‘Battle Of Endau’ Khazanah Bersejarah Wajib Korang Teroka Di Muzium Mersing

Share

Daerah Mersing, terletak di pantai timur negeri Johor, sememangnya popular dalam kalangan pelancong sebagai pintu masuk ke rangkaian pulau-pulau indah di negeri Johor.

Selain dikurniakan keindahan alam, pulau dan pantai yang bersih, Mersing juga mempunyai tarikan sejarah tersendiri kerana pernah dijadikan pangkalan Tentera Diraja British, sekitar tahun 1940-an serta menyimpan sejarah penting Perang Dunia Kedua. Tahu kisah Battle of Endau? Battle of Endau tercetus selama dua hari di Mersing,Johor menyaksikan peristiwa pertempuran sengit antara tentera Jepun dan tentera Berikat yang diketuai Biritish bermula pada awal pagi 26 Jan 1942, di perairan Endau, kira-kira 38 Kilometer dari sini.


Menyingkap ringkas sejarah pertempuran Battle of Endau, pasukan Tentera Laut Diraja British menghantar dua kapal terbang pemusnah ke Endau bagi menyerang dan memusnahkan kapal kargo tentera Jepun yang berlabuh di pantai Endau yang dipercayai cuba menurunkan anggota tentera mereka. Pendaratan amfibia (di perairan Endau) yang dirancang oleh tentera Jepun bertujuan merosakkan jaringan komunikasi di antara pihak British di Johor dan Singapura. Sebelum itu, konvoi tentera Jepun telah dikesan oleh dua kapal peninjau Tentera Berikat (pada awal pagi 26 Jan), namun berita tersebut lambat disampaikan ke Singapura, akibat masalah komunikasi.

Peperangan bermula pada petang 26 Jan apabila Tentera Berikat menghantar pasukan dari Singapura ke Mersing dengan dilindungi oleh pesawat pejuang British membabitkan 12 pesawat pejuang jenis Brewster F2A Buffalo dan sembilan pejuang Hawker Hurricane. Bagaimanapun, tanpa diketahui pihak Berikat, tentera Jepun yang diiringi pesawat tempur Nakajima Ki-27 dari Skuadron Udara Jepun pertama (1st Sentai) dan Ke 11 (11th Sentai) telah terlebih dahulu mendarat di Endau beberapa jam sebelum ketibaan British. Serangan demi serangan menerusi udara dan laut dilancarkan Tentera Berikat bagi mengekang kemaraan Jepun di Tanah Melayu, bagaimanapun tidak dapat mematahkan pencerobohan Jepun dan akhirnya Jepun berjaya menawan Mersing pada awal pagi 27 Jan 1942.






Kisah peperangan Battle Of Endau yang berlaku hampir 80 tahun di Tanah Melayu ketika itu, disingkap kembali oleh Muzium Mersing melalui pameran khazanah artifak dan bahan-bahan sejarah yang dikumpul dan dikaji oleh Yayasan Warisan Johor. Pengunjung ke Muzium Mersing kini berpeluang menyelami sendiri kisah Battle of Endau, mereka juga boleh melihat artifak koleksi sezaman dengan peperangan tersebut seperti enjin pesawat, senjata, radio komunikasi, kamera, basikal dan dokumen-dokumen persuratan yang ditulis pada era 40-an dan 60-an.

Terdapat tiga bahagian pameran di muzim berkenaan iaitu pentadbiran sosioekonomi, Battle of Endau dan pameran khas yang akan diadakan secara bermusim, enam bulan sekali. Ruangan Perang Dunia Kedua di muzium ini, antara yang istimewa memandangkan banyak peristiwa besar dipercayai berlaku ketika itu (di Johor) dan artifaknya dipamerkan di sini. Muzium Mersing terletak di Jalan Ibrahim di sini, mula beroperasi pada 2016, telah dirasmikan oleh Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar pada 15 Mei 2016, bersempena Program Kembara Mahkota Johor. Dibina pada tahun 1920-an, bangunan setingkat ini pada asalnya digunakan sebagai pejabat pentadbiran daerah Mersing yang kemudiannya dipercayai menjadi markas operasi Tentera Imperialis Jepun semasa perang dunia kedua, sehinggalah Jepun menyerah kalah pada tahun 1945. Selepas kekalahan Jepun, bangunan ini beroperasi semula sebagai pejabat kerajaan bagi daerah Mersing sebelum diubah suai menjadi sebuah muzium di bawah seliaan Yayasan Warisan Johor. Bayaran masuk ke muzium ini adalah percuma dan ia beroperasi setiap hari kecuali Jumaat, bermula 9.30 pagi hingga 4.00 petang manakala Khamis hingga 3.00 petang.

Foto: The Star | Sumber: Bernama

Oleh
Husna