Bob, Si Kucing Jalanan ‘Terkenal Dunia’ Dah Tak Ada!

Share

Bob si kucing jalanan pernah suatu ketika menjadi fenomena dan terkenal di seluruh dunia kerana menyelamatkan seorang gelandangan, disahkan telah menghembuskan nafas terakhir.

Kerana Bob, gelandangan tersebut iaitu tuannya sendiri hari ini berjaya mengubah kehidupan menjadi lebih baik. Malah, kerana itu kucing ini telah menjadi sumber inspirasi dalam penghasilan sebuah buku bertajuk ‘A Street Cat Named Bob’, diilhamkan oleh pemiliknya, James Anthony Bowen.

Setelah membukukan kisah perjalanan hidup bersama Bob pada 2012, naskah tersebut telah diadaptasi kepada filem bertajuk ‘A Street Cat Named Bob’ pada 2016 dibintangi oleh Luke Treadaway.

James Anthony Bowen juga merupakan seorang pemuzik jalanan telah menemui Bob di sebuah pangsapuri di Tottenham pada 2007. Meskipun pada awalnya dia tidak mengendahkan kehadiran Bob namun lama kelamaan, hubungan mereka menjadi akrab dan Bob menjadi peneman setia termasuk semasa membuat persembahan. Bob telah menyelamatkan nyawanya dan memberi sebuah persahabatan cukup bermakna. Sejak itu, kisah kucing jalanan itu mula menjadi buah mulut sehingga ‘Bob’ sangat terkenal.

Mengenang kisah manis yang lalu, Bob ditemui dalam keadaan cedera dan terbiar sebelum diambil oleh James Anthony Bowen dan dipeliharanya. Hubungan mereka bertambah erat lantaran itu Bob sering mengiringi Bowen yang juga seorang pemuzik jalanan sambil menjual surat khabar ‘The Big Issue’ di sekitar kawasan Covent Garden di kota London. James Anthony Bowen, pada masa itu sedang berdepan dengan masalah penagihan dadah. Dia mula mengarang buku mengisahkan tentang perjalanan kehidupan sehariannya bersama Bob dan laris terjual dan meraih populariti.

Sejak penerbitannya, lebih sejuta naskhah laris terjual di UK sahaja dan turut diterjemahkan kepada 30 bahasa. Ia juga kekal menjuarai carta senarai teratas buku terlaris di akhbar ‘The Sunday Times’ selama 76 minggu berturut-turut.

Berita kematian kucing ini pada usia 14 tahun pada 16 Jun 2020 awal minggu ini sangat menyedihkan. Penerbit buku Bowen, Hodder & Stoughton mengesahkan berita kematian Bob dalam satu kenyataan, lapor Independent.

“Semasa dia berada di sisi saya, saya menemui jalan dan tujuan untuk hidup yang selama ini telah hilang. Kami mengecapi kejayaan bersama melalui buku dan filem yang cukup menakjubkan. Dia bertemu dengan ribuan orang, memberi harapan kepada jutaan orang, Bob tiada pengganti dan tiada kucing sepertinya, tidak akan ada. Saya rasa kehilangan dan saya tidak akan sekali melupakannya,” kata James Anthony Bowen

Dalam pada itu, perkataan ‘RIP Bob’ menjadi trending teratas Twitter selepas peminatnya mengetahui kematian Bob. Selain buku A Street Cat Named Bob, terdapat juga buku bertajuk A Gift from Bob, The World According to Bob, My Name Is Bob dan For the Love of Bob, laris di pasaran.

 

 

Sumber: Sinar Harian | Foto: Dailymail

Oleh
Husna