Bayi Meninggal Dalam Pesawat AirAsia, Penumpang Kongsi Cerita Bayi Itu Meninggal Dalam Dakapan Beliau

Share

Satu perjalanan yang sepatutnya berakhir dalam suasana gembira bertukar sedih dan pilu apabila seorang bayi berusia dua bulan dilaporkan meninggal dunia di dalam pesawat AirAsia penerbangan D7236 sewaktu dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Perth.

Laporan daripada laman sesawang ABC News melaporkan, seorang penumpang yang dikenali sebagai Nadia Parenzee telah menawarkan bantuan kepada ibu bapa bayi berkenaan selepas melihat bayi itu dalam keadaan kepenatan dan menangis tanpa henti.

Dalam hantaran di Facebook, Nadia menulis bahawa beliau menawarkan bantuan kepada ibu bapa dan anak kapal pesawat berkenaan selepas melihat ibu bapa bayi itu dalam keadaan tertekan.

Nadia Parenzee. Sumber ABC News.

Bayi meninggal dalam pangkuan

Semasa hendak memejamkan matanya untuk mendapatkan sedikit rehat, Nadia menceritakan, seorang anak kapal AirAsia telah menepuk bahu beliau untuk meminta pertolongan.

Kedua ibu bapa bayi berkenaan kemudian telah menyerahkan bayi tersebut kepada Nadia dan kelihatan di mata kedua ibu baya bayi itu dalam keadaan benar-benar tertekan. Sebaik sahaja bayi yang digelarkan sebagai Farah oleh Nadia itu berada di dalam pangkuannya, Nadia terus membacakan surah Al-Fatihah kepadanya.

Semasa Farah berada dalam pangkuan Nadia, bayi tersebut menghembuskan nafasnya yang terakhir dan terkulai.

Nadia serta-merta tahu bahawa ada sesuatu yang tidak diingini berlaku dan dengan segera menjerit di dalam pesawat untuk mengetahui samaada ada doktor di kalangan penumpang pesawat.

Polis mengeluarkan kereta sorong yang digunakan oleh keluarga bayi berkenaan. Sumber ABC News.

Ibu bapa dari Arab Suadi

Nadia turut berkata bahawa kedua ibu bapa bayi tersebut berasal dari Arab Saudi dan mereka berdua dalam perjalanan menuju ke Australia untuk memulakan kehidupan yang baharu di sana.

“Hati saya bungkam dan tidak tahu apa yang drasai di dalam hati tapi saya rasa bangga kerana dapat memegang bayi tersebut dan membacakan surah kepadanya sebelum dia meninggal dunia”, tulis Nadia dalam hantaran Facebook beliau.

Nadia turut menambah bahawa anak kapal AirAsia begitu mengagumkan dalam situasi genting berkenaan dan memuji sikap profesional mereka.

Kelihatan polis mengeluarkan bungkusan berwarna coklat dari dalam pesawat dan bahan di dalamnya akan digunakan untuk membantu siasatan. Sumber ABC News
.

Menurut laporan dari ABC News lagi, seorang jurucakap AirAsia telah mengesahkan ada situasi yang dipanggil sebagai “medical emergency” berlaku semasa penerbangan tersebut dan kes berkenaan telah diambil alih oleh sepasukan pakar perubatan dan pihak berkuasa sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Perth.

Dalam pada itu, pesawat AirAsia yang sama dengan nombor penerbangan D7237 yang sepatutnya berlepas balik dari Perth ke Kuala Lumpur pada hari yang sama terpaksa ditunda beberapa jam bagi membantu siasatan.

Oleh
Epul