Waitomo yang membawa maksud ‘aliran yang mengalir ke dalam sebuah bukaan di dalam tanah’ merupakan salah satu tarikan utama New Zealand. Terletak di North Island, New Zealand, perjalanan ke Waitomo mengambil masa tiga jam daripada Auckland dan hanya satu jam perjalanan menaiki kenderaan daripada Rotorua dan Hamilton.
Apa yang menariknya Gua Waitomo ini? Tidak seperti gua-gua lain, Gua Waitomo menjanjikan pengalaman atau harus penulis katakan keajaiban ciptaan Tuhan. Formasi gua yang terbentuk secara semulajadi ini berusia sekitar 30 juta tahun dengan struktur batu kapur unik.
Apa bezanya dengan gua-gua yang terdapat di tempat lain? Satu perkara yang harus diketahui adalah di sini terletaknya satu spesies unik hidupan gua ‘glowworm’ atau nama saintifiknya Arachnocampa luminosa,
ulat kalimantang atau juga dikenali sebagai kelemayar yang amat jarang ditemui dan unik yang terdapat hanya di New Zealand.Ulat kelemayar ini menjana satu bentuk cahaya kalimantang. Ulat ini akan membina sesawang seperti labah-labah untuk memerangkap serangga. Serangga ini menghabiskan jangka hayatnya sebagai larva dan cahaya yang terhasil adalah tindak balas biologi bahan kimia yang terletak pada bahagian ekor dengan oksigen di udara.
Cahaya ini akan menarik serangga kecil yang menghuni gua Waitomo untuk dijadikan makanan. Sistem ekologi gua Waitomo dikatakan sempurna sebagai habitat ulat kelemayar ini.
Pengunjung boleh menikmati pengalaman menakjubkan ini dengan memilih beberapa pilihan pengembaraan, samada menaiki bot melalui aliran air di dalam gua, menjelajah dengan berjalan kaki melalui Gua Ruakuri yang terletak berhampiran atau bagi yang gemarkan pengalaman extrim, pengunjung boleh mencuba ‘Black Water Rafting’ dan bersiap-siap untuk menyusuri aliran air menggunakan tiub pelampung, bersedia untuk basah di dalam gua yang gelap.
Bot yang boleh memuatkan sekitar 12 orang pada satusatu masa ini akan dibawa menjelajah Gua Waitomo menyusuri laluan air yang gelap gelita. Jangan risau kerana pengemudi bot-bot ini adalah mereka yang profesional dan arif dengan laluan gua tersebut.
Bagi mereka yang ingin menjelajah Gua Waitomo dengan berjalan kaki pula, pengunjung akan dibawa masuk melalui Gua Ruakuri yang terletak berhampiran dan merupakan sebahagian daripada keseluruhan struktur besar gua-gua di Waitomo.
Di sini pengunjung akan dibawa oleh seorang pemandu arah dan penerangan terperinci dan pengalaman melihat sendiri ulat kelemayar ini secara dekat pasti memberikan sebuah pengalaman baru dan mengujakan.
Bagi mereka yang berjiwa lasak, pastinya ‘Black Water Rafting’ menjadi pilihan utama. Pengunjung akan dibekalkan pakaian kalis air dan tiub pelampung. Penjelajahan unik Gua Waitomo ini bakal membawa pengunjung menyusuri anak-anak sungai yang terbentuk di dalam gua secara berkumpulan sambil ditemani seorang pemandu arah profesional yang informatif, memberi penerangan dan membawa pengunjung melihat habitat ulat ini dari permukaan air.
Semestinya Gua Waitomo menjanjikan sesuatu yang amat berlainan daripada percutian biasa anda. Sesungguhnya alam ini terlalu luas untuk diterokai dan jika anda fikir yang anda sudah melihat semuanya, fikirkan semula.