Makan

‘Berkenduri’ Sakan Dengan Nasi Kenduri Dan Sup Meletup

Share

Kini anda tidak perlu menunggu ke majlis kenduri untuk menikmati lauk pauk yang biasa dihidangkan di waktu itu. Kiranya anda ke Pusat Penjaja Bandar Sri Permaisuri carilah kedai nombor C2 dan C3.

Dua gerai ini adalah kepunyaan Zulkhori Abdul Aziz masing-masing kedai Nasi Kenduri dan Sup Meletup menjadi tumpuan ramai. Bau nasi ayam kukus dan sup meletop sudah menusuk hidung saat menjejak masuk ke kedai ini.

Apa dia nasi kenduri tu? Sebenarnya ia adalah nasi ayam kukus yang dihidangkan bersama lauk kari ayam pedas dan kuah kicap manis yang ditumis bersama bawang halia, kicap dan tomato. Inilah yang membezakannya dengan nasi ayam biasa yang dihidangkan bersama sup.

Nasinya pula sungguh lembut dan terasa keenakan perasa ayamnya di dalam nasi. Tapi anda jika anda menginginkan sup untuk dimakan bersama nasi ayam kukus ini pun boleh juga.

Sementara sup meletup daging ini menjadi kuah kepada kepada bihup sup utara, kue teow, dan mee. Setiap hari gerai ini memasak60 kg beras, 80 kg daging untuk sup dan ayam sebanyak 40 ekor sebagai bahan masakan asas di sini.

Tetapi penulis tertarik dengan cerita sebalik sup meletup yang berasal dari Langgar, Kedah ini. Zulkhori mempelajari resipi sup meletup ini dari arwah Hj Ahmad Hashim yang telah pun meninggal dunia dua tahun lepas.

Arwahnya pula ‘menuntut’ dari pelopor asalnya Mat Bom yang memiliki kedai di Medan Selera Alor Star, Kedah. Mat Bom telah kembali ke rahmatullah sepuluh tahun yang lepas.

Yang pasti amal jariah kedua arwah ini terus berjalan, kerana tidak lokek berkongsi resipi kepada pekerja dan sesiapa yang ingin belajar dari mereka. Kesemua menu di sini berharga di antara RM6 hingga RM7.

Di sekitar Kuala Lumpur kini terdapat enam hingga tujuh gerai menjual supmeletup dengan resipi yang sama. Buat mereka yang terlalu sibuk, Zulkhori juga menyediakan khidmat penghantaran makanan kepada pelanggan di pejabat mahu pun rumah.

Buat mereka yang mahu berjalan-jalan cari makan, gerai nasi kenduri dan sup meletup ini pasti menepati selera anda yang mahukan juadah enak dengan harga yang murah..

INFO KEDAI :

PEMILIK : Zulkhori Abdul Aziz
ALAMAT : C2 dan C3 Pusat Penjaja Bandar Sri Permaisuri (Medan Selera), Kuala Lumpur
WAKTU OPERASI: Setiap hari 9.00 pagi -3.00 pagi
WAJIB CUBA : Sup Meletup, Nasi Ayam Kukus, Nasi Kenduri, Bihun Sup, Kue Teow Sup, Mee Sup, Nasi Goreng dan pelbagai lagi.

Oleh
Epul