Berita

Bercuti Ke Jepun Tanpa Pemandu Pelancong Mulai 7 September, Had Harian Pelawat Dinaikkan Kepada 50 Ribu Sehari!

Share

Kalau ada yang rindu untuk bercuti ke negara matahari terbit, dah boleh mula merancang kerana kerajaan Jepun sudah mula melonggarkan kawalan sempadan untuk pelawat asing masuk ke negara mereka bermula 7 September ini.

Menurut laporan portal Mediacorp Singapura, Pelawat asing boleh mengunjungi Jepun mulai esok mengikut pakej lawatan tanpa diiringi pemandu pelancong.

Mulai 7 September, Jepun juga menaikkan had harian jumlah pelawat yang dibenarkan memasuki negara itu kepada 50,000.

Credit Photo: www. canva.com

Jepun telah melaksanakan sekatan sempadan yang ketat lebih lama berbanding negara lain, dan hanya pada Jun, negara itu mula membenarkan pelawat asing memasuki Jepun dengan syarat mereka mengikut pakej lawatan dan diiringi pemandu pelancong.

“Sedang pertukaran antarabangsa menjadi semakin aktif di seluruh dunia, Jepun akan turut serta dalam pergerakan ini – juga dari sudut pandangan untuk memanfaatkan yen yang murah,” kata Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida pada Rabu lalu.

“Mulai 7 September juga, kami akan membenarkan pelawat dari semua negara untuk memasuki Jepun mengikut pakej lawatan tanpa pemandu pelancong, dan kami akan terus memastikan prosedur pelepasan di lapangan terbang berjalan dengan lebih lancar,” tambah Kishida.

Namun, langkah-langkah itu tidak bererti pembukaan semula negara tersebut sepenuhnya dan pelawat masih dikehendaki membuat tempahan bagi lawatan mereka menerusi ejen dan mendapatkan visa.

Penyiar awam NHK dan media tempatan lain turut melaporkan bahawa pelawat asing perlu mematuhi garis panduan pengasingan diri jika diuji positif COVID-19 di Jepun.

Credit Photo: www. canva.com

Kishida berkata beliau berharap untuk melonggarkan lagi sekatan sempadan, dengan para pegawai industri berminat untuk melihat pelaksanaan semula program yang membenarkan pelawat dari kebanyakan negara dunia untuk melawat tanpa visa.

Negara tersebut tidak pernah mengenakan perintah berkurung yang ketat, dan ia mencatatkan sekitar 39,000 kematian disebabkan COVID-19 – lebih rendah berbanding banyak lagi negara.

Kredit: berita.mediacorp.sg

 

 

 

 

Oleh
SAHR