Makan

Berbuka Puasa Dengan Nostalgia Rasa D’Tasik Di Bukit Merah Laketown Resort

Share

Rajin memasak macam mana pun, sesekali kena ambil masa berbuka puasa di luar untuk tukar suasana. Nak-nak kalau semua keluarga ada, lagi meriah untuk dibuat kenangan.

Ya, masa ini lah kita boleh merasa aneka makanan tradisional yang selalunya memang tak akan dapat di restoran ataupun pasar malam. Tambah bertuah jika lokasi berbuka itu berlatarkan pemandangan indah pada waktu senja.

Berbuka Puasa Di Bukit Merah Laketown Resort

Ada yang teringin ke nak rasa pengalaman berbuka puasa sambil menikmati panorama tasik? Bukit Merah Laketown Resort (BMLR) menyediakan pakej berbuka puasa bertemakan ‘Nostalgia Rasa D’Tasik’ bermula 14 Mac hingga 8 April 2024.

Ada 100 jenis pilihan hidangan termasuk pembuka selera, hidangan utama dan sepuluh warung makanan sampingan, beserta aneka pencuci mulut yang sedap-sedap belaka.

Tak ketinggalan, juga antara menu yang ditunggu-tunggu setiap tahun tentunya kambing bakar yang diperap dengan lebih 18 jenis herba dan rempah ratus. Dibakar dengan api yang perlahan untuk hasil yang lembut dan berjus. Memang sedap!

Tiga Set Menu Bersilih Ganti

Menurut Chef Mohd Huzaimi, sebanyak tiga set menu yang bakal bersilih ganti mengikut hari pada tahun ini. Cuba bayangkan bagaimana sedapnya makanan di BMLR apabila dimasak oleh 20 orang chef berpengalaman.

Antara hidangan utama yang disajikan termasuk ayam karapoley, ayam masak merah, ayam masak bawang, daging pesamah, daging kurma, daging masak hitam manis, sotong kari masala, sotong kam heong, sotong goreng kunyit dan banyak lagi. Nak cuba makan bersama nasi mandy boleh, nasi minyak dan nasi beriani pun boleh! Istimewanya, ke semua nasi ini dimasak mengikut cara ‘orang dulu-dulu’ dengan menggunakan periuk nasi Apollo.

 

Menu di sepuluh warung yang ada di situ pun tak kurang hebatnya. Antaranya bubur lambuk, sup kaki ayam, sup perut, mi kari, bihun sup, laksa dan banyak lagi. Untuk anak-anak yang gemar menu western bolehlah cuba spaghetti Bolognese, fettucini carbonara dan angel hair pasta aglio olio.

Menu Istimewa tahun ini ialah hidangan pulut kukus dan ubi rebus yang dimakan bersama kelapa parut. Memang menggamit memori betul bila berbuka di BMLR ni.

Sambil-sambil berbuka tu, boleh lah berhibur bersama penyanyi jemputan. Kemudahan surau pun ada disediakan. Tinggal bawak telekung sahaja. Dari segi harga, BMLR antara yang termurah sebenarnya. Serendah RM60 untuk dewasa dan RM35 untuk kanak-kanak, warga emas dan orang kurang upaya (OKU).

Dapat pula dua tiket percuma ke Taman Tema Air apabila membeli lebih dari 10 orang dewasa. Bagi yang merancang untuk datang dengan bilangan keluarga yang ramai, untunglah! Jangan risau, tiketnya boleh digunakan dalam masa enam bulan selepas hari raya.

Sudah terlanjur ada di sana, jangan lupa rasa pengalaman menikmati keindahan tasik buatan yang tertua di Malaysia dengan melayari Ramadan Cruise selama 15 minit. Harga tiket cuma RM10 je seorang.

 

 

Oleh
Nadia