Bercuti Ke Dabong 4 Hari 3 Malam, Wanita Ini Kongsi Tip Naik Train Ke Sana

Share

Naik train ke Dabong, itulah yang wanita ini mahu kongsikan kali ini dengan anda yang suka naik kenderaan awam untuk bercuti.

Menerusi perkongsian di facebook miliknya, Felicia Ramzi berkongsi tip bercuti selama 4 hari 3 malam.

Jom ikuti perkongsiannya. Menarik boleh jadi panduan!

DARI KAJANG KE DABONG

Kali ini saya nak kongsikan trip kami 5 sekeluarga menaiki “Jungle Train” aka Ekspress Rakyat Timuran koc berkatil ke Dabong musim cuti sekolah lepas. Ini beberapa tips dan tricks tentang jungle train ni dan juga info tempat-tempat menarik di Dabong.

Perjalanan bermula 5 Jun, 10.28 malam setelah lewat 14 minit. perjalanan ke Dabong pula, 6 Jun, 1.18 pagi. Jadi jangan silap beli tarikh tiket ya!

Laluan kami adalah dari stesen Kajang 1 menaiki ETS ke Gemas. Dari Gemas, naik Jungle Train menuju ke Dabong.

Tips and tricks beli tiket:

1. Pembelian online: KTMB banyak beri diskaun berbentuk kod promo.

2. Pembelian online: Kalau ada warga emas, beli tiket di bawah penama warga emas tersebut. Sebab kalau beli atas nama penama dewasa, kategori warga emas takkan muncul dalam pilihan check box, kena bayar harga dewasa. Rugi.

3. Kalau beli di kaunter, minta bantuan staff KTMB. Bagitau lah minta letakkan kod promo. Juga beli di bawah penama warga emas jika ada warga emas. Staff KTMB pasti lebih arif. Kami tempoh hari, kalau tak pakai kod promo, Kajang-Gemas saja pun dah RM250. Tapi sebab masukkan kod promo (CUTIKERETAPI2) & (MKTMB22) – total tiket kami jadi RM148 pergi balik. Jauh kan bezanya. Jimat banyak.

4. Sama juga pembelian tiket Gemas-Dabong. Harga asal dapat sekitar RM400. Tapi sebab masukkan kod promo yang KTMB bagi, total pergi balik dapat RM268 koc berkatil.

5. Koc berkatil : Koc T6-T8. Tips saya, belilah katil tengah-tengah di Koc 8. Satu sebabnya, penumpang lain tak lalu-lalang ke cafe di Koc 5. DAN, koc 8 paling dekat dengan kepala keretapi. Nak bergambar di stesen Gua Musang, Koc 8 paling depan sekali. Cuba elakkan ambik katil depan sekali jugak sebab besi ‘connecting’ koc tu bising gedegung gedegang.

6. Untuk pilihan katil, nombor genap ialah katil bawah. Nombor ganjil ialah katil atas.

7. Untuk pemandangan bukit di Gua Musang, pilih katil sebelah kanan bermula dengan nombor 3,4,7,8,11,12,15,16 dan seterusnya sehingga 39,40.

8. Bawa sarung extra untuk balut tilam dan bantal. Sebab tak tahu berapa ramai yang dah baring kat tempat kita tu kan.

9. Bawa extra makanan. Jangkakan servis penyediaan makanan sedikit lewat kalau penumpang ramai.

Tips membeli nombor katil yang menghadap bukit di Gua Musang. Lukis senang paham ye dak.
Pengalaman berharga kali pertama naik jungle train dari Gemas
Saya beli 3 katil bawah, 2 katil atas.
Keadaan dalam keretapi. Masa pergi, tak lena tidur. Keretapi bising dan kerap brek mengejut. Kadang-kadang, koc rasa macam senget sebelah
Katil bawah, tingkap lebih luas. ada lampu dim light kalau tak suka gelap (tapi tak gelap mana pun) Elakkan beli katil bernombor 2&4, 14&16, 26&28 sebab ada penghadang ditengah-tengah tingkap.

Tempat Makan Best Di Dabong

Kali kedua ke mee udang Che Da

1. Mee Udang Che Da – depan stesen. sedap namatey.
2. Mee Udang Harimau Kak Nah – menjilat jarey.
3. Nasi Kerabu Kak Tiey – di Jambatan Kemubu – menanges.
4. Ikan Bakar Adam’s Cafe – terkenang-kenang.
5. Dodol lemak – sebagai souvenir

Tempat Penginapan:

1 malam kami di – Resthouse MDD – 1 unit berkonsepkan rumah. 2 bilik tidur beraircond, 2 katil queen, ruang tamu bersofa dan berkarpet, dapur basic, bilik mandi – RM150/malam.
2 malam seterusnya di – Rose House Dabong – 1 bilik. 1 katil queen, 1 katil single, 1 toto – RM80/malam + RM50 extend sehingga malam sementara tunggu train balik Gemas 11.32 malam.

Abe Din ajak bergambar. AAAwie pun pernah datang sini dan beberapa artis lain.
Rose House Dabong abg Din. Hospitality abg Din dan kak Ros wajar dipuji. Kak Ros siap cuci baju dan lipat baju kami walaupun kami kata tak perlu. Bila kami nak bayar, Kak Ros tak mau terima. Semoga dibalas dengan segala kebaikan kepada abe Din dan kak Ros.

Kedua-dua penginapan ini tidak disediakan TV, peti ais atau tempat masak tapi sangat berdekatan dengan stesen keretapi. Kami memang pilih lokasi di pekan sebab takda transport.

Kalau tetiba tak ada transport, kami masih boleh jalan kaki ke stesen. Tak menyesal trip kali ni.

Walau tidur tak lena dalam train, line telefon SOS, objektif utama telah tercapai – makan, nature dan merasa naik jungle train Malaysia.

Sumber: Felicia Ramzi

 

Oleh
Nadia