Kalau anda jenis sukakan suasana yang tenang dengan alam semula jadi, boleh cuba ke Suara Rimba Hulu Langat Chalet.
Bukan hanya persekitaran yang tenang, anda juga boleh main air sungai di situ.
Selain itu ada juga mini petting zoo untuk anda dekat dan kenal haiwan seperti merak, kancil,arnab, boleh tengok itik kolam ikan sungai dengan tapak perkhemahan di belakangnya.
Agak unik tempat menginapnya yang diperbuat daripada chalet kayu. Memang rasa tenang macam kampung.
Jadi buat anda yang mencari tempat untuk healing dengan bajet yang murah, boleh lah ke sini bawa anak-anak.
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Hati-Hati Travel Ke Algeria, Lelaki Kongsi Pengalaman Kena Cekup Polis
Dicekup dan diheret masuk ke dalam van putih polis Algeria
“Abrar ! Syam kena cekup dengan polis !”
Fikri menjerit dari jauh. Dia menunjukkan ke arah sebuah van putih di sebelah kiri saya. Saya menoleh ke kiri dan melihat salah seorang travel buddies saya sedang dikepit lehernya (neck lock up) oleh seorang arab yang tidak dikenali. Dia diheret masuk ke dalam sebuah van putih.
Sebelum terbang ke sini lagi kami sudah baca dan dengar cerita yang kurang enak dari traveler yang pernah ke Algeria. Negara ini agak tertutup untuk pelancong luar.
Pelancong dari Malaysia pun tidak terlalu ramai ke sini. Kalau ada yang datang pun kebanyakannya datang bersama agensi pelancongan yang besar. Kumpulan kecil backpackers seperti kami ini seolah-olah tidak dialu-alukan.
Permulaan pengembaraan kami di Algeria agak kurang menyenangkan. Saya telah disoal bertalu-lalu oleh pihak Imigresen Lapangan Terbang Algiers.
“Apa pekerjaan kau di Malaysia ?”
“Kau ada kenalan atau tidak di sini ?”
“Kenapa kau datang ke Algeria ? Siapa yang akan bawa kau berjalan-jalan di negara ini ?”
Sebaik sahaja keluar dari Lapangan Terbang Algiers, kami terus bergerak menuju stesen keretapi. Kami perlu beli tiket keretapi petang ini ke Oran, bandar pelabuhan di arah barat laut Algeria. Kemudian kami simpan bagasi di stesen keretapi dan berjalan ke tengah bandar mencari restoren untuk makan tengah hari.
Ketika sedang makan tengah hari, tiba-tiba dari jauh kedengaran orang ramai bertakbir dan menjerit keras. Makin lama makin hampir. Dan akhirnya kumpulan demonstrasi dan perarakan tersebut sampai ke depan restoren tempat kami makan tengah hari.
Saya pernah menetap di Syria selama beberapa bulan. Kemudian tinggal di Jordan selama 4 tahun ketika melanjutkan pelajaran di peringkat sarjana muda. Maka saya boleh faham apa yang dilaung oleh peserta demonstrasi tersebut. Secara mudahnya demonstrasi tersebut berkaitan dengan politik setempat negara Algeria.
Darah muda dan sifat ingin tahu kami mula membuak. Kami keluar dari restoren untuk melihat perarakan secara lebih dekat. Secara perlahan-lahan kami mula masuk ke dalam perarakan demonstrasi tersebut untuk rasai pengalaman menarik ini.
Ini kesilapan pertama kami
Kesilapan kedua pula ketika mana saya bertanya kepada seorang polis yang bertugas adakah saya dibenarkan untuk ambil gambar perarakan ini. Polis tersebut kata tiada masalah. Kami boleh ambil gambar perarakan ini dengan syarat jangan sesekali ambil gambar pihak berkuasa seperti barisan polis dan tentera.
Maka saya dan beberapa travel buddies yang lain keluarkan telefon pintar masing-masing dan mula mengambil gambar suasana sekeliling.
Kemuncak kesilapan kami adalah apabila salah seorang travel buddies kami keluarkan kamera mirrorless beserta lensa yang agak menarik perhatian. Lensa tersebut tidaklah terlalu besar, tetapi cukup untuk menimbulkan persepsi seolah-olah dia jurukamera atau wartawan profesional.
Dia mula ambil gambar dengan menggunakan kamera tersebut. Tidak sampai beberapa minit sahaja tiba-tiba lehernya dikepit oleh seorang pemuda arab. Pemuda tersebut cuma berpakaian biasa seperti orang awam. Dia tidak mengenakan sebarang pakaian atau tanda yang menunjukkan bahawa dia seorang polis atau tentera.
Mujurlah ketika itu saya sempat melihat kejadian ini. Rakan saya ini dan travel buddies yang lain tidak boleh bertutur di dalam bahasa arab. Hanya saya seorang sahaja yang faham dan boleh bertutur bahasa arab.
Saya terus berlari membelah lautan para pendemonstrasi untuk dapatkan rakan saya tersebut. Maka polis yang bertugas turut ‘sumbat’ saya masuk ke dalam van putih. Saya terus teringatkan video kanak-kanak palestin yang diheret masuk ke dalam van putih oleh tentera dan polis Israel. Perasaannya lebih kurang begitu.
Saya cuba tenangkan rakan saya ini. Kemudian saya jelaskan kepada polis tersebut bahawa kami hanyalah pelancong yang datang untuk melihat tempat menarik di sini. Saya jelaskan juga bahawa kami berani ambil gambar kerana sudah dapatkan keizinan dan kepastian dari polis yang bertugas. Polis tersebut tidak memperdulikan alasan yang diberi.
Setelah beberapa minit berada di dalam van putih, kami dibawa ke balai polis berdekatan. Ketika ini saya sudah pasrah jika terpaksa dihantar pulang ke Malaysia. Daripada disumbat ke dalam penjara dan diberi hukuman berat, lebih baik kami terus pulang ke Malaysia walaupun belum sempat melihat tempat menarik di sini.
Kami mula disoal-siasat oleh dua orang polis. Salah seorang polis tersebut mungkin berpangkat lebih tinggi dari seorang lagi. Bagaikan sedang melihat filem aksi barat, saya rasakan kedua polis tersebut sedang melakukan peranan good cop bad cop.
Good cop bad cop merupakan salah satu tektik psikologi yang diguna oleh pihak berkuasa ketika melakukan interogasi. Salah seorang polis akan berkelakuan kasar dan paksa pesalah jawab soalan dengan betul. Manakala seorang lagi polis akan berkelakuan agak lunak dan seolah-olah bersimpati dengan pesalah.
Proses interogasi berjalan hampir 45 minit. Kami ditanya soalan bertalu-talu mengenai tujuan utama kami ke sini. Saya dapat rasakan bahawa polis tersebut mengesyaki kami ini bekerja sebagai wartawan antarabangsa.
Saya cuba bertenang dan jawab soalan dengan berhati-hati. Kedua-dua polis tersebut tidak pernah ucapkan perkataan wartawan atau media. Maka saya ambil jalan selamat dengan tidak menyebutnya juga.
Setelah berpuas hati dengan jawapan yang kami beri, akhirnya pihak polis membebaskan kami. Kedua-dua polis tersebut minta kami bawa mereka berjumpa dengan travel buddies yang lain. Kesemua gambar passport kami diambil dan kami terus dihantar ke stesen keretapi.
*
Anda boleh baca banyak lagi cerita, inspirasi dan tip travel di sini :
https://www.mytravelxperts.com
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
12 Destinasi Kebiasaan ‘Orang Luar’ Akan Singgah Jika Berkunjung Ke Kota Bharu, Kelantan. Kira Lokasi Wajib La!
Sebut saja Kota Bharu, perkara pertama terlintas di fikiran adalah lokasi membeli-belah murah, makanan lazat dan keunikan budaya warisan yang masih dikekalkan masyarakat setempat.
Berkunjung ke Kota Bharu yang menjadi ibu negeri Kelantan Darul Naim ini, pastinya memberi pengalaman dan pengetahuan berbeza sekiranya masa yang ada diperuntukkan sebaik-baiknya.
Antara port wajib orang luar google untuk singgah di Kota Bharu adalah:
- Rumah Api Pantai Senok
Lokasi ini menjadi tular di media sosial kerana keindahan dan keistimewaan susunan pokok ru yang menarik. Menjadi antara lokasi wajib di kunjungi bukan saja bagi pencinta pantai, bahkan mereka yang gemar berkongsi gambar di laman sosial gara-gara kecantikannya diinspirasikan daripada Pulau Nami, Korea Selatan. Malah tarikannya turut dipengaruhi pantainya yang berteluk dan berbatu berlatarkan keindahan Laut China Selatan.
- KB Street Art
Bagi anak muda dan individu berjiwa seni mencari lokasi untuk bergambar menarik, anda dicadangkan ke Jalan Dato Pati, Kota Bharu kerana di kawasan ini terdapat lorong-lorong yang mempamirkan pelbagai lukisan mural yang kreatif’. Lokasi ini paling ideal untuk dijadikan lokasi OOTD anda di Kota Bharu.
- Pasar Siti Khadijah
Di sinilah tempat kaum wanita yang berkunjung ke Kelantan akan menghabiskan masa hampir setengah hari untuk shopping dan kadang-kala membuatkan muncung kaum adam jadi macam muncung itik.
Nak buat macam mana? Harga yang ditawarkan di pasar ini sangat berpatutan dan koleksi pelbagai produk memberikan kepuasan kepada kaum hawa cuci mata di sini. Daripada barang basah, hingga ke barangan kering, spot ini seakan one stop center kepada kaki shopping – barang nak buat hantaran kahwin, barang solat, kraftangan, dan sebagainya.
Selain daripada barang-barang, terdapat juga variasi juadah makanan tradisional masyarakat Kelantan yang boleh didapati di sini seperti kuih akok, nasi tumpang, etok salai, nasi kerabu, aneka kuih muih dan pelbagai lagi.
- Muzium Negeri Kelantan
Terletak di Jalan Hospital, Kota Bharu, kunjungan ke Muzium Negeri Kelantan sangat disarankan kerana ia memberi peluang kepada pelancong mengenali gaya hidup dan budaya masyarakat setempat. Beroperasi setiap hari kecuali Jumaat, muzium ini menyajikan pelbagai jenis artifak bersejarah dan paling unik koleksi barang kesenian tempatan seperti wayang kulit, dikir barat, makyung, menora serta gasing.
- Muzium Perang Bank Kerapu
Struktur muzium ini berasal daripada Bank Kerapu dibina Mercantile Bank pada 1912 di atas tanah milik ketua tempatan, Nik Yusof. Ketika Perang Pasifik pada 1941, tentera Jepun mendarat di Kota Bharu dan Bank Kerapu dijadikan balai polis rahsia bagi koordinasi perang oleh penjajah itu.
Sebaik tamat zaman penjajahan Jepun, ia kembali berfungsi sebagai bank hingga 1991 sebelum dijadikan muzium peringatan perang oleh Perbadanan Muzium Kelantan. Sekiranya pelancong ingin mendalami sejarah, muzium ini menempatkan lebih daripada 1,000 artifak berkaitan perang serta peralatan Jepun.
- Kota Sultan Ismail Petra
Kota ini menjadi mercu tanda dan pusat tumpuan pelancong yang datang ke Kota Bharu. Tersergam indah dengan ukiran dan tulisan khat menarik, Kota Sultan Ismail Petra ini berdekatan Kampung Kraftangan dan Masjid Muhammadi. Tarikan utama kota ini pastinya pintu gerbang besar atau Menara Rehal dan juga Istana Balai Besar.
- Istana Jahar
Dibina menggunakan kayu cengal tanpa paku mahupun skru, Istana Jahar atau Muzium Adat Istiadat ini perlu dikunjungi bukan saja kerana pengisiannya tetapi keunikan seni bina.
Istana ini dibina pada zaman pemerintahan Sultan Muhammad II (1837-1886) sejurus pembukaan bandar Kota Bharu dan pembinaan Istana Balai Besar. Mempamerkan variasi artifak bersejarah Kelantan, destinasi ini turut menampilkan adat istiadat diraja termasuk adat pertunangan, perkahwinan, melenggang perut dan adat pijak tanah.
- Pasar Terapung Pulau Suri
Pasar terapung ni kebiasaannya popular di Thailand, tapi jangan tak tahu yang pasar sedemikian juga boleh dilawati di Kelantan atau lebih tepatnya di Kampung Pulau Suri, Tumpat. Kepada sesiapa yang minat dengan juadah popular negeri Kelantan, boleh singgah ke sini sambil merasai pengalaman ala-ala bercuti ke Thailand.
Selain daripada menikmati juadah makanan di sini, pengunjung juga akan berpeluang untuk bersiar-siar dan menikmati keindahan yang terdapat di pasar terapung Kampung Pulau Suri ini.
Kepada anda yang ingin ke sini, beri perhatian bahawa pasar ini hanya dibuka pada hujung minggu dan ada bayaran minimal yang dikenakan kepada anda iaitu tambang bot. Untuk ke sini, anda boleh datang melalui Jeti Kuala Besar yang terletak di Kota Bharu.
- Pasar Tani Terapung Pengkalan Datu
Satu lagi pasar terapung yang ada di Kelantan adalah Pasar Tani Terapung Pengkalan Datu. Mudah saja kelau nak ke sini sebab ia berdekatan dengan pusat bandar Kota Bharu. Anda yang berkunjung ke sini boleh melihat budaya jual beli orang setempat di sana dan pusing-pusing menari makanan popular Kelantan pada harga yang sangat berpatutan. Untuk ke sini berbeza dengan Pasar Terapung Pulau Suri, anda tidak perlu menaiki bot. Waktu operasi dari jam 8 pagi hingga 2 petang setiap Sabtu sahaja
- Masjid Kampung Laut
Tercari-cari masjid yang kaya dengan nilai sejarahnya sendiri? Jangan lupa singgah ke Masjid Kampung Laut yang terletak di Nilam Puri, Jalan Kuala Krai, Kota Bharu. Dibina tanpa menggunakan walau sebatang paku, masjid ini pada asalnya dibina pada sekitar tahun 1730-an oleh sekumpulan mubaligh, namun ia telah dialihkan daripada kedudukan asalnya iaitu di Kampung Laut, Tumpat setelah berlakunya banjir besar tetapi tidak menjejaskan langsung struktur asal masjid itu yang kekal utuh hingga ke hari ini.
- Kampung Kraftangan
Kampung ini sesuai untuk anda yang nak mencari songket, barangan perak, batik dan hasil seni kraftangan tempatan Kelantan. Untuk anda yang tak pernah merasa macam mana nak mencanting batik, boleh la cuba-cuba apabila berkunjung ke sini dengan bayaran hanya RM10 sahaja.
Lagi satu benda yang best di sini, Kampung Kraftangan ini terletak berdekatan dengan tempat makan popular di Kelantan iaitu Nasi Ulam Cikgu. Lepas beli buah tangan di sini, terus sahaja makan tengah hari di restoran Nasi Ulam Cikgu.
image via google
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
15 Kafe Unik & ‘Photo Worthy’ Di Selangor Best Untuk Lepak Santai
Jika anda berada berhampiran Lembah Klang, tidak perlu pergi jauh untuk lepak santai bersama teman dan keluarga. Pusing-pusing sahaja sekitar Selangor, anda pasti jumpa ‘port’ menarik untuk singgah. Paling istimewa lokasi yang dicadangkan ini sangat photo-worthy! Jom plan ke sini..
1) KAFE LA FLEUR X UNIQORN, SUBANG JAYA
Daerah Petaling terkenal dengan kafe yang hipster dan unik. Antaranya adalah Kafe La Fleur x Uniqorn yang bertemakan ‘Unicorn’. Kafe ini dihiasi warna merah jambu dengan patung-patung unicorn yang sangat comel untuk pengunjung mengambil gambar bersama. Nama ‘La Fleur’ ini dimaksudkan dengan minuman panas seperti kopi, coklat panas dan lain-lain lagi manakala ‘Uniqorn’ pula dimaksudkan dengan makanan yang dihias dengan tema ‘unicorn’ tersebut pada wafel, ais krim, pancake
dan lain-lain lagi.
Alamat: 01, E1, 02, Jalan Lagoon Selatan, Sunway Geo Avenue, 47500 Subang Jaya, Selangor
2) KAFE JIBBY & CO, SUBANG JAYA
Kafe Jibby & Co yang cantik dan unik ala-ala kafe Melbourne terletak bersebelahan
dengan pusat beli-belah Empire, Subang. Anda perlu singgah ke kafe ini sekurang-
kurangnya sekali kerana suasananya yang sangat estetik. Kafe 2 tingkat ini juga
bertemakan konsep minimalis, lampu-lampu digantung di siling, tanaman pasu
berwarna-warni, tingkap kaca yang besar ditembusi dengan cahaya semula jadi dan
dipenuhi dengan pelbagai jenis makanan yang dihias dengan menarik untuk diambil
gambar.
Alamat: Empire Shopping Gallery, Jalan SS 16/1, Ss 16, 47500 Subang Jaya,Selangor
3) KAFE KUEH, SHAH ALAM
Jika anda ingin menikmati makanan tradisi melayu, singgahlah di Kafe Kueh. Bertemakan tradisi Melayu, mereka menyediakan hampir 40 jenis kuih yang boleh anda nikmati. Kafe ini terdiri daripada dua bahagian iaitu di luar dan juga di dalam berserta dengan penghawa-dingin yang selesa dihiasi dengan lukisan mural pada dinding untuk mengambil gambar. Bukan itu sahaja, terdapat juga menu lain seperti Laksam, Nasi Lemak, Nasi Hujan Panas, Lempeng, pelbagai jenis minuman dan banyak lagi.
Alamat: No 6 Jalan Renang 13/26 Seksyen 13, Tadisma Business Park, 40100 Shah Alam, Selangor
4) KAFE LE GARDENZ, KUALA SELANGOR
Kafe yang dibuka pada tahun 2014 ini terletak di Daerah Kuala Selangor. Semestinya menjadi pilihan ramai untuk berehat dan menenangkan fikiran sambil menikmati kepelbagaian makanan yang disediakan dari hidangan utama hingga pencuci mulut. Kafe 4 tingkat ini mempunyai tema tersendiri yang berkonsepkan kontena, corak-corak dinding yang menarik serta konsep kehijauan di tingkap 4. Kafe ini sering dipenuhi dengan pelanggan kerana sering menawarkan menu promosi serta terdapat juga ruang untuk sambutan hari jadi dan majlis.
Alamat: Jalan Kpb 5, Kawasan Perindustrian Balakong, 43300 Seri Kembangan,Selangor
5) THE PICNIC TABLE/SIMPLYSANDWICH, PETALING JAYA
Dengan cuaca yang agak panas dan tidak menentu sepanjang tahun, berkelah merupakan satu masalah di Malaysia. Oleh itu, Kafe The Picnic ini boleh menyelesaikan masalah tersebut kerana kafe ini bertemakan suasana berkelah tetapi di dalam bangunan. Jadi, tidak akan ada masalah dengan cuaca jika ingin berkelah. Kafe ini dihiasi karpet rumput yang mana pengunjung boleh duduk di lantai sanbil menikmati makanan, meja-meja kayu, tempat khas ‘jamming session’ dan banyak lagi. Kafe ini menyediakan seleksi menu yang lazat seperti sandwich ayam bakar keju, kek lapis, kek ‘slice’ dan juga minuman yang pelbagai.
Alamat: 62A-G, The Strand, Kota Damansara The Strand, 21, Jalan PJU 5/21, Kota Damansara, 47810 Petaling Jaya, Selangor
6) THE BOTANIST, SEPANG
Bagi pengunjung yang ingin bersiar-siar di Sepang, anda boleh singgah di kafe The Botanist 2 tingkat yang estetik dan cantik yang mana hiasan perabot, dinding malah bingkainya dibuat daripada kayu. Pada luaran kedai pula, dipenuhi dengan kehijauan pokok-pokok alam semula jadi memberikan anda ketenangan fikiran. Antara menu yang disediakan oleh Kafe The Botanist ini adalah seperti beger buatan sendiri, kek, kopi, jus buah, dan banyak lagi dengan harga yang berpatutan.
Alamat: GP3A-03M, LEVEL 3M, Tamarind square, Persiaran Multimedia, 63000 Cyberjaya
7) KAFE N16, SABAK BERNAM
Terletak di kawasan sawah padi, kafe mini yang unik ini merupakan hasil daripada bas antik lama yang diubah suai menjadi kafe. Pengunjung yang ingin datang meluangkan masa bukan sahaja dapat menikmati makanan malah dapat menikmati pemandangan lautan kehijauan padi yang luas. Kafe N16 ini menyediakan makanan seperti spaghetti, ayam goreng Korea, kek dan minuman. Para pengunjung juga dapat mengisi memori telefon mereka dengan mengambil gambar kawasan padi dan juga gambar bas antik ini. Anda mungkin akan mengambil masa hampir 2 jam untuk sampai ke sini dari Shah Alam, tetapi ianya berbaloi kerana persekitaran kafe ini yang cantik dan unik.
Alamat: Jalan Tali Air 4, Tanjong Karang, 45400 Sekinchan, Selangor
8) KAFE BLOCK, GOMBAK
Kafe Block yang dibuka pada tahun 2018 ini menjadi tempat kegemaran ramai untuk meluangkan masa mereka. Dengan seni bina berkonsepkan minimalis moden yang cantik, amat sesuai bagi pengunjung untuk mengambil gambar di kafe ini sambil menikmati makanan. Kafe Block ini menyediakan menu ‘Asian’ dan ‘Western’ untuk dinimkati pelanggan. Kafe ini juga bukan sahaja boleh dijadikan tempat makan dan berehat, malah boleh dijadikan lokasi majlis yang mana ianya mampu untuk memuatkan 50 orang pada satu-satu masa. Kepada mereka yang singgah di Kafe Block, jangan lupa untuk mencuba menu Ayam Penyet (Javanese Fried Chicken) terkenal yang merupakan makanan kegemaran para pelanggan yang singgah ke kafe ini.
Alamat: No. 59-G, Lorong Perusahaan Ringan 1, Kawasan Perusahan Ringan Seri Gombak, 68100 Batu Caves, Selangor
9) KAFE BACKSTREET, KUALA LANGAT
Kafe Backstreet merupakan salah satu kafe ‘hipster’ di Daerah Kuala Langat. Dibuka
pada tahun 2014, kafe ini dihias kreatif dengan hiasan bercorakan tapak tangan dan
tulisan menu makanan di dinding dengan menggunakan kapur putih dan amat sesuai
untuk pengunjung yang datang mengambil gambar sambil menikmati makanan.
Alamat: C-G-, Pekan 4, 19, Taman Seri Bayu Morib, Medan Seri pekan, 42700 Banting, Selangor
10) KAFE DENALI & PINNACLES, BANGI
Kafe Denali & Pinnacles yang luas ini terletak di Bangi dan mempunyai 2 ruangan luar dan dalam. Kafe ini berada di tingkat 2 bangunan yang mana pengunjung yang singgah akan menikmati pemandangan yang indah pada waktu petang. Kafe yang berkonsepkan bohemian ini amat sesuai untuk bergambar atau ‘OOTD’ kerana hiasan dan dekorasinya yang pelbagai warna serta menampilkan tekstur unsur-unsur segar dari alam semulajadi.
Alamat: Lot 1-4, Tingkat 1, Pusat Perniagaan Seksyen 3, off, Jalan 3/70, Seksyen 3 Bandar Baru Bangi, 43650 Bandar Baru Bangi, Selangor
11) KAFE PROVISION, DAMANSARA
Kafe Provision ini dibuka hanya pada pukul 8 pagi hingga 6 petang sahaja. Jika singgah di kafe ini, sangat sesuai datang pada waktu pagi kerana kafe ini menyediakan menu yang kecil dan ‘simple’ seperti roti-roti hasil buatan sendiri seperti sandwich, roti bakar, ‘sourdough’ dan lain-lain lagi. Dengan kecantikan elegen dan simple, di hadapan kedai ini dicat dengan warna oren dan sesuai untuk bergambar dan juga ‘OOTD’ untuk dimuat naik dalam media sosial anda.
Alamat: 49, Jalan SS 22/23, Damansara Jaya, 47400 Petaling Jaya, Selangor
12) TINY BAKER IN PINK, DAMANSARA
Kafe ala-ala Korea ini sesuai untuk pengunjung datang meluangkan masa sambil bergambar kerana hiasan yang menarik di setiap sudut kedai. Kafe ini menyediakan menu kek yang dihiasi cantik dengan pelbagai corak, warna dan dekorasi. Kafe ini juga menyediakan ruang jika ingin mengadakan majlis hari jadi dan lain-lain lagi.
Alamat: C58-2, Jalan PJU 5/21, Kota Damansara, 47810 Petaling Jaya, Selangor
13) KAFE TUJOH, PETALING JAYA
Kafe Tujoh terletak di Seksyen 17 di mana kafe ini mempunyai ruang yang selesa dan cantik kerana dilengkapi dengan dua ruang berbeza di dalam kafe. Seni bina dan dekorasi di dalam kafe ini dipenuhi dengan perabot yang bergaya termasuk televisyen dan radio klasik dan vintaj, dihias dengan pokok-pokok hijau, poster, lukisan hitam dan putih moden serta gabungan lampu yang digantung. Latar belakang yang rimbun dan biasan cahaya matahari dari luar membuatkan Kafe Tujoh ini menjadi lebih menarik dari pelbagai sudut untuk dimuat naik di landasan Instagram.
Alamat: 617, Jalan 17/10, Seksyen 17, 46400 Petaling Jaya, Selangor
14) KAFE BUKKU, KLANG
Dengan memiliki senibina dan reka bentuk dalaman yang minimalis dan estetik seperti di Jepun, kafe ini sangat cantik untuk pengunjung singgah dan mengambil gambar. Nama kafe ‘Bukku’ bermaksud buku dalam Bahasa Inggeris yang mana perabot dalaman kafe ini dihias dengan kayu rak buku berserta susunan buku dan hiasan kopi yang dibalut cantik. Jika singgah ke kafe ini, jangan lupa untuk mencuba ‘Salted Egg Croissant’, ‘Almond Tiramisu’ dan ‘Burnt Cheesecake’ yang sering disebut-sebut oleh orang ramai.
Alamat: No.1, Jalan Singgahsana 4A/KU5, Bandar Bukit Raja, 41050 Klang, Selangor
15) KAFE TUAH, BANGI
Kafe yang berkonsepkan santai ini dikenali ramai dengan menu yang pelbagai bermula dengan makanan hinggalah ke minuman. Jika singgah ke kafe ini, jangan lupa untuk mencuba hidangan makanan Western seperti Trip Platter yang terdiri daripada gabungan buffalo wings, meatball daging dan juga kentang goreng yang dijamin sedap dan mengenyangkan. Selain itu, terdapat juga pelbagai perisa kopi frappucino seperti Cookies Cream, Black Forest dan banyak lagi.
Alamat: No20, Jalan 7/1c, Seksyen 7 Bandar Baru Bangi, 43650 Bandar Baru Bangi, Selangor
Sumber, info & foto : Tourism Selangor
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI