Beruang Kutub Ditemui Kebuluran Sedang Makan Sampah Meruntun Hati Penduduk Dunia

Share

Memang teruja kalau nampak beruang kutub yang hanya boleh dilihat di kutub utara muncul di kawasan biasa orang ramai. Namun sayu hati melihat kelibat beruang kutub itu kerana ditemui sedang merayau dalam keadaan lemah, kebuluran dan sedang makan sisa kotoran di sebuah tapak pelupusan sampah di bandar Norilsk, Rusia.

Situasi itu telah menggemparkan institusi pemuliharaan haiwan dan meresahkan golongan pemerhati sedunia khususnya pencinta haiwan serta alam sekitar. Beruang kutub ini telah meninggalkan habitatnya di Artik yang sejauh ratusan kilometer itu membuka mata ramai tentang isu pemanasan global, pencairan ais, pemusnahan habitat dan juga kerosakan besar yang dilakukan manusia.

Perubahan iklim ternyata telah memusnahkan habitat dataran ais di kutub dan itu memaksa haiwan-haiwan di situ bergerak lebih jauh untuk mencari makanan di tanah yang didiami manusia. Setakat ini masih tiada butiran terperinci tentang bagaimana beruang kutub itu sampai di Norilsk.

Beruang itu akhirnya berjaya ditempatkan di sebuah zoo di bandar Krasnoyarsk, Siberia untuk menjalani rawatan susulan.

Ketika gambar dan video beruang betina berusia dua tahun itu mula tular di Norilsk, ia dalam keadaan sangat tidak sihat dan hampir mati selepas menggeledah sampah sarap tanpa menemui sebarang sumber makanan.

Syarikat minyak Rosneft, dalam satu kenyataan berkata bahawa pihaknya turut terlibat dalam operasi memindahkan haiwan tersebut dari Nirilsk ke Krasnoyarsk. Beruang itu kini akan menerima segala rawatan dan makanan kesihatan yang sewajarnya.

Seorang pakar hidupan liar, Oleg Krashevsky, yang terserempak dengan beruang itu sewaktu di Norilsk, berkata bahawa ia berkemungkinan tersesat. Tambahnya, semasa ditemui, mata beruang itu berair, dan ia tidak dapat melihat dengan jelas. Buat masa ini beruang itu terlalu lemah untuk dihantar pulang ke habitat asalnya.

Sumber: Astro Awani

Oleh
Husna