Banjir Besar Punca Menara Condong Teluk Intan Senget Tapi Kukuh Hampir 100 Tahun

Share

Menara Condong adalah sebuah menara jam yang menjadi mercu tanda bandar Teluk Intan sejak sekian lama. Binaannya yang condong itu, mirip The Leaning Tower of Pisa di Itali. Menara ini dibina pada tahun 1885 setinggi 25 meter dan mempunyai 110 anak tangga.  Walaupun telah berusia lebih 100 tahun struktur menara ini masih berdiri kukuh berdiri walaupun kelihatan senget dan tercondong.

Dari bahagaian luar kelihatan seolah-olah menara ini mempunyai 8 tingkat, namun apabila masuk sahaja ke bahagian dalam, menara ini hanya mempunyai 3 tingkat sahaja. Terdapat sebuah tangki air terletak di aras tiga diperbuat daripada keluli setinggi 16 kaki. Tangki ini boleh memuat sejumlah 680 kaki isi padu air. Namun hari ini, tangki air tersebut tidak lagi berfungsi.

Pengunjung diberi peluang untuk naik sampai ke tingkat atas dan boleh melihat sendiri tinggalan sejarah yang masih dipelihara dengan baik di Teluk Intan ini. Terdapat beberapa info dan keterangan yang disediakan di dalam dan luar menara ini untuk panduan pengunjung.

Sejarah Pembinaan Menara Condong

Menara Condong asalnya tidaklah condong dan senget seperti sekarang. Individu yang bertanggungjawab membina menara ini ialah Leong Choon Cheong atau dikenali sebagai Ah Cheong. Sebagai arkitek beliau mendapat ilham membina dengan reka bentuk Menara Condong berdasarkan struktur binaan pagoda di Negara China. Setelah 10 tahun dibina, pada tahun 1895 telah berlaku banjir besar di Teluk Intan sehingga menyebabkan menara ini tenggelam. Banjir yang berlaku dengan bebanan air yang berat inilah dipercayai punca menara ini mula condong ke arah Barat.

Jepun Takluk

Pada zaman Jepun sekitar tahun 1942 hingga 1945 bangunan Menara Jam ini dijadikan menara kawalan untuk meninjau kedatangan musuh. Struktur bangunan yang diperbuat daripada kayu ini juga ketika itu digunakan sebagai bangunan ketenteraan oleh pihak Jepun hingga menyebabkan kerosakan terutama pada bahagian paling atas.

Fungsi Menara Jam

Mendalami sejarah pembinaannya, struktur yang dibina beratus tahun yang lalu ini dahulunya dikenali sebagai Menara Jam, menjadi petunjuk waktu kepada penduduk di bandar ini. Menara tersebut juga pernah menjadi penunjuk arah kepada laluan kapal ke bandar ini suatu masa dahulu. Selain itu, menara itu berfungsi memberikan perkhidmatan kepada rakyat kerana terdapat tangki air untuk kegunaan pada musim kemarau selain mempunyai kemudahan untuk memadam api.

Pasar Malam Menara Condong 

Di sekitar menara ini terdapat dataran berbatu bata yang lapang menjadi pilihan penduduk tempatan untuk bersiar-siar pada waktu pagi, petang hari atau hujung minggu. Pelbagai pilihan premis jualan makanan juga terdapat di sekitar Menara Condong ini jika pengunjung ingin menjamu selera.

Pada setiap malam minggu Sabtu dan Ahad pula, suasana sekitar menara ini begitu meriah dengan kehadiran pengunjung yang datang untuk menyaksikan panorama sorotan warna-warni lampu yang dipasang. Selain itu juga deretan kawasan Pasar Malam telah dibuka berhampiran menara ini sebagai tarikan lebih ramai pengujung melawat Menara Condong Teluk Intan.

Jom cuti-cuti Malaysia ke Teluk Intan, Perak!

Sumber: OrangPerak

Oleh
Husna