Bercuti Ke Lombok Pun Best! Banyak Tempat Menarik Macam Di Bali, Indonesia

Share

Oleh: Putri Ardila

Luangkan masa untuk meneroka Lombok dan menikmati pelbagai aktiviti yang tawarkan. Berjemur, snorkeling, menyelam, bersantai, berenang, kayak laut, spa bertaraf dunia, bermain golf, menunggang, atau pengembaraan berkonsepkan eko pelancongan. Semuanya ada di Lombok!

Lombok secara majoriti didiami penduduk yang beragama Islam sebanyak 85%. Lombok mempunyai lapangan terbang bertaraf antarabangsa di daerah Praya. Sebelum ini, lapangan terbangnya terletak di Selaparang, bahagian timur Lombok. Meskipun Lombok pernah dijajah oleh kerajaan Majapahit, tidaklah sukar untuk anda mencari makanan yang halal. Antara hidangan yang mesti cuba ialah Ayam Taliwang.

Merupakan pulau yang kaya dengan keindahan alam, ia terletak di bahagian timur Bali termasuk di dalam gugusan Nusa Tenggara Barat (Lombok dan Sumbawa). Tidak kira sama ada anda seorang backpackers, mereka yang ingin berbulan madu atau bercuti secara berkumpulan, Lombok merupakan lokasi percutian ideal yang pastinya tidak mengeringkan poket anda.

Dengan pelbagai aktiviti yang dapat dilakukan di sini, percutian sepanjang tiga ke empat hari di sini pastinya membuatkan rutin harian anda sarat dengan aktiviti.  Percutian sempurna pastinya bermula di tiga pulau yang indah. Gili Trawangan, Gili Meno dan Gili Air yang dikelilingi dengan pasir putih dan lambaian pokok-pokok kelapa melambai yang terletak di lautan yang berkilauan di kawasan barat laut Lombok.

Selama beberapa tahun, Gilis telah menarik pelawat dari di seluruh dunia untuk perairan yang bersih buat aktiviti skuba dan snorkeling. Apabila anda tiba di Lombok, Pulau Gili Trawangan antara lokasi pilihan pelancong kerana keindahan pantai dan kemudahan yang disediakan. Pulau Gili Trawangan berkeluasan 35km persegi ini yang di awal kemunculannya diterokai oleh para backpackers kini mempunyai 30 penginapan berkonsep vila dan resort.

Mesti Tahu

Apa yang menariknya, tiada kereta atau motosikal di tiga kepulauan Gili di mana bentuk utama pengangkutan selain daripada berjalan kaki adalah dengan kereta kuda yang digelar oleh penduduk tempatan dengan panggilan Ciodomo.

Selain itu, terdapat dua pulau berdekatan dengannya iaitu Gili Meno dan Gili Air. Setiap sudut pulau menjadi lokasi untuk para penyelam dan aktiviti santai sepanjang pantai. Di pulau ini, ternyata terumbu karang di sekitar pulau masih belum tercemar dan hidupan akuatiknya menjadi tumpuan para pencinta alam.

Kalau anda mendambakan inapan mewah, menjejakkan kaki di suatu kawasan bernama Senggigi pula pasti menemukan anda dengan hotel, resort dan vila bertaraf lima bintang. Tambahan pula, kawasan ini lebih ‘havoc’ pada waktu malam kerana adanya pusat hiburan untuk para pelancong. Pastinya peluang untuk berlibur di Batu Bolong Temple, Senggigi Art Market dan Kerandangan Valley tidak boleh dilepaskan begitu sahaja.

Dari Pantai Ke Tanah Tinggi

Kalau suka akan cabaran, apa kata anda cuba aktiviti treking di Pergunungan Rinjani. Pengunjung juga boleh menggabungkan perjalanan di sini dengan menginap di Gili dan Senggigi sebelum memulakan langkah menjelajah Rinjani. Kebanyakan operator untuk aktiviti treking berpengalaman luas dalam menyediakan alatan, panduan, air, makanan dan keadaan cuaca bagi memastikan perjalanan berjalan dengan lancar.

Di sini, pengembara bakal bertemu dengan salah satu kawah besar yang dikenali sebagai Tasik Segara yang terletak kira-kira dua ribu meter di atas paras laut. Kawah ini merupakan tempat gunung berapi yang aktif di abad ini. Terdapat empat hot springs yang wujud di sini di mana salah satunya dipercayai oleh penduduk tempatan mampu untuk mengubati penyakit tertentu.

Pengalaman mendaki gunung dengan pemandangan mengagumkan dan kemudahan ekspedisi serta treking telah menjadi faktor utama di mana Taman Negara Rinjani telah berjaya untuk merangkul anugerah di National Geographic World Tourism Award pada tahun 2004.

Salah satu tempat yang turut menjadi tumpuan mereka yang gemarkan tanah tinggi ialah Malimbu – bentangan laut biru bersama alunan ombak-ombak kecilnya bagaikan panorama indah yang jelas terlihat di depan mata ketika menghadap laut dari tebing bukit. Ke mana pun jua lemparan mata memandang, pemandangan di Malimbu sungguh memukau. Di sini juga, pengunjung boleh melihat Gunung Berapi Agung yang terletak di bahagian timur Bali dan barat Lombok.

Info:

Mataram adalah ibu kota Lombok Barat Nusa Tenggara. Pekan ini sebenarnya terdiri daripada empat bandar-bandar yang berbeza Ampenan, Mataram, Ulu (Cakra) dan Sweta. Ampenan mempunyai kebanyakan tarikan, termasuk Muzium Nusa Tenggara Barat yang memberikan gambaran terbaik budaya tradisi Lombok dan Pulau Sumbawa.

Oleh
Husna