Nampaknya industri pelancongan dlam negeri kembali rancak apabila kerajaan baru-baru ini melalui Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Langkawi telah dipilih sebagai projek rintis untuk dibuka kembali kepada pelancong tempatan bermula 16 September ini.
Justeru, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) akan membenarkan tujuh aktiviti pelancongan utama di Langkawi sempena pembukaan semula pulau peranginan itu kepada pelancong tempatan pada 16 September ini.
MOTAC dalam kenyataan hari ini berkata, ia merangkumi kebenaran penginapan di hotel dan homestay termasuk semua fasiliti dalam premis hotel dan homestay (rumah inap), aktiviti perniagaan seperti mesyuarat, insentif, konvensyen dan pameran serta acara-acara pelancongan dan kebudayaan.
“Kebenaran juga diberikan untuk produk tarikan utama pelancong seperti aktiviti pantai, sukan air, snorkeling, selam skuba, pelancongan memancing, pusat edutainment, taman rekreasi, sukan lasak atau pengembaraan (adventure
) atau taman semulajadi (nature parks), ladang (farms), akuarium, zoo dan lain-lain kegiatan riadah, rekreasi serta sosial.“Aktiviti pelancongan minat khas seperti golf, selam skuba, berbasikal, memancing, pelayaran dan sebagainya juga dibenarkan,” menurut kenyataan itu.
Turut dibenarkan ialah aktiviti eko geo-kembara seperti berkhemah, mendaki, kembara gua, dan ‘jungle trekking’ dan sebagainya.
Premis hasil seni, budaya dan warisan seperti muzium, perpustakaan, galeri seni, pusat atau kampung seni warisan budaya, pementasan persembahan budaya dan lain-lain juga dibenarkan beroperasi.
Selain itu, turut dibenarkan beroperasi ialah taman tema dan pusat hiburan keluarga serta lawatan bersifat akademik seperti ke Geopark Discovery Center, Balai Seni dan Laman Padi.
MOTAC turut memaklumkan senarai itu bakal diumumkan secara lebih terperinci tertakluk kepada perubahan semasa.
Pada masa sama MOTAC juga sedang menyediakan pakej pelancongan yang lebih menarik untuk seluruh Keluarga Malaysia sebagai menghargai sokongan dalam merancakkan semula aktiviti pelancongan domestik apabila kebenaran diberikan kelak.
Selain itu, MOTAC juga akan sentiasa membuat pemantauan dan mengadakan beberapa lagi sesi libat urus dengan para penggiat industri pelancongan serta pemegang taruh berkaitan bagi meluaskan gelembung pelancongan ini secara berfasa. – BERNAMA
– Bilangan perjalanan feri ke Langkawi akan ditambah bermula 16 September ini susulan pengumuman pembukaan semula pulau itu sebagai destinasi pertama projek perintis gelembung pelancongan domestik.
– Pelancong yang ingin mengunjungi Pulau Langkawi perlu memohon kebenaran daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), kata Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Seri Nancy Shukri.
– Pelancong mempunyai pilihan untuk pergi ke Langkawi melalui jalan udara dan darat. Bagi pergerakan menggunakan jalan darat, pelancong perlu menggunakan perkhidmatan agensi pelancongan, sekurang-kurangnya untuk menggunakan perkhidmatan pengangkutan dari destinasi permulaan ke jeti feri ke Langkawi.
– Manakala bagi pelancong yang memulakan perjalanan mereka ke Langkawi dari negeri Kedah dan Perlis, serta yang menggunakan jalan udara, mereka tidak diwajibkan untuk menggunakan perkhidmatan agensi pelancongan.
– Selain terhad kepada individu yang telah lengkap dua dos vaksin, antara SOP yang perlu dipatuhi pengunjung ialah ia mestilah percutian secara harian, bermalam, dengan tempahan penginapan atau tiket masuk yang dibuat lebih awal, percutian pakej pelancongan melalui syarikat pelancongan yang berlesen dan berdaftar dengan MOTA
– Tiada had umur ditetapkan untuk kemasukan ke Pulau Langkawi dan individu berumur bawah 18 tahun perlu bergerak bersama penjaga yang telah lengkap divaksinasi.
– Dalam masa sama, perlindungan insuran serta saringan COVID-19 juga adalah tidak diwajibkan.
Sumber: Astro Awani
Artikel Berkaitan:
Industri Pelancongan Kembali Rancak. Langkawi & Pulau Di Terengganu Mula Dibuka Untuk Pengunjung!
Digelar Heavan’s Gate Di Kalangan Jurugambar, Pulau Mawar Di Mersing Masih Kurang Dikenali Ramai