Taman tema air di Forest City merupakan tarikan ramai pengunjung di Johor ke bandar futuristik pintar dan hijau berkenaan.
Taman tema berkeluasan 2,000 meter persegi dengan kos pembangunan RM4.5 juta itu merupakan tambahan kepada pakej gaya hidup yang ditawarkan kepada penduduk kawasan berkenaan dengan kadar harga berpatutan.
Taman tema ini mula dibina pada Jun 2019 dan siap sepenuhnya pada Oktober 2019 sebelum dibuka kepada pengunjung pada 13 November 2019 lepas.
- Beroperasi setiap hari bermula dari pukul 10 pagi sehingga 8.00 malam/
- Menawarkan harga berpatutan kepada orang ramai iaitu RM15 seorang bagi kanak-kanak dan dewasa.
Taman tema ini menawarkan tiga jenis pilihan permainan air iaitu gelongsor, pagar sesat dan cabaran halangan air. Gelongsong dan pagar sesat boleh menampung kapasiti penuh pada kadar 300 pengunjung sejam manakala cabaran halangan air pula boleh menempatkan 150 pengunjung sejam.
Selain membangunkan unit kediaman dan industri, di Forest City selepas ini akan ada lebih banyak lagi tarikan seperti muzium hijau, pakej lawatan eko ke paya bakau dan beting rumput laut di Forest City.
Pembukaan taman tema air ini pastinya memberi pilihan kepada orang ramai terutamanya penduduk di Johor untuk bercuti bersama keluarga dengan kadar harga berpatutan. Ia juga sejajar dengan objektif kerajaan negeri dalam mempergiat usaha promosi Tahun Melawat Johor 2020.
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
8 Tempat Menarik Di Sandakan Termasuk Lokasi Lihat ‘Monyet Playboy’
Sandakan terkenal dengan keunikan dan keistimewaan alam semula jadinya termasuk hutan yang berusia ratusan juta tahun, pantai yang memutih, dan gugusan pulau yang tidak tercemar. Selain itu di sini merupakan rumah untuk hidupan liar yang hampir pupus seperti Orang Utan dan Proboscis Monkey (monyet belanda) yang boleh ditemui di Borneo dan Sumatera sahaja.
Kita bertuah tinggal di Malaysia yang memberi peluang kepada kita untuk menghayati keunikan dan keindahan alam dan budaya pelbagai etnik di negara ini. Sandakan, salah satu daerah di Sabah, bukan sahaja kaya dengan flora dan fauna, tetapi terkenal dengan keramahan penduduknya serta kesan sejarahnya.
Pengalaman berada di Sandakan pasti cukup mengujakan terutama bagi penggemar sejarah, pencinta alam serta binatang. Pelbagai lokasi menarik harus dilawati jika berada di sini. Bagi industri pelancongan, Sandakan terkenal sebagai pintu masuk ke destinasi-destinasi eko-pelancongan.
8 Lokasi Mesti Pergi!
- Antara destinasi yang harus menjadi persinggahan ialah Perkampungan Air Sim Sim iaitu perkampungan yang paling lama wujud di Sandakan. Majoriti penduduknya terdiri daripada masyarakat Melayu. Sumber lautan seperti mutiara ternak mudah didapati dengan harga yang murah di perkampungan yang menghadap Laut Sulu ini.
- Monyet Belanda atau Proboscis Monkey hanya terdapat di Borneo. Dikenali Bayau oleh masyarakat tempatan, monyet berhidung panjang itu salah satu spesies terbesar di dunia. Untuk melihat monyet ini tidak mudah, kerana pelancong perlu menyusur sungai dengan bot untuk melihat haiwan itu yang hidup bebas di habitatnya. Monyet itu biasanya hidup dalam berkumpulan dan bersifat nomad. Monyet jantan terkenal dengan panggilan playboy kerana hidup dalam berkumpulan dan ditemani tiga atau empat monyet betina. Ia mempunyai tapak kaki yang besar membolehkan berenang dengan mudah. Namun untuk melihat dengan mudah, anda boleh ke Labuk Bay Proboscis Monkey merupakan pusat pemuliharaan spesies ini.
- Tokong Buddha Puu Jih Shih yang merupakan tempat suci masyarakat Buddha yang terbesar di Sandakan. Terletak di atas sebuah bukit dan dikelilingi panorama yang indah, membuatkan kedudukan tokong ini kelihatan sangat strategik.
- Muzium Agnes Keith iaitu rumah asal seorang rakyat Amerika yang begitu giat untuk memperkenalkan Negeri Sabah Negeri Di Bawah Bayu di peringkat antarabangsa turut menjadi tempat untuk dilawati. Rumah ini pernah musnah semasa Perang Dunia Kedua tetapi dibina semula mengikut reka bentuk asal. Agnes Keith mempopularkan Sabah dengan menulis tiga buah buku berjudul Land Below The Wind, Three Came Home, dan White Man Returns.
- English Tea House & Restaurant merupakan lokasi untuk menjamu selera yang cukup terkenal di Sandakan. Terletak beberapa meter dari muzium Agnes Keith, restoran ini menawarkan menu santapan berkonsep Inggeris, sesuai dengan persekitarannya. Terletak di atas bukit, pengunjung dapat saksikan panorama indah lautan terbentak luas dengan angin sepoi-sepoi bahasa menyapa anda.
- Tidak lengkap rasanya jika ke Sandakan tanpa menjengah ke Pusat Pemuliharaan Orang Utan Sepilok. Di sini pengunjung berpeluang untuk melihat dengan lebih dekat habitat semula jadi orang utan yang terbesar dan tertua di dunia. Lokasinya seluas 4300 hektar mempunyai kira-kira 300 ekor orang utan dan 92 hidupan mamalia lain. Waktu kunjungan paling sesuai untuk melihat habitat ini ialah ketika tiba masa orang utan diberi makan.
- Tambah menarik, jika berpeluang menaiki bot menyusuri Sungai Kinabatangan dari Jeti Kampung Bilit. Di sepanjang menyusuri Sungai Kinabatangan, pelbagai hidupan liar dalam habitat semula jadi di kawasan seluas 26,000 hektar boleh dilihat. Dianggarkan terdapat lebih seribu spesies tumbuhan, 250 spesies burung, 90 spesies reptilia, dan 50 spesies mamalia. Meskipun tidak menjamin peluang mudah melihat hidupan ini, jika bernasib baik pengunjung akan terserempak dengan hidupan seperti gajah pigmi, monyet probosis, buaya air masin, harimau dan banyak lagi.
- Sandakan Central Market merupakan tamu atau pasar yang terkenal di tengah bandar Sandakan. Pelbagai barangan harian, sayur-sayuran, ikan bilis, ikan kering, lauk-pauk, pakaian dan cenderamata boleh didapati di sini. Jangan lupa untuk membawa pulang mutiara berupa hiasan tangan, rantai atau kerongsang yang boleh didapati di sini dengan harga yang sangat murah.
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Cara Menentukan Waktu Imsak & Berbuka Puasa Jika Di Atas Pesawat Atau Penerbangan
Ketika ini, semua umat Islam di dunia sedang menjalani ibadah berpuasa. Walaupun sedang berpuasa rutin harian perlu berjalan seperti biasa. Ada yang perlu ‘travel’ menaiki kapal terbang ke luar negara atau daerah lain atas tujuan tuntutan kerja, pulang ke kampung halaman, menghadiri majlis tertentu dan ada juga yang suka melancong ketika berpuasa.
Perjalanan penerbangan ke destinasi yang ditujui kemungkinan ketika waktu bersahur atau waktu berbuka puasa. Adakah anda tahu bagaimana cara yang betul untuk menentukan waktu imsak dan waktu berbuka dengan betul? Jika tidak, ini adalah panduan yang boleh anda ambil tahu.
Waktu Imsak
Kaedah menentukan waktu Imsak yang tepat dalam penerbangan adalah dengan merujuk secara terus kepada tanda-tanda cahaya fajar di ufuk timur. Rujukan kepada alat-alat kiraan hanyalah tepat sebagai jangkaan dan perancangan awal. Waktu Imsak, iaitu waktu berhenti dari makan dan minum serta permulaan bagi ibadah puasa adalah apabila timbulnya cahaya pagi di ufuk Timur yang jelas lagi nyata kelihatan. Ini adalah waktu yang sama bagi permulaan solat Subuh.
Waktu Berbuka Puasa
Dalam menentukan waktu berbuka puasa, ramai orang menganggap bahawa waktu berbuka puasa bagi mereka pada hari tersebut adalah berpandukan waktu ketika di ruang udara tempat tersebut. Contohnya, jika pesawat tersebut berada di ruang udara indonesia, maka waktu berbuka puasa perlu mengikuti waktu berbuka puasa di Indonesia.
Lihat Matahari Terbenam
- Berdasarkan kenyataan Ketua Persatuan Ulamak Sedunia, waktu berbuka puasa bagi mereka yang sedang bermusafir dengan menaiki kapal terbang adalah selepas terbenamnya matahari atau hilangnya matahari dari penglihatan mereka dan bukannya mengikut waktu di mana kapal terbang berada.
- Setiap orang yang bermusafir dengan menaiki kapal terbang tidak boleh berbuka puasa mengikut waktu dari kawasan kapal terbang itu berlepas atau mengikut waktu di mana kapal terbang itu mendarat dan juga tidak mengikut waktu di mana kedudukan kapal terbang itu berada sekarang.
- Jika krew kabin telah mengumumkan telah masuk waktu berbuka puasa, seeloknya perhatikan di tingkap di mana kedudukan matahari. Jika matahari sudah tidak kelihatan, maka anda boleh berbuka puasa. Namun, jika masih ternampak matahari, maksudnya belum masuk waktu berbuka.
Ingat ya, antara definisi puasa adalah menahan diri dari makan dan minum serta perkara yang membatalkan puasa dari terbit fajar sehingga terbenam matahari. Waktu berbuka puasa bagi mereka yang berada di dalam kapal terbang di ketinggian yang tinggi pastinya akan sedikit lewat berbanding mereka di darat walaupun berada di negara atau kawasan yang sama. Kelewatan ini boleh mencecah sehingga lewat 20 minit. Jika penumpang tidak yakin, berbukalah ketika sudah sampai di destinasi.
Sumber: Sumberpendidikan.com | Hafizfirdaus.com
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Lokasi Cun Di Utara Semenanjung Malaysia Tinjau Panorama Menarik Tanpa Perlu Mendaki
Hati tenang tatkala berada di puncak bukit yang tinggi untuk melihat alam yang terbentang luas. Di utara semenanjung Malaysia terdapat beberapa lokasi menarik untuk meninjau panorama indah dari aras ketinggian tinggi.
Tidak perlu ada stamina yang baik atau menjadi seorang pendaki hebat untuk sampai ke puncak tinggi semata-mata untuk melihat ‘view’ indah. Sesiapa sahaja tidak kira kanak-kanak, warga emas atau golongan kurang upaya berpeluang untuk berada di atas bukit atau gunung yang tinggi. Jika anda berada di nun utara semenanjung Malaysia, ambil peluang berlibur di Bukit Larut, Taiping Perak; Gunung Jerai, Yan Kedah; dan Bukit Bendera, Pulau Pinang.
Jom la singgah!
BUKIT LARUT, TAIPING
Anda tidak harus melepaskan peluang untuk menghirup udara segar yang masih belum tercemar di Bukit Larut atau dikenali juga dengan nama Maxwell Hill yang terletak kira-kira 10 kilometer dari bandar Taiping. Ambil peluang untuk bersiar-siar sambil melihat pemandangan indah bandar Taiping hingga ke laut Selat Melaka dari ketinggian 1250 meter dari paras laut.
Pemandangan di waktu malam dari atas Bukit Larut tidak sama dengan pemandangan di waktu siang. Pada waktu malam cahaya lampu rumah, kilang, jalan raya dan kedai menerangi bandar Taiping. Jika di waktu siang suhunya di antara 15 hingga 25 darjah celsius berbeza pula di waktu malam, kedinginan semakin terasa dan suhunya boleh mencecah sehingga 10 darjah celsius ditambah pula dengan fenomena hujan bukit yang hampir setiap hari berlaku.
Info
Jarak perjalanan antara kaki bukit hingga ke puncak Bukit Larut adalah 13 kilometer dan mengambil masa 30 minit dengan kenderaan pacuan empat roda. Anda berpeluang merasai sendiri bagaimana perasaan menaiki kenderaan pacuan empat roda klasik itu melepasi 72 selekoh tajam, memang mendebarkan tetapi tidak perlu risau kerana kesemua pemandunya memang hebat dengan pengalaman memandu.
GUNUNG JERAI, KEDAH
Dahulu Pulau Serai nama asal Gunung Jerai terkenal sebagai penanda arah buat pelayar-pelayar yang singgah berdagang di negeri Kedah. Tetapi kini ia lebih sinonim sebagai salah satu produk pelancongan di negeri jelapang padi itu. Buat anda yang ingin berkunjung ke sini hanya perlu melalui perjalanan sejauh 14 kilometer dari kaki gunung ke puncak. Jika tidak berkemampuan, anda tidak perlu mendaki kerana jalan menuju ke puncak itu boleh dilalui menggunakan kenderaan.
Gunung ini memiliki ketinggian 1,217 meter dari paras laut dan terletak di sempadan daerah Kuala Muda dan Yan itu sentiasa mendapat kunjungan daripada para pengembara dan pencinta alam yang ingin menerokainya tidak kira pada hari biasa atau cuti umum.
Gunung tertinggi di Kedah itu juga menyediakan kemudahan penginapan yang dikelilingi dengan pelbagai jenis flora dan fauna berwarna-warni. Kedinginan udara sekitar 18 hingga 25 darjah celcius amat menyamankan lebih-lebih lagi ia dikelilingi dengan pelbagai jenis pokok yang menghijau. Pemandangan indah di sekeliling lokasi berkenaan juga pasti akan mengasyikkan setiap pengunjung kerana dari puncak resort berkenaan anda boleh melihat pemandangan sekitar negeri Kedah terutama pemandangan sawah padi yang luas terbentang indah.
Mitos
Keagungan sejarah Gunung Jerai dikaitkan dengan mitos Raja Bersiong yang dikatakan membuka penempatan di kaki gunung dan legenda batu kapal kepunyaan Maharaja Merong Mahawangsa.
BUKIT BENDERA, PULAU PINANG
Satu lagi destinasi percutian yang mempunyai panorama menarik terdapat di Bukit Bendera, Pulau Pinang. Bukit Bendera terletak di seberang pulau dan boleh dikunjungi dengan menggunakan keretapi Bukit Bendera. Dari puncak Bukit Bendera, anda akan dapat melihat seluruh negeri ini serta bangunan tertinggi di Pulau Pinang iaitu Komtar.
Selain menaiki keretapi kabel untuk tiba di puncak terdapat beberapa cara lain yang boleh digunakan untuk anda sampai ke sini. Antaranya dengan menaiki kereta atau pun kenderaan pacuan empat roda. Selain itu anda juga boleh memilih mendaki ke puncak jika ingin merasai kelainan.
Tips Ingin Mendaki
Untuk mendaki Bukit Bendera biasanya mengambil masa lebih kurang dua hingga ke tiga jam sahaja. Terdapat banyak trek yang boleh dilalui, antaranya laluan ‘Moon Gate’, laluan dari taman Belia Perbandaran, laluan dari dalam Taman Botanical, dan dari sebelah Air Itam. Paling menarik terdapat satu laluan terpanjang dikenali sebagai ‘Laksamana Trail’ untuk sampai ke puncak bermula dari Teluk Bahang.
Best kan? Apa lagi jom rancang percutian anda!
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI