Rider Wanita dari Malaysia, yang juga pernah mendapat gelaran pengunggang wanita Muslim pertama mengelilingi dunia, Anita Yusof akhirnya berjaya sampai ke Mekah setelah melalui pelbagai liku dan dugaan dalam melengkapkan ‘Global Dream Ride 2’ yang akan jelajah 70 negara yang bermula sejak 2019 setelah pandemik melanda seluruh dunia.
Memulakan pengembaraan secara solo menaiki motosikal sejak 2015 dengan pengembaraan yang digelar ‘Global Dream Ride’, Anita sudah berjaya menakluki lebih 50 buah negara sejak memulakan pengembaraannya itu.
Menaiki motosikal Jenis Yamaha FZ150i, Anita merupakan seorang pensyarah di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan ibu kepada dua orang cahaya mata.
Bermula dengan niat mahu keluar daripada kemelut konflik kehidupan, sehinggalah mahu meneroka potensi yang ada pada diri, wanita cekal itu telah menjelajah seluruh dunia dengan menunggang motosikal.
Dalam Global Dream Ride, Anita melalui 40 buah negara dalam 4 benua dan ini termasuklah negara yang cukup merbahaya seperti Mexico, Colombia, Chile Turkey dan Mongolia.
Beliau juga tidak menerima sebarang sokongan kewangan daripada syarikat besar dan membelanjakan wang sendiri sekitar RM100,000 semata-mata untuk memenuhi impian mengelilingi dunia secara sendiri dengan menunggang motosikal.
Pegang banyak rekod
Jadi tidak hairan wanita ini menerima pelbagai anugerah dan pengiktirafan termasuk memegang dua rekod Malaysia Book Of Records (MBOR) sebagai wanita pertama negara menunggang solo ke lima negara di Asia pada 2013.
Selain wanita pertama negara menunggang solo mengelilingi dunia dan mencatat nama dalam Asia Book Of Records sebagai wanita menunggang paling lama secara solo mengelilingi dunia.
Selain itu, Anita juga dinobatkan sebagai Tokoh Alumni Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan dipilih sebagai Ikon Negaraku.
Bukan itu sahaja dia turut diundang untuk berkongsi pengalaman dan kepakarannya di dalam serta luar negara termasuk di Amerika Syarikat dan Dubai.
Motosikal terkandas di Ethiopia
Pengembaraan yang dilalui penuh liku dan dugaan, setelah memulakan pengembaraan ‘Global Dream Ride 2’ sekitar 2019, Anita hanya sempat mengembara ke 14 negara sahaja kerana pandemik yang melanda seluruh dunia.
Disebabkan oleh penutupan sempadan oleh kebanyakkan negara, Anita terpaksa meninggalkan motosikalnya di rumah seorang kawan di Ethiopia dan hanya berjaya mendapatkan kembali jenteranya itu sekitar Januari yang lalu.
Meneruskan pengembaraannya, dua hari yang lalu, Anita berkongsi di akaun media sosialnya tentang keberadaannya di Bumi Haramain dan menyatakan rasa syukurnya dengan perancangan Allah.
“Dalam keheningan subuh pagi aku lepasi ketatnya kawalan keselamatan di Al Haram. Dan akhirnya, aku berjaya juga mengabadikan kenangan bersama GD di Masjidilharam Mekkah.
Sesungguhnya Allah Maha Besar & Dialah sebaik-baik perancang.
“Tiada kata-kata melainkan syukur padaMu ya Rabb. Tanpa izinMu, tidak aku sampai ke mari bersama GD. Dan gembira juga dpt memperkenalkan Malaysia pada jemaah dari serata dunia yg berkumpul di sini. Alhamdulillah, syukur nikmat,” tulisnya di Instagram.
Dalam pada itu juga, pencapaian yang dikecapi oleh Anita juga menjadi kebangaan buat seluruh rakyat Malaysia.
Sumber: Sinar Harian, Harian Metro & Instagram Anita Yusof