Buat anda yang ingin melancong ke Singapura versi bajet dan jimat bolehlah rujuk itinerari sehari yang dikongsikan seorang pengguna Thread dikenali sebagai Faiqa.
Paling melegakan, kos perjalanan yang dikeluarkan sepanjang tempoh 12 jam di Kota Singa itu hanyalah RM90 dan lebih lima lokasi menarik boleh dikunjungi.
1. Perjalanan menggunakan Kereta Api Tanah Melayu (KTMB)
Dari Malaysia ke Singapura, anda boleh muat turun aplikasi KTMB supaya memudahkan urusan untuk menempah tiket shuttle Tebrau.
Faiqa naik dari Johor Bahru ke Woodlands dalam masa lima minit sahaja, tetapi tiket perlu dibeli dalam tempoh dua atau tiga hari sebelum perjalanan.
Harga pula RM5 untuk pergi dan 5SGD (RM16.42) bagi perjalanan balik.
Pastikan anda sampai stesen KTMB 30 minit lebih awal sebelum perjalanan.
Jangan lupa untuk melengkapkan maklumat diri anda di aplikasi kad ketibaan MyICA sekurang-kurangnya sehari sebelum perjalanan.
Ini bagi mengelakkan anda ‘sangkut’ di imigresen Singapura.
2. Lapangan Terbang Changi
Setibanya di stesen kereta api Woodlands, anda boleh menaiki bas atau MRT untuk ke Lapangan Terbang Changi. Terdapat dua stesen MRT berhampiran iaitu MRT Woodlands dan MRT Kranji.
Kalau anda memilih untuk menggunakan perkhidmatan bas awam di sana, perjalanan mengambil masa dua jam dan melibatkan pertukaran tiga buah bas.
Di Changi Airport ni, anda bolehlah berjalan-jalan dan menikmati kecantikan landskap sama ada dengan menaiki Skytrain Terminal 2 atau 3, percuma ya!
3. Wingstop, Bedok Mall
Selepas penat berjalan-jalan, perut pun akan mula berkeroncong.
Jadi anda boleh singgah di Wingstop untuk menikmati hidangan sambil ‘mencuci mata’ atau membeli-belah.
Restoran makanan segera ini juga dekat dengan stesen MRT.
4. Sultan Mosque
Tak lengkap sekiranya anda tidak berkunjung dan solat di masjid Singapura.
Paling menarik adalah banyak kedai makan halal yang menawarkan sajian autentik masyarakat setempat.
Kedai cenderahati pun banyak di sekitarnya.
Perjalanan dari Bedok ke Bugis hanyalah 15 minit menggunakan MRT.
5. Marina Bay/Merlion Park
Setiap pengunjung yang melawat Kota Singa pasti enggan melepaskan peluang untuk bergambar dengan patung ikonik Singa Putih ini.
Malah, lokasi ini merupakan destinasi wajib dan sememangnya dipenuhi ramai orang.
Owh ya, pastikan anda ada gambar kenangan di sini ya.
6. Gardens by The Bay
Kalau berkunjung ke Singapura, anda wajib tengok pertunjukan lampu dan muzik yang menarik ni.
Paling penting, tiada bayaran yang dikenakan.
Waktu pertunjukan pula sehingga pukul 8.45 malam sahaja.
7. Woodlands Train Checkpoint
Selepas seharian menghabiskan masa menikmati suasana di sekitar Singapura, tibalah masa untuk anda kembali ke negara tercinta.
Dari MRT Woodlands ni, anda kena naik bas ke stesen KTMB dan pastikan tiba sebelum kereta api berlepas.
Haaa… dapat sesuatu? Selepas ini boleh lah masukkan Singapura dalam senarai tempat untuk melancong!
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI