Penat dengan urusan kerja dan kesibukan kota, apa kata hujung minggu luangkan masa dengan keluarga atau kawan-kawan dengan menginap kat Chalet Latip D’Ayer Itam yang terletak di Batu Kurau, Perak.
Dikelilingi sungai yang jernih, tempat ni memang sesuai kalau nak release kan sekejap kepala setelah penat berkerja. Yang suka memancing, boleh layan memancing, yang suka bergambar lak banyak port OOTD yang boleh korang layan.
Chalet Latip D’Ayer Itam menawarkan bilik-bilik berhawa dingin di Kampong Ayer Hitam. Menawarkan kaunter penerimaan tetamu 24 jam, tempat penginapan ini juga mengalu-alukan tetamu dengan restoran dan kolam renang luaran sepanjang tahun. Penginapan ini menyediakan perkhidmatan bilik dan perkhidmatan concierge untuk tetamu.
Semua unit di hotel ini dilengkapi dengan ruang tempat duduk. Setiap bilik di Chalet Latip D’Ayer Itam dilengkapi dengan TV skrin rata, bilik mandi peribadi dan balkoni dengan pemandangan sungai.
Kalau datang ramai-ramai dengan family nak buat BBQ di malam hari pun memang sesuai. Segar tenang dan nyaman!
kredit: https://www.facebook.com/latipsdayeritam/
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Kalau Bercuti Ke Jepun, Jangan Buat 5 Kesalahan Ini
Jom bercuti ke Jepun! Satu negara yang tetap menjadi destinasi percutian popular di dunia kerana iklim dan topografinya unik.
Tambahan pula masyarakat di negara matahari terbit ini kaya dengan budaya dan tradisi tersendiri di samping sajian yang istimewa.
Bercuti Ke Jepun
Meskipun peradaban dan tatasusila penduduknya hampir sama dengan masyarakat Melayu, namun ada beberapa perkara yang ditegah serta dianggap biadab jika dilakukan.
Bagi anda yang pertama kali ingin menjejakkan kaki di Jepun, pastikan lima perkara yang dikongsikan Kamal Zharif ini dipatuhi, ya.
Pesanan yang diberikan adalah berdasarkan pengalamannya bermastautin di negara Sakura itu selama 10 tahun.
1. Dilarang memberi tip
Pemberian tip sering dilakukan di negara Barat dan mula dinormalisasikan di Malaysia kerana tindakan itu seiring dengan amalan bersedekah.
Bagaimanapun, perbuatan ini bercanggah dengan penduduk Jepun dan ia dianggap sebagai satu penghinaan disebabkan masyarakat mereka sangat berintegriti.
Bagi mereka, segala khidmat yang diberikan telah dicaj dalam bil yang tertera.
Oleh itu, tidak perlulah anda membayar lebih atau sebut ‘keep the change’, bahkan baki 5 sen pun mereka akan pulangkan.
2. Kasut tidak dibenarkan dipakai di dalam bangunan
Apa sahaja jenis bangunan seperti rumah, tempat suci mahupun sekolah, penghuninya akan menyediakan selipar ganti.
Jadi, sebelum masuk ke dalam bangunan silalah buka kasut dan gantikan dengan selipar yang telah disediakan.
Tetapi jangan pakai selipar apabila masuk ke dalam bilik yang ada tikar tatami, ya.
3. Bermain-main dengan chopstick
Masyarakat Jepun mempunyai banyak pantang larang dalam penggunaan chopstik dan setiap perbuatan akan menggambarkan maksud-maksud tertentu.
Misalnya, chopstick yang dirapatkan dan dipacak secara menegak pada mangkuk nasi menggambarkan ritual kematian.
Selain itu, anda juga dilarang untuk mengambil makanan orang lain menggunakan chopstick sendiri atau memanggil orang dengan melambainya menggunakan chopstick.
4. Makan sembarangan di tempat awam
Sebagaimana di Malaysia, anda juga dilarang untuk makan di dalam kenderaan awam.
Selain akan mengganggu penumpang lain, kebarangkalian makanan atau minuman anda tertumpah dan mengotori ruang awam adalah tinggi.
Malah Islam juga menegah penganutnya untuk makan sambil berjalan sebaliknya perlu duduk dan beradab ketika menghadap makanan.
5. Potong barisan
Dalam apa juga keadaan sekalipun, orang Jepun sentiasa beratur.
Malah ketika tsunami melanda, mereka masih beratur untuk mendapatkan bantuan kecemasan daripada agensi terlibat.
Jadi kalau anda ada niat nak melancong ke Jepun, pastikan tidak buat kesalahan di atas. Jangan malukan diri dan negara jika ke tempat orang, yang penting disiplin dan kekal bawa jati diri.
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Annyeonghaseyo! Pengalaman Dan Detik Terindah Di PyeongChang, Korea Selatan
Berpeluang mengikuti trip bersama sekumpulan media Malaysia antara pengalaman yang tidak dapat dilupakan. Rombongan kami dibawa khas ke Korea Selatan oleh organisasi pelancongan Korea dan Wilayah Gangwon untuk merasai sendiri pengalaman ketika musim sejuk dan menyaksikan beberapa acara sukan musim sejuk percubaan yang sebelum ini kami tidak pernah merasainya.
Beberapa acara sukan musim sejuk percubaan telah berlangsung seperti ‘Snowboard’ yang diadakan di Bokwang Snow Park, ‘Figure Skating’ di Gangneung Ice Arena dan ‘Ski Jump’ di Alpensia Ski Jump untuk menghadapi Sukan Olimpik musim sejuk 2018 yang bakal berlangsung di PyeongChang nanti. Tidak dinafikan PyeongChang telah bersedia untuk menerima kunjungan pelancong dan warga sukan musim sejuk.
Banyak hotel dan resort yang menarik antaranya seperti Samcheok Sol Beach, Phoenix Park, Atrium PyeongChang, Alpensia, Yongpyong telah bersedia menerima pelancong dan pengunjung pada masa ini mahu pun ketika Sukan Olimpik musim sejuk itu nanti.
Kami juga diberi peluang untuk melawat pusat Sukan Olimpik musim sejuk 2018 yang juga dinamakan Rumah PyeongChang dan terletak di Green-city Convention Center. Kami telah diberi penerangan berkenaan persiapan temasya itu nanti. Banyak pengalaman dan pengetahuan tentang sukan musim sejuk yang dapat dipelajari ketika berada di Rumah PyeongChang.
Selain dari tarikan musim salji di PyeongChang banyak lagi tempat menarik yang harus dikunjungi. Memandangkan Korea popular dengan Kpop dan drama yang menjadi kegilaan rakyat Malaysia, kami berpeluang ke lokasi drama yang sangat popular pada 2016 iaitu Goblin.
Salah satu adegan pasangan dalam watak drama telah bergambar di situ. Walaupun sekadar batu pemisah air ombak untuk menjaga tebing pantai namun lokasi itu telah menjadi terkenal dan dikunjungi ramai pelancong dalam serta luar negara. Lebih-lebih lagi bagi yang sedang bercinta untuk bergambar di tepi pantai yang terletak di daerah Jumunjin ini.
Belajar perkara baharu
Satu lagi keunikan yang harus dilawati jika berkunjung ke sini ialah pasar ikan Jumunjin. Pelbagai hidupan laut yang tidak terdapat di negara kita dapat dilihat. Antara yang paling banyak dan popular di sini adalah ketam merah. Pasar ini telah dibuka pada tahun 1936 terletak di Gangneung bersebelah dengan pelabuhan Jumunjin. Di kawasan ini juga terdapat pasar makanan laut yang terbesar di pantai timur Korea.
Bagi peminat kopi, ‘Anmok Coffee Street’ di pesisiran pantai Anmok di Gangneung menjanjikan kopi yang menarik dengan keunikan deretan kedai kopi. Di samping itu kami berpeluang untuk melihat sendiri proses pembuatan biskut beras yang menjadi antara makanan tradisional Korea di ‘Galgol Hangwa Village’.
Perkampungan ini dipertanggungjawabkan untuk mengawal dan menjaga makanan tradisi ini untuk dikeluarkan.
Kali ini menu makan malam kami telah dihidangkan dengan ketam merah dan nasi goreng ketam yang amat menarik dan sedap.
Bagi pengunjung beragama Islam tidak mempunyai masalah untuk mendapatkan makanan yang halal kerana di sana banyak restoran yang menyajikan makanan laut sahaja.
Pada hari berikutnya kami dibawa ke lokasi penggambaran drama yang popular iaitu kisah kehidupan sebenar “Saimdang, Memoirs of Colors”. Lokasi seperti Ojukheon dan Seongyojang tidak asing lagi bagi tarikan pelancong kerana lokasi ini menyimpan pelbagai sejarah Korea dan keunikan rumah tradisional Korea.
Rumah Ojukheon dibina dan diberi nama kerana ia dikelilingi pokok buluh hitam dan merupakan tempat tinggal Sinsaimdang dari tahun 1504 hingga 1551 dan tempat lahir anaknya Yulgok seorang ahli politik di zaman pemerintahan Raja ke-11 iaitu Raja Joseon. Rumah Ojukheon ini juga adalah rumah kayu tertua yang masih kekal di Korea.
Perjalanan menjejak PyeongChang diteruskan dengan rombongan kami dibawa ke Phoenix Ski Resort. Sebelum bermalam di situ kami diberi peluang untuk menyaksikan acara sukan ‘Snow Board’.
Ini pengalaman yang sungguh menakjubkan kerana dapat melihat sendiri di depan mata. Sebelum ini hanya melihat di kaca televisyen sahaja. Setelah tamat acara ‘Snow Board’ itu barulah kami di bawa mendaftar masuk ke Phoenix Ski Resort.
Pada sebelah malam kami di jemput untuk menghadiri Malam Gala PyeongChang Tourism Night yang dianjurkan oleh organisasi pelancongan Korea yang dihadiri oleh tetamu kenamaan seperti Presiden Organisasi Pelancongan Korea, Jeong Chang Soo, Pengerusi Ahli Jawatankuasa Penganjur Sukan Olimpik musim sejuk 2018, Lee Hee Beom, Datuk Bandar PyeongChang, Sim Jae Wook dan ramai lagi.
Malam yang sungguh gilang-gemilang dengan persembahan tradisional Korea juga disaksikan pihak media dari 15 buah negara lain iaitu Jerman, UK, Austria, Australia, Rusia, US, Jepun, Filipina, Indonesia, Malaysia dan lain-lain.
Selami budaya masyarakat Korea
Hari berikutnya kami diberi peluang untuk melihat dengan lebih dekat lagi gelanggang acara ‘ski jump’ di Alpensia.
Pengalaman manis ini tidak dapat dilupakan kerana kami dibawa naik ke menara yang paling tinggi sekali untuk melihat pemandangan yang indah saujana mata memandang. Alpensia ski jump ini dibina pada tahun 2008 yang boleh menempatkan seramai 13,500 penonton dan menjadi simbol Sukan Olimpik musim sejuk 2018 PyeongChang.
Selepas itu kami dibawa ke satu tempat yang amat menarik dengan menaiki kereta kabel yang mengambil masa 20 minit untuk sampai ke puncak Yongpyong Resort.
Yongpyong Resort antara ski resort terawal dibina pada tahun 1975 dan telah banyak menyumbang kepada industri sukan musim sejuk di Korea. Di sini juga ia akan menjadi salah satu gelanggang pada temasya Sukan Olimpik dan Paralimpik musim sejuk tahun hadapan..
Selain dari lokasi menarik untuk bermain ski, Yongpyong Resort ini juga menjadi salah satu lokasi penggambaran drama yang terkenal, ‘Guardian:The Lonely and Great God’ dan ‘Winter Sonata’ suatu masa dahulu.
Kesinambungan acara pada sebelah malamnya itu, pihak pelancongan Wilayah Gangwon menganjurkan pesta K-Drama di PyeongChang, Yongpyong Dome. Di situ lagu-lagu soundtrack drama dalam konsert yang menampilkan artis k-pop seperti EXO-CBX, BTB, Kim Bum-soo, Lyn, Gummy dan Lee-teuk dari Super Junior selaku pengacara majlis.
Acara sebelah malam itu kami dapat melihat fanatiknya peminat artis k-pop ini hingga tidak menghiraukan pengawal keselamatan yang memberi arahan. Persembahan yang memukau dan menarik membuat peminatnya begitu taksub sekali.
Pada keesokan hari perasaan teruja berterusan apabila kami diberitahu akan ke ‘Sky Ranch’ antara salah satu tempat yang menarik di PyeongChang. Setibanya kami di situ satu perkhabaran kurang menarik kami terima iaitu cuaca yang amat sejuk apabila sampai ke atas bukit Sky Ranch nanti.
Walau bagaimanapun kami tetap ingin mencuba pengalaman ini. Kami hanya meluangkan masa lebih kurang 10 hingga 15 minit sahaja di situ kerana tidak tahan dengan cuaca yang amat sejuk hingga ke tulang dan angin kencang pada suhu lebih kurang negatif 7 darjah celcius. Sungguh cantik pemandangan dan keindahan di Sky Ranch.
Pada mulanya Sky Ranch adalah ladang lembu Korea yang menempatkan 400 ekor lembu. Kini ia menjadi salah satu tempat tarikan pelancong yang datang ke PyeongChang.
Namun Sky Ranch lebih menarik dikunjungi ketika musim panas. Selepas pengalaman sejuk di Sky Ranch kami terus dibawa ke perkampungan Uiyaji yang terkenal dengan pembuatan keju di PyeongChang. Kami berpeluang merasai pengalaman proses pembuatan keju.
Pengalaman menyeronokkan
Sebelum meninggalkan PyeongChang dan menuju ke Seoul, hari- hari terakhir kami di Korea, kami diberi peluang untuk menjamu selera ketika makan tengah hari dengan menu makanan Korea ‘Bibimbap’ iaitu masakan berunsurkan nasi di campur dengan sayur-sayuran serta digaul bersama dengan sos cili sebagai penambah rasa. Selain dari kimchi orang Korea juga sangat menggemari makanan ini.
Perjalanan menuju ke Seoul yang mengambil masa selama tiga jam tidak disia-siakan dengan rehat dan tidur secukupnya di dalam bas. Setiba kami di Ibis Hotel,Myeongdong, Seoul acara bebas dan membeli-belah.
Ini kerana di PyeongChang kami langsung tidak dapat berbuat demikian kerana kepadatan program yang telah dirancang. Hari terakhir kami di Korea diakhiri dengan sesi lawatan ke ‘K-Style Hub’ atau pusat penerangan pelancong di Seoul yang amat infomatif dan interaktif. Kami sungguh teruja dengan kecanggihan pusat ini dengan pelbagai kemudahan seperti surau yang disediakan untuk umat Islam bersolat.
Tidak puas rasanya diberi lebih kurang dua jam di situ namun apakan daya masa mencemburui kami kerana terpaksa bertolak ke Lapangan Terbang Incheon untuk pulang ke Malaysia.
Sebagai pengakhir bicara pengalaman di PyeongChang ini tidak akan saya lupakan sepanjang hayat kerana ia memberi suasana percutian yang pelbagai. Saya sarankan anda datang dan merasai sendiri keunikan percutian di PyeongChang pada bila-bila masa. My Group My Group…Kamsahamnida…jumpa lagi.
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Pulau Okunoshima, Pulau Populasi Arnab Diiktiraf Antara Yang Terpelik Di Dunia
Di Jepun, selain terdapat ‘pulau dihuni ratusan ekor kucing, di sini juga terdapat sebuah pulau digelar ‘pulau arnab’. Pulau Okunoshima menjadi habitat haiwan comel itu dengan jumlah yang sangat banyak dan diiktiraf antara pulau terpelik di dunia.
Pulau Okunoshima hanya mempunyai keluasan 70 hektar mempunyai pantai yang cantik, taman dan juga muzium. Dianggarkan terdapat kira-kira lebih 1000 ekor arnab yang hidup dan bergerak bebas disini. Arnab di pulau ini hanya mempunyai jangka hayat untuk hidup sekitar 2 tahun sahaja.
Kini setiap tahun hampir ratusan ribu orang pelancong datang ke sini dan kebiasaannya para pelancong akan membawa makanan untuk diberikan kepada arnab-arnab yang hidup di sini. Arnab-arnab ini hanya bergantung pada sayur kobis yang tidak berapa bagus untuk arnab dan makanan yang diberikan oleh pelancong sahaja untuk terus hidup.
Bagaimana wujudnya arnab tersebut dengan begitu banyak di pulau ini? Ada beberapa cerita dan teori yang diceritakan dari mulut ke mulut. Antaranya:
- Menurut portal iluminasi, sebelum peperangan Jepun-Russia satu ketika dahulu, pulau ini adalah kawasan pertanian yang hanya didiami 3 buah keluarga besar. Selain bercucuk tanam, penduduk yang tinggal disini juga menjalankan aktiviti perikanan. Pada tahun 1925, Institut Sains dan Teknologi Tentera Jepun telah mengumumkan satu misi sulit untuk menghasilkan senjata kimia. Kerajaan tentera Jepun memilih Pulau Okunoshima kerana kedudukannya yang jauh daripada Tokyo dan bandar-bandar besar lain yang mempunyai penduduk yang padat. Pada tahun 1927, pembinaan kilang-kilang dan makmal bagi menghasilkan senjata kimia ini dimulakan. Arnab digunakan sebagai bahan uji kaji makmal untuk senjata kimia. Arnab-arnab yang terselamat membiak dan telah menguasai keseluruhan pulau itu. Pada tahun 1988, Muzium Gas Beracun Okunoshima telah dibuka sebagai mengingati kewujudan kilang menghasilkan senjata kimia di pulau ini.
Walau bagaimanapun, Ellis Krauss, seorang professor dan pakar dalam bidang politik Jepun dari University of California San Diego menyatakan bahawa kesemua arnab yang hidup telah dibunuh setelah tentera Perikatan menawan pulau ini kerana menyedari risiko penyebaran penyakit oleh arnab-arnab ini.
- Sehingga kini, tiada bukti kukuh yang dapat membukti kewujudan populasi arnab yang banyak ini. Walau bagaimanapun, terdapat teori lain mendakwa terdapat pihak yang mendakwa arnab-arnab ini telah dibawa masuk ke pulau ini sewaktu pihak tentera menghasilkan senjata kimia di pulau ini.
- Teori lain pula mengatakan bahawa pada tahun 1971, sekumpulan kanak-kanak sekolah telah membawa dan meninggalkan 8 ekor arnab di pulau ini. Kerana ketiadaan pemangsa seperti anjing dan haiwan berbahaya yang lain, maka arnab-arnab ini telah membiak dengan begitu cepat sekali.
Kalau anda suka dengan si comel ini, bolehla rancang untuk melawat ke pulau ini.
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI