Nak Menunaikan ibadah Umrah kini lebih mudah dengan Nusuk dan juga pakej Umrah+ yang membolehkan pelawat dari malaysia menjelajah ke lebih banyak destinasi di tanah Arab yang asli dan bersejarah.
Bukan sahaja nak tunaikan umrah lebih mudah dengan pelantar rasmi digital bersepadu, Nusuk yang juga ada dalam versi Bahasa Melayu, malah orang Malaysia juga boleh singgah ke destinasi pelancongan menarik di Arab Saudi yang kaya dengan budaya dan sejarah.
Pihak Berkuasa Pelancongan Saudi atau lebih dikenali dengan Saudi Tourism Authority (STA) pada 6 Mac telah berjaya mengadakan jerayawara bersama 21 rakan kongsi termasuk syarikat pengurusan destinasi dan pemilik hotel dari Saudi Arabia, berserta syarikat Umrah dan persatuan pelancongan Malaysia di Kuala Lumpur untuk mengumumkan pelancaran Nusuk (nusuk.sa). Nusuk.sa ialah pelantar digital bersepadu Umrah yang baharu, yang mengalu-alukan jemaah Umrah dari seluruh dunia untuk merasai pengalaman Umrah secara menyeluruh.
Nusuk Mudahkan Perjalanan Ibadat Umrah
Nusuk, satu inisiatif yang dilancarkan oleh Pihak Berkuasa Pelancongan Saudi dengan kerjasama Program Pengalaman Jemaah Umrah Wawasan 2030 telah diumumkan dalam majlis yang dihadiri oleh Menteri Haji dan Umrah, Tuan Yang Terutama Dr. Tawfiq bin Fawzan Al-Rabiah. Nusuk akan meluaskan lagi pilihan dan meningkatkan keseluruhan pengalaman umat Islam yang melawat Saudi dan meringkaskan prosedur ketibaan bagi pengunjung yang datang untuk mengerjakan Umrah.
Menteri Haji dan Umrah, Tuan Yang Terutama Dr. Tawfiq bin Fawzan Al-Rabiah, berkata, “Kini kami membuka semula pintu untuk menyambut ketibaan kumpulan jemaah Umrah yang paling besar dari seluruh dunia ke Saudi selepas pandemik, dan kami tidak sabar untuk memberikan pengalaman penempahan yang lancar dan menyeluruh, dengan pilihan perjalanan yang diperluaskan akan membawa mereka menempuh kembara keimanan melalui beberapa tarikan dan tawaran yang bercirikan Islam di antara Mekah dan Madinah, seterusnya merasai saat yang menakjubkan dan mengenali Saudi yang kaya dengan budaya dan warisan.”
Ads
Fahd Hamidaddin, Ketua Pegawai Eksekutif serta Ahli Lembaga Pengarah Pihak berkuasa Pelancongan Saudi serta Pengarah Urusan Nusuk, menyatakan, “Kami komited untuk menjadikan Saudi sebuah negara yang mudah dikunjungi oleh semua pelawat. Untuk jemaah Umrah kami telah melancarkan pelantar digital Nusuk yang direka bentuk untuk jemaah Umrah dan pelawat merancang perjalanan ibadah mereka dengan lancar. Jemaah Umrah dari Malaysia boleh memohon e-visa pada pelantar Nusuk dan boleh menempah pakej khas ke Mekah, Madinah dan tempat-tempat lain. Kami juga bekerjasama dengan rakan kongsi untuk menggalakkan jemaah Umrah menjelajah negara kami yang indah dan merasai pengalaman yang pelbagai dengan program Umrah+. Saudi mengalu-alukan seluruh dunia untuk melawat destinasi baharu yang paling berkembang pesat dan sempadan pelancongan percutian yang belum diterokai. Ia memberi peluang perniagaan baharu yang tiada bandingan untuk rakan kongsi yang mahu menawarkan pengalaman yang memikat hati, jiwa dan impian para pelancong ke Saudi.”
Alhasan Aldabbagh, Presiden Nusuk-APAC, berkata, “Kami sentiasa melakukan inovasi yang berterusan dan pelancaran pelantar Nusuk dalam Bahasa Melayu membuktikan ketangkasan kami dalam memenuhi keperluan pasaran. Kami berharap untuk menyambut lebih ramai pengunjung dari Malaysia berbanding sebelum ini. Nusuk akan memudahkan dan melancarkan perancangan dan penempahan perjalanan jemaah Umrah, seterusnya menggalakkan para jemaah Umrah untuk mengenali Saudi selain daripada sebagai tempat ibadah.
Malaysia yang merupakan pasaran strategik utama bagi Saudi kini mengukuhkan lagi hubungan dengan rakan kongsi dan komited untuk melabur dan bekerjasama dengan syarikat tempatan untuk memastikan pengalaman yang bersesuaian dan menarik bagi pasaran Malaysia. Tahun lalu, Saudi telah menerima 312,000 orang pengunjung dari Malaysia dan tahun ini mereka menjangka bilangan ini akan meningkat dua kali ganda.
Ads
Umrah+ Beri Peluang Melawat Ke Destinasi Pelancongan Di Arab Saudi
Bagi memastikan matlamat ini tercapai, Pihak Berkuasa Pelancongan Saudi mengumumkan dua inisiatif utama semasa jerayawara Malaysia: pakej Umrah+ yang dipertingkatkan dan Visa Persinggahan.
Pakej Umrah+ yang dipertingkatkan disediakan bagi membolehkan pengembara mengetahui bahawa Saudi kini telah menjadi destinasi pelancongan menarik yang kaya dengan budaya dan sejarah, alam semula jadi yang indah dan landskap yang pelbagai. Terdapat 6 tapak Warisan Dunia UNESCO dan lebih daripada 10,000 tapak arkeologi yang menunggu untuk diterokai di Saudi, termasuk Al Balad di Jeddah, Turaif di Diriyah – tempat kelahiran Saudi serta pergunungan Aseer dan pekan kecil yang menjanjikan pengalaman warisan dan kebudayaan – yang akan memberi peluang kepada pelawat untuk merasai pengalaman tanah Arab yang sebenar.
Ads
Visa Persinggahan yang diumumkan baru-baru ini terbuka untuk semua pelawat yang berkunjung untuk melancong, urusan perniagaan dan ibadah yang menaiki pesawat SAUDIA dan Flynas. Pelawat boleh singgah di Saudi sehingga 96 jam dan menikmati satu malam penginapan hotel bersama Saudia yang diberikan secara percuma. Ini menjadikan Saudi sebagai persinggahan yang tepat untuk rakyat Malaysia yang dalam perjalanan ke Eropah, UK dan AS.
Saudi telah melabur dalam beberapa projek mega seperti Qiddiya, Neom dan Murabba baharu di Riyadh yang diumumkan baru-baru ini, dipanggil ‘Mukaab’ yang bakal menjadi pusat bandar moden terbesar di dunia.
Ketahui lebih lanjut tentang tawaran pelancongan Saudi pada lama web Visit Saudi atau layari Nusuk di nusuk.sa.
Sentiasa up to date tentang tempat healing dan relax dengan LIBUR. Berlibur dan download seeNI sekarang!
Sebelum ini tular mengenai kisah percutian sebuah keluarga rakyat Malaysia yang dihalau ‘owner’ Airbnb gara-gara menipu jumlah sebenar yang datang menginap. Sewaktu membuat tempahan, pelancong rakyat Malaysia tersebut membuat tempahan untuk menginap hanya seorang sahaja. Namun tiba-tiba yang muncul sekitar 9 tetamu lain yang dibawa sekali.
Berang dengan ‘penipuan’ yang dibuat oleh pelanggan tersebut, pemilik Airbnb terus membatalkan tempahan lalu menghalau mereka sekeluarga. Bukan itu sahaja, malah polis juga dihubungi untuk masuk campur dalam kejadian ini. Kejadian tersebut mendapat perhatian rakyat Malaysia lain yang berada di negara tersebut, namun tidak dapat membantu kerana tempat penginapan yang terhad.
Untuk makluman ramai, pengurusan penginapan di luar negara memang mengambil berat dan memandang serius mengenai jumlah tetamu untuk setiap bilik penginapan yang ditempah. Ini sebagai langkah keselamatan dan juga menjaga tahap kebersihan setiap bilik di premis penginapan mereka.
Kejadian ini bagaimana pun mendapat maklum balas yang pelbagai daripada netizen. Kebanyakkannya mengecam tindakan tidak bertanggungjawab individu terbabit. Mereka mengatakan rakyat Malaysia memang terkenal dengan sifat ‘kedekut’ ini ketika bercuti. Kalau boleh tempahan untuk satu bilik biasa yang selesa memuatkan 2 orang sahaja, tiba-tiba boleh ada sehingga 6 ke 7 orang siap dengan alas ‘toto’ bagai. Hebat rakyat Malaysia!
Di Malaysia sendiri, dengar cerita sudah mula untuk memperketatkan undang-undang jumlah tetamu yang menginap. Sebelum ini mungkin ada hotel, resort atau homestay yang tutup mata, tetapi kini ada yang sudah ‘tersedar’ dan mula mengenakan caj yang lebih kepada tetamu yang merahsiakan jumlah tetamu sebenar. Oleh itu, jika ingin bercuti, pandai-pandailah untuk menguruskan kewangan dan mencari tempat penginapan mengikut bajet anda. Paling penting bercuti dalam keadaan selesa dan gembira.
Sentiasa up to date tentang tempat healing dan relax dengan LIBUR. Berlibur dan download seeNI sekarang!
Minggu lalu Presiden Indonesia, Joko Widodo secara rasminya mencadangkan kepada Parlimen Indonesia, rancangan untuk memindahkan ibu kota negara itu ke Kalimantan di pulau Borneo, Indonesia. Beliau memberi cadangan itu ketika berucap di Parlimen, sehari sebelum negara itu menyambut ulang tahun kemerdekaan ke-74.
Tahukah anda, Tawau, Sabah antara yang menerima impak ekonomi positif apabila ibu negara Indonesia berpindah dari Jakarta ke Kalimantan kelak. Ini kerana Tawau antara bandar di Malaysia yang terletak berdekatan dengan ibu negara Indonesia yang baharu itu.
Tawau merupakan pintu masuk alternatif untuk pelancong asing ke pantai timur Sabah. Industri pelancongan di Tawau berpotensi untuk dibangunkan kerana mempunyai tempat menarik untuk dilawati seperti Bukit Gemuk, Taman Bukit Tawau, Balung River Eco Resort, Kawasan Perlindungan Imbak Canyon, Muzium Koko Teck Guan, Perkampungan Koko Teck Guan, dan Maliau Basin. Menariknya, di Tawau ini adalah makanan lautnya yang menjadi pilihan utama pengunjung luar apabila berada di sini.
Menurut Ketua Perwakilan Konsulat Republik Indonesia di Tawau, Sulistijo Djati Ismojo, beliau yakin Tawau akan menjadi destinasi dan ‘bandar’ yang dekat dengan ibu negara Indonesia, banyak warga Indonesia akan datang melancong ke Tawau. Oleh itu Tawau perlu bersiap sedia untuk sama-sama menrima impak ini.
Sulistijo optimis pembangunan bandar sempadan yang kini dirancang antara Malaysia dan Nunukan, Indonesia di Pulau Sebatik juga akan mengubah landskap daerah ini menjadi destinasi tumpuan pengunjung.
Baru-baru ini viral satu video di laman sosial yang memaparkan beberapa orang pelancong asing menjalankan aktiviti perniagaan secara haram menggunakan permit melancong di Jonker Walk, Melaka. Video tersebut tular apabila berlaku insiden ‘berperang mulut’ diantara seorang lelaki dipercayai warganegara Malaysia bersama pelancong warga asing tersebut.
Mengikut undang-undang, sememangnya tindakan pelancong warga asing tersebut salah kerana tidak mempunyai permit untuk berniaga malahan kedatangan mereka ke negara ini hanya menggunakan permit melancong, bukan untuk mencari keuntungan atau sebagainya.
Acap kali kita lihat perkara ini semakin kerap berlaku di negara kita. Awal Februari lalu perkara yang sama turut berlaku membabitkan pelancong asing yang menggunakan anaknya sebagai ‘alat’ yang dilambung-lambung semata-mata untuk meraih wang. Dalam bulan yang sama juga terjadi kejadian pelancong asing bermain jugelan di tengah-tengah jalan. Apa yang mereka nak buktikan sebenarnya?
Pelancong asing ini seakan-akan cuba untuk membawa satu budaya yang baru ke dalam masyarakat Malaysia iaitu tanpa memerlukan kerja yang baik, seseorang itu boleh melancong ke luar negara dan seterusnya meminta-minta wang daripada rakyat tempatan untuk menampung perbelanjaan mereka berseronok, bersiar-siar dan melihat dunia.
Perkara ini sekiranya tidak ditangani dengan komprehensif, ia mampu memjadi satu wabak kanser yang lama kelamaan akan menjadi epidemik dan meracuni serta merosakkan lanskap pelancongan negara kita. Rakyat Malaysia sepatutnya tidak perlu membenarkan perkara seperti pelancong asing meminta-minta wang atau ‘berjual beli’ ini terjadi atas dasar simpati, kasihan dan berprasangka baik.
Sekiranya benar pelancong asing tersebut mempunyai masalah atau ditimpa musibbah, ada banyak lagi cara lain untuk mereka mendapatkan bantuan dan sebagainya. Bukan dengan cara mudah – mencari kotak, menghamparkan kain tuala dan menyusun bulu-bulu ayam untuk dijual secara berjemaah di tepi-tepi jalan.
Tiba masanya kita ambil pendekatan seperti yang dilakukan oleh Thailand dalam usaha untuk memerangi masalah pelancong asing meminta sedekah ini. Melalui Akta Kawalan Peminta Sedekah atau Beggar Control Act’s, kesemua kuil-kuil buddha yang ada di Thailand digesa untuk tidak memberikan wang kepada peminta sedekah kerana ianya akan menyalahi undang-undang.
Undang-undang tersebut melarang sesiapa sahaja daripada menjadi peminta sedekah dan sesiapa yang didapati melakukan hal sedemikian akan dikenakan hukuman penjara atau denda sebanyak Bt10,000 atau kedua-duanya sekali.
Selain daripada itu, sesiapa sahaja yang membantu atau menyokong peminta sedekah ini akan dikena tindakan undang-undang yang lebih berat seperti penjara maksimum dua tahun penjara atau denda Bt20,000 atau kedua-duanya sekali manakala sesiapa yang mengambil habuan ke atas peminta sedekah seperti sindiket akan dikenakan tindakan tiga tahun penjara, denda Bt30,000 atau kedua-duanya sekali.
Tiba masanya untuk kita bertegas terhadap pelancong warga asing yang mempunyai ideologi bahawa datang ke Malaysia, mereka boleh melakukan apa sahaja dek kerana masyarakatnya yang budiman dan terlalu bertolak ansur.
TV Sarawak (TVS) sekali lagi tampil dengan program baharu yang menjanjikan pengalaman penuh warna-warni dan sarat dengan elemen budaya serta keindahan alam semula jadi.‘Sumandak...