Wisma Putra telah mengeluarkan notis menasihatkan rakyat Malaysia yang bercadang untuk ke India & Pakistan dalam masa terdekat ni menangguhkan perjalanan mereka, terutamanya yang nak ke Kashmir.
Pelbagai penerbangan juga dibatalkan atau dilencongkan bermula 27 Februari 2019 (sehingga notis terbaru dikeluarkan) selepas Pakistan menutup ruang udaranya dan India menutup lapangan terbang, dalam pada ketegangan antara dua negara jiran berkuasa nuklear itu mencetuskan kebimbangan konflik besar-besaran.
Penutupan itu susulan Pakistan mendakwa menembak jatuh dua jet pejuang tentera udara India di ruang udara Kashmir, manakala India berkata, ia menembak sebuah pesawat pejuang Pakistan namun turut kehilangan satu kapal terbangnya.
Gangguan laluan udara itu menjejaskan penerbangan yang melalui rantau itu, yang popular dalam kalangan pelancong Barat, dengan badan industri mendakwa sejumlah besar penerbangan ke Asia Tenggara juga mungkin perlu dilencongkan.
Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Pakistan dan tenteranya berkata, keseluruhan ruang udara negara itu ditutup, dengan sumber memberitahu AFP bahawa semua penerbangan diarahkan ‘menggantung operasi di Pakistan sehingga notis lanjut.’
Di India, sekurang-kurangnya enam lapangan terbang ditutup – Srinagar, Jammu dan Leh di Kashmir selain Amritsar, Chandigarh serta Dehradun. Sejumlah besar ruang udara di utara New Delhi turut ditutup kepada penerbangan awam. Puluhan penerbangan termasuk antara Asia serta Eropah yang lazimnya melintasi ruang udara Kashmir juga dikatakan turut dibatalkan.
Rentetan Pergelutan India – Pakistan
- 14 Feb – Berlaku insiden pengganas menyerang konvoi tentera India di Kashmir. Pengganas dikatakan berpangkalan di Pakistan. India menuduh Pakistan melindungi pengganas tersebut.
- 26 Feb – Jet pejuang India dilaporkan telah masuk ke dalam sempadan Pakistan dan mengebom sarang pengganas tersebut. Pakistan nafikan tempat tersebut adalah sarang pengganas, lalu menuduh India mencabul kedaulatan setelah menyerang wilayah Pakistan.
- 27 Feb – Susulan tersebut, Pakistan melakukan tindak balas menyebabkan dua jet negara India ditembak jatuh.
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI