Badan Kelihatan Seperti Hamil, Penumpang Pesawat Dipaksa Membuat Ujian Kehamilan

Share

'Kelihatan seperti sedang hamil' itu antara alasan yang diberikan sebuah syarikat penerbangan Hong Kong yang memaksa seorang wanita menjalani ujian kehamilan.

Midori Nishida, warganegara Jepun dipaksa membuat ujian pengesahan kehamilan sebelum dibenarkan menaiki pesawat yang menuju pulau Pasifik, lokasi popular dituju individu untuk mendapatkan kerakyatan Amerika Syarikat untuk bayi mereka.


Dia sudah mengisytiharkan dirinya tidak hamil ketika mendaftar masuk, namun tidak diendahkan dan kakitangan syarikat penerbangan bertegas mahu dia menjalani penilaian boleh menaiki pesawat (fit-to-fly) yang direka untuk wanita dengan saiz badan atau bentuk menyerupai wanita hamil.

Dia tetap diiring ke tandas awam Lapangan Terbang Hong Kong dan diminta membuat ujian air kencing bagi mengesahkan sama ada dia hamil atau tidak sebelum dibenarkan menaiki pesawat penerbangan Hong Kong Express ke Saipan di Kepulauan Mariana Utara dekat wilayah Amerika Syarikat. Ujian berkenaan didapati negatif.

"Ia sangat memalukan dan mengecewakan," ujar Midori Nishida yang membesar di Saipan dan keluarganya telah tinggal di pulau tersebut sejak lebih 20 tahun lalu.




Susulan kejadian itu, syarikat penerbangan telah meminta maaf kepada mangsa dan memberitahu amalan berkenaan telah dihentikan. Menurut Hong Kong Express, ia mula mengambil tindakan terhadap penerbangan ke Saipan pada Februari tahun lalu untuk membantu memastikan undang-undang imigresen Amerika Syarikat tidak terjejas. Ia adalah sebagai tindak balas kepada kebimbangan yang dibangkitkan pihak berkuasa pulau terbabit.

Saipan adalah destinasi popular di kalangan wanita hamil yang berhasrat melahirkan anak mereka di sana bagi mendapatkan kerakyatan Amerika Syarikat untuk anak mereka. Pada 2018, hampir 600 bayi dilahirkan oleh pelancong yang berkunjung ke kepulauan Mariana, jauh lebih tinggi berbanding bayi yang dilahirkan penduduk tempatan. Menurut data dikeluarkan pihak berkuasa kesihatan tempatan, 575 pelancong China melahirkan bayi di sana pada tahun berkenaan. Ini berlaku kerana pada 2009, kerajaan memperkenalkan program tanpa visa bagi menarik lebih ramai pelancong China berkunjung ke sana yang menjadikan kepulauan berkenaan satu-satunya destinasi di bawah kuasa Amerika Syarikat yang boleh dikunjungi tanpa visa.




Sumber: AstroAwani | HMetro

Oleh
Husna