas dan selesa. Bukan hanya di hotel, kemudahan ini juga ada di tempat-tempat lain seluruh Jepun.
DAY 4
Boso-no-Mura
Tempat wajib singgah dan luangkan lebih masa di sini jika berkunjung ke Chiba. Rasai sendiri pengalaman kehidupan masyarakat Jepun, dimana kita akan dibawa melalui transasi pakaian, makanan dan rumah dari zaman kuno ke zaman moden. Lihatlah binaan arkitektur Jepun, perkampungan seperti kampung Samurai dan kedai yang mempamerkan seni asli Jepun.
Pada mulanya anda perlu menukar pakaian di Cosplay Annex. Boleh pilih pakaian tradisional seperti Kimono, Ninja atau pakaian lebih moden. Kemudian masuk ke perkampungan Jepun ini untuk menyelami budaya dan kehidupan mereka secara langsung. Jika bernasib baik, anda boleh lihat rakaman filem disini yang lazim digunakan sebagai set untuk cerita-cerita lama. Boso-no-Mura ini seperti Hollywood Jepun.
Kanetaya Sakaemachi
Kami kemudian dibawa ke restoran yang turut menghidangkan menu halal. Restoran ini diwarisi dari generasi ke generasi sejak lebih 150 tahun lalu. Paling tidak boleh dilupakan adalah kek khas yang dibuat disini, dihidangkan bersama krim dan buahan segar, sangat enak. Ia merupakan resipi keluarga dan pastikan anda membeli yang tiada alkohol.
Sawara City
Apa yang boleh dikatakan, ini adalah pengalaman paling menenangkan dalam trip ini. Menyusuri sungai Sawara dalam cuaca dingin sungguh menyamankan. Pada zaman dulu, pekan Katori ini dihubungkan melalui sungai, dimana eksport utama adalah beras. Urusan melalui sungai adalah lebih mudah berbanding pengangkutan lain. Pemandu bot akan bercerita sambil anda boleh membayangkan kehidupan sejarah lepas menerusi bangunan rumah dan kedai yang masih dikekalkan.
Mereka ada undang-undang lokal yang mengatakan bangunan baru tak boleh dibina disini. Sebahagian besar rumah yang dilihat disini terbina sejak dari zaman Edo dan masih ada orang yang tinggal. Sawara City ini juga popular sebagai lokasi set filem. Antaranya filem The Rising Sun (Thailand) dirakamkan disini.
Membeli Belah
Aeon Mall
Tentunya di Chiba atau di tempat-tempat lainnya di Jepun, terdapat banyak Aeon Mall. Tarikan lazim utama buat orang Malaysia tentunya Daiso. Anda boleh lihat barangan Daiso yang tidak terdapat di Malaysia. Cenderamata, belilah disini.
Mega Don Quijote Narita
Juga berdekatan dengan Narita Aeon Mall adalah Don Quijote. Tempat ini juga seronok untuk membeli belah daripada cenderamata, kelengkapan rumah, barang penjagaan kulit dan banyak lagi dijual murah. Ramai yang borong coklat Kit Kat, Hada Labo, dan juga benda-benda unik lain disini.
Marroad International Hotel Narita
Hotel ini dekat dengan Narita Airport, kira-kira 15 minit perjalanan untuk anda kejar penerbangan balik ke Malaysia. Rezeki kami pada malam sebelum balik itu, dapat merasai salji yang turun lebat sekitar jam 10 malam. Ketahui ramalan cuaca dan suhu jika anda nak merasai pengalaman yang sama.
Chiba Memanggil
Banyak lagi tarikan lain yang boleh dikunjungi di Chiba. Antaranya Kamogawa Sea World, Sakura City (bandar Samurai), Tokyo Disney Resort, Country Farm Tokyo German Village di Gunung Nakogiri dan untuk membeli belah seperti di Mitsui dan Shisui Premium Outlet.
Chiba buat mereka yang pertama kali berkunjung ke Jepun menawarkan dua pengalaman berbeza iaitu moden dan juga tradisional, sesuai untuk semua peringkat umur. Jika nak berkunjung ke Tokyo, perjalanan hanya sekitar 40 minit.
Anda masih boleh pulang ke kawasan yang kurang sibuk dan berehat di tepi laut sambil merendam kaki di kolam air panas yang melegakan. Menyandar dan mengimbau pengalaman siang tadi menikmati kek lembut yang enak, menghirup sup yang panas, menyusuri perkampungan indah gaya ala Jepun dan membawa pulang cenderamata dan kenangan yang pasti akan memanggil semula anda ke Chiba.
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI