Ada tak anak-anak anda yang suka dan excited dengan haiwan maritim seperti ikan, penyu, belangkas dan kuda laut? Kalau ada, Pusat Ikan Hiasan Port Dickson (PIHPD) adalah lokasi terbaik untuk anda bawa mereka mendekati pelbagai spesis hidupan marin yang terdapat di sana.
Terletak hanya di Telok Kemang dan tidak jauh dari pusat bandar, PIHPD adalah lokasi terbaik untuk anda bercuti di waktu hujung minggu bersama keluarga terutamanya ketika bulan Ramadan ni sebab lokasinya yang dekat dan persekitaran bersih serta sejuk di ruang pameran memberikan keselesaan kepada anda dan keluarga.
Untuk pengetahuan anda, PIHPD ini berfungsi sebagai penggalak kepada pembangunan industri marin terutamanya ikan hiasan marin, kuda laut dan batu karang. 80 peratus daripada hidupan marin yang diternak dan dibiakkan di PIHPD ini diambil dari perairan Tanjung Tuan, yang diwartakan sebagai kawasan larangan perikanan di bawah Akta Perikanan 1985.
Pusat tersebut berjaya membiakkan lebih 40 jenis ikan hiasan termasuk 20 jenis batu karang menggunakan kaedah teknologi baharu.Jadi kepada anda atau ada anak-anak yang meminati ikan hiasan marin, PIHPD ini pasti membuatkan mereka teruja untuk cuci mata melihat kepelbagaian koleksi ikan hiasan yang dipamerkan di sana.
PIHPD ini dibina di atas tanah seluas 0.85 hektar dan selain menjadi pusat pembiakan kepada pelbagai spesies ikan hiasan, tarikan lain yang disediakan di pusat berkenaan adalah konservasi penyu karah dan agar di mana petugas PIHPD menyediakan kawasan pembiakan penyu agar dan karah yang diletakkan di luar bangunan dan pengunjung berpeluang untuk melihat sendiri cara membiakkan dua spesies berkenaan.
Ruang dalam Pusat Ikan Hiasan Port Dickson yang selesa untuk seisi keluarga.
Kepada anda yang ingin membawa keluarga bercuti ke sini, PIHPD dibuka setiap hari bermula 9 pagi hingga 5 petang (Isnin hingga Ahad) dan masuk adalah percuma.