Bangunan Ikonik Berusia 850 Tahun ‘Katedral Notre Dame’ Di Paris Terbakar

Share

Penduduk dan pelancong di Paris petang semalam dikejutkan dengan kejadian kebakaran di bangunan bersejarah yang wujud sejak Zaman Pertengahan, Katedral Notre Dame.

Punca insiden itu masih belum jelas, namun beberapa sumber rasmi memberitahu ia ada kaitan dengan kerja-kerja pemuliharaan bangunan yang sedang dijalankan di situ.

Pada tahun lalu, badan penjaga gereja Katolik di Perancis pernah melancarkan rayuan dana untuk menyelamatkan katedral tersebut yang banyak mengalami kerosakan. Pihak berkuasa sedang giat menjalankan usaha untuk menangani kebakaran tersebut, sementara laluan di sekitar bangunan itu sudah ditutup dan dikawal.

Media sosial mula dibanjiri imej dan video yang menunjukkan asap berkepul naik ke udara dari bangunan dengan seni bina berciri Gothic berusia 850 tahun itu.

Presiden Perancis Emmanuel Macron mengumumkan satu kutipan dana antarabangsa esok bagi membina semula Katedral Notre Dame yang terbakar awal pagi tadi.

“Insiden terburuk berjaya dielak.Kita akan bina semula Notre Dame,” kata Macron.

Siasatan awal mendapati kebakaran tercetus secara tidak sengaja. Sementara itu, rektor Notre-Dame, Patrick Jacquin, dilapor berkata relik Crown of Thorns dan Tunic of St Louis berjaya diselamatkan. Namun, difahamkan banyak lagi karya seni dan artifak tidak ternilai masih berada di dalam katedral itu.

Sumber: Astro Awani

Oleh
Husna