Usaha merancakkan sektor pelancongan domestik, Tourism Selangor selaku Agensi Promosi Pelancongan Rasmi Negeri Selangor sering menjalinkan usahasama dan kerjasama pintar dengan pelbagai pihak.
Ini termasuklah bersama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), mahupun penggiat industri dan pihak berkepentingan dalam industri pelancongan tanah air.
Terbaharu, Tourism Selangor meneruskan usahasama dengan Malaysian Inbound Tourism Association (MITA) dalam sebuah Bengkel Latihan Pakej Pelancongan Domestik “Pusing Selangor Dulu” menyasarkan pemerkasaan strategi pemasaran pakej-pakej pelancongan Negeri Selangor oleh agensi-agensi pelancongan bertauliah di Negeri ini.
Bengkel Latihan tersebut merupakan sebuah inisiatif dari pihak Tourism Selangor dalam memberi pengenalan serta meningkatkan pengetahuan produk pelancongan Negeri Selangor kepada wakil agensi – agensi pelancongan yang berdaftar di bawah MITA. Bengkel latihan selama 1 hari dengan 2 sesi ini telah dihadiri oleh 60 orang peserta.
Antara objektif pelaksanaan Bengkel ini termasuk membantu agensi pelancongan dan pengusaha produk pelancongan dalam usaha promosi dan pemasaran, menjalinkan kerjasama erat antara penggiat industri, serta mewujudkan pakej pelancongan yang berpotensi dan berkualiti agar pihak yang berkaitan dapat mempromosikan produk-produk pelancongan Negeri Selangor dengan lebih berkesan.
Y.B Tuan Hee Loy Sian, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan dan Alam Sekitar Negeri Selangor dalam sebuah kenyataan berkata, “Kerajaan Negeri Selangor menerusi Tourism Selangor menggalakkan orang ramai agar melancong ke Negeri Selangor dengan menggunakan khidmat agensi-agensi pelancongan bertauliah di Negeri ini. Justeru, pihak Tourism Selangor telah menetapkan sasaran penjualan sebanyak 8,000 pakej pelancongan domestik “Pusing Selangor Dulu” sehingga akhir tahun 2021”.
“Sasaran ini tidak sukar untuk dicapai kerana Kempen Pelancongan Domestik Tourism Selangor; “Nak Bercuti? Pusing Selangor Dulu” telah menerima sambutan yang amat menggalakkan dari orang awam.
Video rasmi Kempen ini yang dimuat-naik ke saluran YouTube rasmi Tourism Selangor sehingga kini telah menerima lebih 500,000 jumlah tontonan. Apa yang lebih membanggakan, Kempen ini telah berjaya menerima lebih dari 15 juta reach di laman media sosial dan landasan digital”, tambah Y.B Tuan Hee Loy Sian di Majlis Perasmian Penutup Bengkel Latihan Pakej Pelancongan Domestik “Pusing Selangor Dulu” bertempat di GM Klang Wholesale pada Isnin.
Impak signifikan Kempen “Nak Bercuti? Pusing Selangor Dulu” yang semakin meniti di bibir orang awam serta di hujung jari para warganet di Malaysia tentunya memberikan nilai tambah kepada penggiat industri khususnya agensi-agensi pelancongan bertauliah untuk memasarkan pakej-pakej pelancongan Negeri Selangor pasca pandemik Covid-19.
Usahasama dan kerjasama pintar pihak Tourism Selangor dengan penggiat industri pelancongan Negara membuktikan Tourism Selangor tidak hanya menumpukan kepada impak positif Kempen domestik yang sedang berlangsung malah turut mengambil langkah proakrtif dengan menawarkan latihan industri secara khusus kepada penyedia perkhidmatan seperti agensi pelancongan Negeri Selangor secara berkala.
Untuk maklumat lanjut, layari laman sesawang rasmi Tourism Selangor di Selangor.Travel.